Lagu Perayaan
1Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Gitit. Mazmur Asaf. (81-2) Bersoraklah dengan gembira kepada Allah, pembela kita; nyanyikanlah pujian kepada Allah Yakub.
2(81-3) Mulakanlah muzik dan mainkanlah tamburin; mainkanlah lagu yang merdu dengan kecapi dan gambus.
3(81-4) Tiuplah trompet untuk perayaan kita pada waktu bulan baru dan bulan purnama.
4(81-5) Inilah satu hukum untuk Israel, satu perintah daripada Allah Yakub.
5(81-6) Dia memberikan hukum ini kepada umat Israel, ketika Dia menyerang negeri Mesir. Aku mendengar suara yang tidak aku kenal, berkata,
6(81-7) "Aku telah mengangkat beban dari bahu kamu; dan membebaskan kamu daripada kerja paksa.
7(81-8) Ketika kamu dalam kesusahan, kamu berseru kepada-Ku, dan Aku pun menyelamatkan kamu. Dari tempat persembunyian-Ku di dalam awan petir, Aku mengabulkan permintaan kamu; di mata air Meriba Aku menguji kamu.
8(81-9) Hai umat-Ku dengarlah amaran-Ku; Hai Israel, Aku sangat ingin kamu mendengar firman-Ku!
9(81-10) Jangan sembah tuhan lain.
10(81-11) Akulah TUHAN, Allah kamu, yang membawa kamu keluar dari Mesir. Bukalah mulut dan Aku akan memberi kamu makan.
11(81-12) Tetapi umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku; Israel tidak mahu taat kepada-Ku.
12(81-13) Oleh itu Aku membiarkan mereka mengikut kedegilan mereka, dan berbuat sesuka hati mereka.
13(81-14) Sekiranya umat-Ku mendengar firman-Ku, sekiranya mereka taat kepada-Ku,
14(81-15) Aku akan mengalahkan musuh mereka dengan segera, dan menaklukkan semua lawan mereka.
15(81-16) Orang yang membenci Aku meromok ketakutan di hadapan-Ku; mereka akan dihukum selama-lamanya.
16(81-17) Tetapi kamu akan Kuberi makan gandum pilihan, dan Kukenyangkan dengan madu hutan."