Doa Minta Perlindungan
1Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia. (59-2) Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku; lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku!
2(59-3) Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu; lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu!
3(59-4) Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku; orang kejam berkumpul mengadang aku. Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan,
4(59-5) bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN, mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan.
5(59-6) Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku; lihatlah sendiri, ya Allah Israel! Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa; jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam.
6(59-7) Pada waktu senja mereka pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
7(59-8) Dengarlah hinaan dan ancaman mereka. Kata-kata mereka tajam seperti pedang; mereka menyangka tiada orang yang mendengar.
8(59-9) Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka; Engkau mengolok-olokkan semua bangsa.
9(59-10) Aku yakin akan kekuatan-Mu; ya Allah, Engkaulah pernaunganku.
10(59-11) Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku; Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku.
11(59-12) Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa. Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka, ya Tuhan, pelindung kami.
12(59-13) Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka, biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka. Kerana mereka menyumpah dan berdusta,
13(59-14) binasakanlah mereka semasa Engkau murka; binasakanlah mereka semuanya. Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel, dan Dia memerintah semua orang di dunia.
14(59-15) Pada waktu senja musuh-musuhku pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota.
15(59-16) Mereka berkeliaran mencari makanan, dan menggeram jika tidak kenyang.
16(59-17) Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku.
17(59-18) Aku akan memuji Engkau, pembelaku; Allah ialah pernaunganku, Allah yang mengasihi aku.