Doa bagi Pembebasan Bangsa
1Mazmur Asaf. Ya Allah, orang yang tidak mengenal Engkau telah menyerang tanah-Mu. Mereka telah menajiskan Rumah-Mu yang suci dan meruntuhkan Yerusalem.
2Mayat umat-Mu ditinggalkan mereka untuk dimakan burung pemakan bangkai. Mayat hamba-hamba-Mu dibiarkan mereka untuk dimakan binatang liar.
3Mereka menumpahkan darah umat-Mu seperti air; darah mengalir di seluruh Yerusalem, dan tiada orang yang tinggal untuk menguburkan orang mati.
4Bangsa-bangsa di sekeliling mengejek kami; mereka mentertawakan serta mengolok-olokkan kami.
5Ya TUHAN, berapa lamakah Engkau akan murka terhadap kami? Adakah kemurkaan-Mu akan terus membakar seperti api?
6Murkailah bangsa-bangsa yang tidak menyembah Engkau; orang yang tidak berdoa kepada-Mu,
7kerana mereka telah membunuh umat-Mu dan merosakkan negeri-Mu.
8Jangan hukum kami kerana dosa nenek moyang kami, tetapi kasihanilah kami sekarang kerana kami putus asa.
9Tolonglah kami, ya Allah, penyelamat kami; demi kehormatan-Mu sendiri, selamatkanlah kami dan ampunkanlah dosa kami.
10Jangan biarkan bangsa-bangsa lain bertanya, "Di manakah Allah kamu?" Hukumlah bangsa-bangsa itu di hadapan kami kerana menumpahkan darah hamba-hamba-Mu.
11Dengarlah rintihan orang tawanan, dan dengan kuasa-Mu yang besar, bebaskanlah mereka yang dihukum mati.
12Ya Tuhan, balaslah bangsa-bangsa itu tujuh kali ganda, bagi segala hinaan yang telah dilemparkan kepada-Mu.
13Lalu kami, umat-Mu, domba-domba-Mu, akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya, dan memuji-Mu sampai turun-temurun.