Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 78 >> 

Allah dengan Umat-Nya

1Sajak Asaf. Dengarlah ajaranku, hai umatku, dan perhatikanlah kata-kataku.

2Aku akan menggunakan kata-kata hikmat, dan menjelaskan rahsia zaman dahulu,

3perkara yang telah kita dengar dan ketahui, yang telah diberitahu oleh nenek moyang kita.

4Kita tidak akan merahsiakannya daripada anak-anak kita, kita akan memberitahu keturunan yang akan datang tentang kuasa TUHAN dan tindakan-Nya yang hebat, serta perbuatan ajaib yang telah dilakukan-Nya.

5Dia memberikan hukum kepada umat-Nya, Israel, dan perintah kepada keturunan Yakub. Dia memberikan amanah kepada nenek moyang kita supaya mengajarkan hukum-Nya kepada anak-anak mereka,

6supaya keturunan selanjutnya dapat mempelajarinya, dan kemudian memberitahunya kepada anak-anak mereka.

7Dengan demikian mereka juga akan berharap kepada Allah, dan tidak melupakan perbuatan-Nya, tetapi selalu taat kepada perintah-Nya.

8Mereka tidak akan menjadi seperti nenek moyang mereka, umat yang sentiasa memberontak dan tidak taat; iman mereka tidak pernah kukuh, dan mereka tidak setia kepada Allah.

9Orang Efraim yang bersenjatakan busur dan panah, melarikan diri pada masa pertempuran.

10Mereka tidak menepati perjanjian dengan Allah; mereka enggan taat kepada hukum-Nya.

11Mereka lupa akan segala perbuatan-Nya, mukjizat yang telah ditunjukkan-Nya kepada mereka.

12Di hadapan nenek moyang mereka, Allah melakukan mukjizat di dataran Zoan di negeri Mesir.

13Dia membelah laut dan memimpin mereka menyeberanginya; Dia membuat air tegak seperti tembok.

14Pada waktu siang Dia memimpin mereka dengan awan, dan pada waktu malam dengan cahaya api.

15Dia membelah bukit batu di gurun, dan memberi mereka air minum dari dasar bumi.

16Dia membuat air memancar dari batu, dan airnya mengalir seperti sungai.

17Tetapi mereka terus berdosa terhadap Allah, serta memberontak terhadap Yang Maha Tinggi di padang gurun.

18Mereka sengaja menguji Allah, mereka meminta makanan yang diinginkan.

19Mereka melawan Allah dengan berkata, "Dapatkah Allah menyediakan makanan di gurun?

20Memang benar Dia telah membelah bukit batu, dan air sederas sungai mengalir daripadanya; tetapi dapatkah Dia menyediakan roti bagi kita, dan memberikan daging bagi umat-Nya?"

21Itulah sebabnya, TUHAN murka ketika mendengar permintaan mereka; Dia menyerang umat-Nya dengan api, dan menjadi semakin murka terhadap mereka,

22kerana mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap-Nya, dan tidak percaya bahawa Dia dapat menyelamatkan mereka.

23Tetapi Allah berfirman kepada langit di atas, dan memberikan perintah supaya pintunya dibuka.

24Dia memberi mereka biji-bijian dari syurga, dengan menurunkan manna untuk makanan mereka.

25Demikianlah mereka makan makanan malaikat. Allah memberi mereka makanan berlimpah-limpah.

26Dia menyebabkan angin timur bertiup, dan dengan kuasa-Nya angin selatan berhembus.

27Untuk umat-Nya, Dia menurunkan burung, burung sebanyak pasir di pantai;

28burung jatuh di tempat perkhemahan mereka, di sekeliling tempat kediaman mereka.

29Lalu mereka makan hingga kenyang; Allah memberikan apa yang dikehendaki mereka.

30Tetapi nafsu mereka belum dipuaskan, dan sementara mereka makan,

31Allah naik murka terhadap mereka, dan membunuh orang Israel yang muda dan perkasa.

32Meskipun begitu, mereka masih terus berdosa, meskipun Allah melakukan mukjizat, mereka tidak percaya kepada-Nya.

33Oleh itu Allah mencabut nyawa mereka, dan memutuskan nafas mereka dengan tiba-tiba.

34Setiap kali Allah membunuh sebilangan daripada mereka, yang lain kembali kepada-Nya; mereka bertaubat dan berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya.

35Mereka ingat bahawa Allah pelindung mereka, bahawa Yang Maha Kuasa penyelamat mereka.

