Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 105 >> 

Allah dan Umat-Nya

1Bersyukurlah kepada TUHAN, isytiharkanlah keagungan-Nya; ceritakanlah perbuatan-Nya kepada bangsa-bangsa.

2Nyanyikanlah pujian kepada TUHAN; ceritakanlah segala perbuatan-Nya yang menakjubkan.

3Bersukacitalah kerana kita milik-Nya; semua orang yang menyembah TUHAN hendaklah bersukacita.

4Mintalah pertolongan TUHAN, sembahlah Dia sentiasa.

5Hai keturunan Abraham, hamba-Nya, dan keturunan Yakub, orang pilihan-Nya, ingatlah mukjizat yang dilakukan Allah, jangan lupakan keputusan yang diberikan-Nya.

6(105:5)

7TUHAN ialah Allah kita; perintah-Nya berlaku di seluruh dunia.

8Dia memegang perjanjian-Nya selama-lamanya, janji-Nya berlaku untuk beribu-ribu keturunan,

9perjanjian yang dibuat-Nya dengan Abraham, dan janji-Nya dengan Ishak,

10lalu dikekalkan dengan Yakub, menjadi perjanjian abadi bagi umat Israel.

11Dia berfirman, "Aku akan memberi kamu negeri Kanaan, untuk menjadi milik pusaka kamu."

12Dahulu umat Allah kecil bilangannya, mereka hidup sebagai orang asing di negeri Kanaan.

13Mereka mengembara dari negeri ke negeri, dari sebuah kerajaan ke sebuah kerajaan.

14Tetapi Allah tidak membiarkan sesiapa pun menindas mereka; kerana mereka, Dia memberikan amaran kepada raja-raja.

15Dia berfirman, "Jangan ganggu hamba-hamba pilihan-Ku; jangan cederakan nabi-nabi-Ku!"

16TUHAN mendatangkan kebuluran di negeri mereka, dan mengambil segala makanan mereka.

17Tetapi Dia mengutus Yusuf untuk mendahului mereka; Yusuf telah dijual sebagai hamba.

18Kakinya diikat dengan rantai dan lehernya diikat dengan rantai besi,

19sehingga terjadi apa yang diramalkannya. Firman TUHAN membuktikan bahawa Yusuf benar.

20Lalu raja Mesir membebaskan dia; penguasa bangsa-bangsa melepaskan dia.

21Raja melantik Yusuf sebagai ketua kerajaannya, dan menjadikan dia penguasa seluruh negeri,

22untuk memberikan arahan kepada pegawai-pegawai raja, dan untuk memimpin para penasihat raja.

23Selepas itu Yakub pergi ke Mesir, dan menetap di negeri itu.

24TUHAN menjadikan umat-Nya bertambah banyak, sehingga mereka menjadi lebih kuat daripada musuh.

25TUHAN menyebabkan bangsa Mesir benci akan umat-Nya, bangsa Mesir menipu dan memperdayakan hamba-hamba-Nya.

26Lalu Dia mengutus Musa, hamba-Nya, dan Harun, orang yang dipilih-Nya.

27Mereka melakukan keajaiban daripada Allah, dan melakukan mukjizat di Mesir.

28Allah menjadikan seluruh negeri itu gelap, tetapi bangsa Mesir tidak mentaati perintah-Nya.

29Dia mengubah air sungai menjadi darah, dan membunuh semua ikan yang ada di dalamnya.

30Katak memenuhi negeri mereka, bahkan memasuki istana raja.

31Demi firman Allah, lalat dan agas memenuhi seluruh negeri itu.

32Dia mencurahkan hujan batu dan kilat sebagai ganti hujan biasa.

33Dia memusnahkan ladang anggur dan pokok ara mereka, serta menumbangkan segala pokok di sana.

34Demi firman-Nya, belalang datang, berjuta-juta tidak terbilang;

35yang makan segala tumbuhan di negeri mereka; dan makan habis segala tanaman di sana.

36Lalu dibunuh-Nya semua anak lelaki sulung, anak lelaki sulung semua keluarga Mesir.

37Selepas itu Dia memimpin umat Israel keluar; mereka membawa perak dan emas, mereka semua sihat dan kuat.

38Bangsa Mesir takut akan umat Israel, oleh itu mereka gembira ketika orang Israel pergi.

39Allah membentangkan awan untuk menaungi umat-Nya, dan memberikan api sebagai penerang pada waktu malam.

40Mereka meminta makanan, lalu Dia menghantar burung puyuh, mereka dikenyangkan dengan roti dari langit.

41Dia membelah bukit batu, lalu air memancar keluar, dan mengalir seperti sungai di gurun.

42Dia ingat akan janji-Nya yang suci kepada Abraham, hamba-Nya.

43Demikianlah Dia memimpin umat pilihan-Nya keluar; mereka menyanyi dengan gembira dan bersorak-sorai.

44Dia memberikan negeri bangsa asing kepada mereka, dan ladang-ladang mereka dijadikan milik umat-Nya,

45supaya umat-Nya taat kepada hukum-Nya, dan melakukan segala perintah-Nya. Pujilah TUHAN!


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 105 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel