BUKU KEDUA Doa Semasa di Tempat Pembuangan
1Untuk pemimpin koir. Sajak puak Korah. (42-2) Seperti rusa merindukan air sungai, demikianlah jiwaku merindukan Engkau, ya Allah.
2(42-3) Aku merindukan Engkau, Allah yang hidup; bilakah aku dapat beribadat di hadirat-Mu?
3(42-4) Siang malam aku menangis, hanya air mata makananku; sepanjang masa musuhku bertanya kepadaku, "Di manakah Allahmu?"
4(42-5) Hatiku hancur apabila mengenangkan masa lalu, semasa aku pergi bersama-sama orang ramai ke Rumah TUHAN, dan aku berjalan di depan perarakan, dengan sorak-sorai dan lagu pujian.
5(42-6) Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku.
6(42-7) Di tempat pembuangan ini hatiku hancur, oleh itu aku ingat kepada TUHAN. Jiwaku hanyut dalam arus kesedihan; aku dilanda banjir kekacauan, seperti deru air terjun Sungai Yordan dari Gunung Hermon dan Gunung Mizar.
7(42-8) (#42:6)
8(42-9) Semoga TUHAN menunjukkan kasih-Nya pada waktu siang; agar aku dapat memuji Dia pada waktu malam, dan berdoa kepada Allah, sumber hidupku.
9(42-10) Kepada Allah, pembelaku, aku berkata, "Mengapakah Engkau melupakan aku? Mengapakah aku harus terus-menerus menanggung derita, akibat kekejaman musuhku?"
10(42-11) Aku sangat sedih kerana hinaan mereka. Mereka terus bertanya, "Di manakah Allahmu?"
11(42-12) Mengapakah aku sedih? Mengapakah aku gelisah? Aku akan berharap kepada Allah, dan sekali lagi aku akan memuji Dia, Allahku dan penyelamatku.