Doa Petang untuk Minta Tolong
1Untuk pemimpin koir. Dengan iringan kecapi. Mazmur Daud. (4-2) Jawablah apabila aku berseru, ya Allah, Pembelaku! Ketika aku susah dahulu, Engkau datang menolong aku. Sekarang kasihanilah aku, dan dengarlah doaku!
2(4-3) Hai manusia, berapa lamakah kamu akan menghina aku? Berapa lama lagi kamu akan mencintai yang tidak berguna itu, dan mengejar yang palsu?
3(4-4) Ingatlah bahawa TUHAN telah memilih orang yang taat kepada-Nya sebagai milik-Nya, dan Dia mendengar ketika aku berseru kepada-Nya.
4(4-5) Ketika kamu marah, jangan berdosa. Renungkanlah hal itu sambil berdiam diri, sewaktu kamu berbaring di tempat tidur.
5(4-6) Persembahkanlah korban yang benar dan percayalah kepada TUHAN.
6(4-7) Banyak orang berdoa, "Berilah kami berkat yang lebih, ya TUHAN. Semoga Engkau berkenan kepada kami."
7(4-8) Engkau membuat hatiku lebih girang daripada orang yang kelimpahan makanan dan minuman.
8(4-9) Maka aku berbaring dan tidur dengan tenteram; Engkau sahaja, ya TUHAN, yang memelihara aku dengan aman.