36Tetapi segala perkataan mereka itu dusta belaka, dan segala ucapan mereka bohong semata-mata.

37Mereka tidak setia kepada-Nya; mereka tidak berpegang kepada perjanjian dengan Allah.

38Tetapi Allah mengasihani umat-Nya. Dia mengampunkan dosa mereka dan tidak membinasakan mereka. Kerap kali Dia menahan kemarahan-Nya, dan tidak melepaskan kemurkaan-Nya.

39Dia ingat bahawa mereka hanya manusia fana, seperti angin yang bertiup lalu tiada.

40Betapa seringnya mereka memberontak terhadap-Nya di gurun; betapa kerapnya mereka menyedihkan hati-Nya!

41Berkali-kali mereka menguji Allah, dan menyakiti hati Yang Maha Suci, Allah umat Israel.

42Mereka lupa akan kuasa-Nya yang besar; dan waktu Allah menyelamatkan mereka daripada musuh,

43ketika Dia melakukan keajaiban-keajaiban di Mesir, dan mukjizat-mukjizat di dataran Zoan.

44Dia mengubah air sungai menjadi darah, sehingga orang Mesir tidak dapat minum airnya.

45Dia menghantar lalat untuk menyeksa orang Mesir, dan katak untuk merosakkan ladang mereka.

46Dia menghantar belalang untuk makan tanaman mereka, dan untuk memusnahkan ladang mereka.

47Dia memusnahkan pokok anggur mereka dengan hujan batu, dan pokok ara mereka dengan embun yang beku.

48Dia membunuh ternakan mereka dengan hujan batu, dan binatang mereka dengan kilat.

49Dia mencemaskan mereka, dengan melepaskan kemurkaan-Nya yang menyala-nyala, bagaikan utusan yang mendatangkan maut.

50Dia tidak menahan kemurkaan-Nya atau membiarkan mereka hidup, tetapi Dia membunuh mereka dengan wabak.

51Dia membunuh anak lelaki sulung daripada semua keluarga orang Mesir.

52Kemudian seperti gembala, Allah memimpin umat-Nya dan membimbing mereka melalui gurun.

53Dia membimbing mereka dengan aman sehingga mereka tidak takut, tetapi musuh mereka mati lemas di dalam laut.

54Dia membawa umat-Nya ke tanah-Nya yang suci, ke gunung yang telah ditaklukkan-Nya sendiri.

55Dia mengusir penduduk di situ sedang umat-Nya mara, lalu membahagikan negeri itu kepada semua suku Israel, dan memberi mereka tempat kediaman musuh.

56Tetapi umat-Nya memberontak dan menguji Allah Yang Maha Kuasa; mereka tidak taat kepada perintah-perintah-Nya.

57Mereka memberontak dan berkhianat seperti nenek moyang mereka; seperti anak panah yang bengkok, mereka tidak boleh diharap.

58Mereka membuat Allah murka dengan tempat penyembahan berhala, dan menjadikan Dia marah dengan patung-patung berhala.

59Allah murka ketika melihat hal ini, lalu menolak umat-Nya sama sekali.

60Dia meninggalkan khemah-Nya di Silo, tempat kediaman-Nya di kalangan umat-Nya.

61Dia membiarkan musuh merebut Tabut Perjanjian, lambang kuasa dan kemuliaan-Nya.

62Dia murka terhadap umat-Nya sendiri, dan membiarkan mereka dibunuh oleh musuh mereka.

63Teruna terbunuh dalam peperangan, dan anak dara tidak mendapat pasangan.

64Imam dibunuh dengan pedang, dan balu mereka tidak dibenarkan meratap.

65Akhirnya Tuhan bangun seolah-olah daripada tidur; Dia bersemangat seperti orang kuat yang sudah minum wain.

66Dia memukul mundur musuh-musuh-Nya, dan mempermalukan mereka selama-lamanya;

67tetapi Dia menolak keturunan Yusuf; Dia tidak memilih suku Efraim.

68Sebaliknya Dia memilih suku Yehuda dan Bukit Sion yang sangat dikasihi-Nya.

69Di sana Dia mendirikan Rumah-Nya seperti kediaman-Nya di syurga, dan seperti bumi, kukuh selama-lamanya.

70Dia memilih hamba-Nya, Daud, dan mengambil dia dari padang rumput,

71dari tempat dia menjaga ternakan, dan menjadikan dia raja Israel untuk menggembalakan umat Allah.

72Daud menjaga mereka dengan penuh perhatian, dan membimbing mereka dengan kecekapan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 78 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel