Seruan Minta Tolong
1Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Oleh Daud. (69-2) Selamatkanlah aku, ya Allah! Air sudah naik ke leherku;
2(69-3) aku hampir tenggelam di lumpur yang dalam, dan tiada tempat berjejak; aku berada di air yang dalam, dan ombak pun hampir melemaskan aku.
3(69-4) Aku letih berseru meminta pertolongan, dan kerongkongku sakit. Mataku pedih menantikan pertolongan-Mu.
4(69-5) Orang yang membenci aku tanpa sebab, lebih banyak daripada rambut pada kepalaku. Musuhku memfitnah aku, mereka kuat dan mahu membunuh aku. Mereka memaksa aku menyerahkan barang-barang yang tidak aku curi.
5(69-6) Ya Allah, dosa-dosaku tidak tersembunyi daripada-Mu, Engkau tahu betapa bodohnya aku.
6(69-7) Janganlah biarkan aku mendatangkan malu kepada orang yang berharap kepada-Mu, ya TUHAN Raja Yang Maha Kuasa! Janganlah biarkan aku mendatangkan aib kepada mereka yang menyembah Engkau, ya Allah umat Israel!
7(69-8) Kerana Engkaulah, aku dikeji, dan diliputi perasaan malu.
8(69-9) Aku bagaikan orang asing kepada saudara-saudaraku, seperti orang luar kepada keluargaku.
9(69-10) Cintaku untuk Rumah-Mu berkobar-kobar seperti api; hinaan yang ditujukan kepada-Mu menimpa diriku.
10(69-11) Aku merendahkan diri dengan berpuasa, tetapi manusia mencela aku.
11(69-12) Ketika aku mengenakan pakaian perkabungan, mereka mentertawakan aku.
12(69-13) Aku menjadi buah mulut di tempat orang berkumpul, dan nyanyian orang mabuk adalah tentang aku.
13(69-14) Tetapi bagiku, aku akan berdoa kepada-Mu, ya TUHAN; kabulkanlah doaku, ya Allah, menurut waktu-Mu. Kabulkan doaku demi kasih-Mu yang besar, kerana Engkau menepati janji untuk menyelamatkan aku.
14(69-15) Janganlah biarkan aku tenggelam di dalam lumpur; selamatkanlah aku daripada musuh-musuhku, dan daripada air yang dalam.
15(69-16) Janganlah biarkan banjir menghanyutkan aku; janganlah biarkan aku tenggelam di dasar laut, ataupun terbenam di dalam kubur.
16(69-17) Kabulkanlah doaku, ya TUHAN, kerana Engkau baik dan tetap mengasihi; dengan rahmat-Mu yang besar, berpalinglah kepadaku!
17(69-18) Janganlah bersembunyi daripada hamba-Mu; aku dalam kesusahan besar -- cepatlah tolong aku!
18(69-19) Marilah dan selamatkanlah aku; bebaskanlah aku daripada musuhku.
19(69-20) Engkau tahu bagaimana aku dikeji, bagaimana aku dipermalukan dan dihina; Engkau nampak semua musuhku.
20(69-21) Kekejian telah mematahkan hatiku, aku menjadi putus asa. Aku mencari orang yang berbelas kasihan, tetapi tidak aku dapati; aku mencari orang yang menguatkan hatiku, tetapi tidak aku jumpai.
21(69-22) Ketika aku lapar, mereka memberi aku racun sebagai makanan; ketika aku dahaga, mereka memberi aku cuka sebagai minuman.
22(69-23) Biarlah jamuan mereka memerangkap mereka; biarlah perayaan mereka menjerat mereka.
23(69-24) Biarlah mata mereka buta; biarlah tulang belakang mereka lemah.
24(69-25) Biarlah kemurkaan-Mu menimpa mereka; biarlah berang-Mu menangkap mereka.
25(69-26) Biarlah perkhemahan mereka terlantar; biarlah semua penghuninya binasa.
26(69-27) Mereka menganiaya orang yang telah Engkau hukum; mereka menambahkan penderitaan orang yang Engkau lukakan.
27(69-28) Catatlah semua dosa mereka; jangan ampuni mereka.
28(69-29) Biarlah nama mereka dihapuskan dari kitab orang hidup, dan tidak tercatat dalam daftar umat-Mu.
29(69-30) Tetapi aku kesakitan dan putus asa; angkatlah aku dan selamatkanlah aku, ya Allah!
30(69-31) Aku akan memuji Allah dengan nyanyian; aku akan mengagungkan Dia dengan ucapan kesyukuran.
31(69-32) Hal ini akan lebih menggembirakan TUHAN daripada mempersembahkan korban lembu, ataupun korban lembu jantan yang sudah cukup besar.
32(69-33) Apabila orang yang ditindas melihat hal ini, mereka akan bergembira; orang yang menyembah Allah akan bersemangat.
33(69-34) TUHAN mendengar orang yang berkekurangan, dan Dia tidak lupa akan umat-Nya yang dipenjarakan.
34(69-35) Pujilah Allah, hai langit dan bumi, laut dan segala makhluk di dalamnya!
35(69-36) Dia akan menyelamatkan Yerusalem, dan membina semula kota-kota Yehuda; umat-Nya akan tinggal di sana; negeri itu menjadi milik mereka.
36(69-37) Keturunan hamba-hamba-Nya akan mewarisi negeri itu, semua orang yang mengasihi-Nya akan tinggal di situ.