Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 11 >> 

Yerusalem Dihukum

1Roh Allah mengangkat aku dan membawa aku ke pintu gerbang timur Rumah TUHAN. Di situ aku nampak dua puluh lima orang lelaki termasuk Yaazanya anak Azur dan Pelaca anak Benaya, dua orang pemimpin bangsa.

2Allah berfirman kepadaku, "Hai manusia fana, inilah orang yang merancang kejahatan dan memberikan nasihat yang menyesatkan, di kota ini.

3Mereka berkata, ‘Tidak lama lagi kita akan membina rumah semula. Memang kota ini seperti periuk dan kita seperti daging di dalamnya, tetapi setidak-tidaknya kita dilindungi daripada api.’

4Oleh itu, hai manusia fana, sampaikanlah perkhabaran-Ku tentang hukuman bagi mereka!"

5Roh TUHAN menguasai aku lalu menyuruh aku menyampaikan perkhabaran ini kepada umat, "Hai umat Israel, Aku tahu apa yang kamu katakan dan hal yang kamu rancang.

6Kamu telah membunuh begitu banyak orang di kota ini sehingga jalan-jalan penuh dengan mayat.

7Oleh itu, Aku, TUHAN Raja berfirman kepada kamu. Memang kota ini adalah periuk, tetapi daging di dalamnya bukan kamu, melainkan mayat orang yang telah kamu bunuh! Sedangkan kamu akan Kubuang dari kota ini!

8Kamu takut akan pedang; Aku akan mendatangkan orang yang membawa pedang untuk menyerang kamu.

9Aku akan membuang kamu dari kota ini dan menyerahkan kamu kepada bangsa asing. Aku telah menjatuhkan hukuman mati kepada kamu;

10kamu akan mati terbunuh dalam peperangan di negeri kamu sendiri. Barulah setiap orang akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

11Kota ini tidak akan melindungi kamu, seperti periuk melindungi daging di dalamnya. Aku akan menghukum kamu di mana sahaja kamu berada di negeri Israel.

12Kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN, dan dengan mentaati hukum negeri-negeri jiran, kamu melanggar hukum-Ku dan mengabaikan perintah-Ku."

13Sedang aku bernubuat, tiba-tiba Pelaca jatuh lalu mati. Aku bersujud sambil berseru, "Jangan, TUHAN Raja! Adakah Engkau hendak memunahkan orang yang masih tinggal di Israel?"

Janji Allah kepada Orang Buangan

14TUHAN berfirman kepadaku,

15"Hai manusia fana, penduduk Yerusalem sedang bercakap tentang engkau dan sesama bangsamu, umat Israel yang dalam buangan. Mereka berkata, ‘Orang buangan terlalu jauh untuk beribadat kepada TUHAN. TUHAN telah memberi kita tanah ini sebagai milik kita.’

16Beritahulah sesama bangsamu dalam buangan bahawa Akulah yang menghantar mereka jauh ke antara bangsa-bangsa, serta mencerai-beraikan mereka di negeri-negeri lain. Namun untuk sementara waktu, Aku akan menyertai mereka di tempat itu.

17Oleh itu beritahulah mereka apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Aku akan mengumpulkan mereka dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka, lalu Aku akan mengembalikan negeri Israel kepada mereka.

18Apabila mereka pulang, mereka mesti membuang segala berhala yang keji dan menjijikkan itu.

19Aku akan memberi mereka hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati mereka yang keras seperti batu, dengan hati yang taat.

20Barulah mereka akan mentaati hukum-Ku dan mematuhi semua perintah-Ku dengan setia. Mereka akan menjadi umat-Ku, dan Aku menjadi Allah mereka.

21Tetapi Aku akan menghukum orang yang suka menyembah berhala yang keji serta menjijikkan. Aku akan menghukum mereka kerana perbuatan mereka itu." Demikianlah firman TUHAN Raja.

Allah Meninggalkan Yerusalem

22Kerub-kerub itu mulai terbang, dan roda-roda pun ikut sama. Cahaya berkilauan yang menandakan hadirat Allah Israel berada di atas kerub-kerub itu.

23Kemudian cahaya yang berkilauan itu meninggalkan kota dan pindah ke gunung di sebelah timur kota.

24Dalam penglihatan itu, Roh Allah mengangkat aku dan membawa aku kembali ke tempat orang buangan di Babilonia. Kemudian penglihatan itu lenyap,

25dan aku pun memberitahu orang buangan tentang segala yang telah ditunjukkan TUHAN kepadaku.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel