Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 23 >> 

Harapan untuk Masa Depan

1Alangkah dahsyatnya hukuman TUHAN terhadap para penguasa yang membinasakan dan mencerai-beraikan umat-Nya!

2Inilah yang difirmankan TUHAN, Allah Israel, tentang para penguasa yang seharusnya menjaga umat-Nya, "Kamu tidak menjaga umat-Ku; sebaliknya kamu mencerai-beraikan dan mengusir mereka. Sekarang Aku akan menghukum kamu kerana kejahatan kamu.

3Aku akan mengumpulkan umat-Ku yang lain dari negeri-negeri tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Aku akan membawa mereka kembali ke tanah air mereka. Mereka akan mempunyai banyak keturunan dan mereka akan bertambah banyak.

4Aku akan melantik penguasa untuk menjaga mereka. Umat-Ku tidak akan takut atau gentar lagi; Aku tidak akan menghukum mereka lagi. Aku, TUHAN, telah berfirman."

5TUHAN berfirman, "Masanya akan tiba apabila Aku melantik seorang raja yang adil daripada keturunan Daud. Raja itu akan memerintah dengan bijaksana, dan melakukan apa yang adil dan benar di seluruh negeri.

6Apabila dia menjadi raja, orang Yehuda akan selamat, dan orang Israel akan hidup dengan damai. Raja itu akan disebut ‘TUHAN Penyelamat Kita’.

7Masanya akan tiba apabila orang tidak lagi bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari Mesir.

8Tetapi mereka akan bersumpah demi Aku, Allah yang hidup, yang membawa umat Israel keluar dari sebuah negeri di utara, dan dari semua negeri lain tempat Aku mencerai-beraikan mereka. Kemudian mereka akan tinggal di tanah air mereka sendiri."

Perkhabaran Yeremia tentang Nabi-Nabi

9Hatiku hancur dan aku gementar. TUHAN dan firman-Nya yang suci menjadikan aku seperti orang mabuk, orang yang minum terlalu banyak wain.

10Negeri penuh dengan orang yang tidak setia kepada TUHAN. Hidup mereka jahat dan mereka menyalahgunakan kuasa. Rumput di padang menjadi kering dan seluruh negeri berkabung, kerana dikutuk oleh TUHAN.

11TUHAN berfirman, "Nabi dan imam tidak mahu taat kepada-Ku. Aku mendapati mereka berbuat jahat bahkan di Rumah-Ku.

12Oleh itu, jalan yang dilalui mereka akan licin dan gelap; Aku akan menyebabkan mereka tersandung dan jatuh. Aku akan mendatangkan malapetaka kepada mereka, apabila masanya tiba untuk menghukum mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.

13Aku telah nampak dosa nabi-nabi Samaria. Mereka berucap demi nama Baal, dan menyesatkan umat-Ku Israel.

14Tetapi di Yerusalem, Aku nampak nabi-nabi melakukan hal-hal yang lebih jahat lagi. Mereka berdusta dan berzina, serta menyokong orang yang berbuat jahat, sehingga tiada seorang pun mahu bertaubat. Bagi-Ku, mereka semua jahat seperti penduduk Sodom dan Gomora."

15Inilah firman TUHAN Yang Maha Kuasa tentang nabi-nabi di Yerusalem, "Aku akan memberi mereka tanaman pahit sebagai makanan dan racun sebagai minuman, kerana mereka menyebabkan orang di seluruh negeri tidak mentaati Aku."

16TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada penduduk Yerusalem, "Jangan dengarkan perkataan nabi-nabi yang sentiasa memberikan harapan kosong belaka. Mereka hanya menyampaikan khayalan sendiri dan bukan perkhabaran daripada-Ku.

17Mereka selalu berkata kepada orang yang tidak mahu mendengarkan firman-Ku, ‘Kamu akan selamat.’ Mereka berkata kepada setiap orang yang degil, ‘Kamu tidak akan ditimpa bencana.’"

18Aku berkata, "Tiada seorang pun daripada nabi-nabi itu mengetahui apa yang terkandung dalam fikiran TUHAN. Tiada seorang pun antara mereka yang pernah mendengar dan memahami rancangan-Nya; tiada juga yang memperhatikan atau mengendahkan firman-Nya.

19Kemurkaan-Nya bagaikan angin ribut yang mengamuk dan melanda orang jahat.

20Kemurkaan-Nya tidak akan reda sebelum semua rancangan-Nya dilaksanakan. Pada kemudian hari, umat TUHAN akan memahami hal itu dengan jelas."

21TUHAN berfirman, "Aku tidak mengutus nabi-nabi itu, namun mereka pergi juga. Aku tidak memberikan perkhabaran kepada mereka, namun mereka berkata-kata demi nama-Ku.

22Seandainya mereka tahu apa yang terkandung dalam fikiran-Ku, tentu mereka akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku kepada umat-Ku. Dengan demikian umat-Ku akan berhenti melakukan dosa dan perbuatan yang jahat.

23Aku ini Allah yang hadir di mana-mana, dan bukan Allah yang hadir di satu tempat sahaja.

24Tiada seorang pun dapat menyembunyikan diri daripada pandangan-Ku, kerana Aku hadir di mana-mana, di syurga dan di bumi.

25Aku tahu semua yang dikatakan oleh nabi-nabi itu. Demi nama-Ku mereka berdusta bahawa perkhabaran-Ku telah diterima mereka melalui mimpi.

26Sampai bilakah nabi-nabi itu akan menyesatkan umat-Ku dengan dusta yang dibuat-buat mereka sendiri?

27Mereka berfikir bahawa mimpi-mimpi yang diceritakan mereka itu akan menyebabkan umat-Ku melupakan Aku sebagaimana nenek moyang mereka melupakan Aku, lalu menyembah Baal.

28Nabi yang bermimpi seharusnya berkata, ‘Itu hanya mimpi.’ Tetapi nabi yang menerima perkhabaran daripada-Ku haruslah menyampaikan perkhabaran itu dengan setia. Apalah jerami jika dibandingkan dengan gandum!

29Firman-Ku bagaikan api, dan bagaikan tukul yang menghancurkan batu.

30Aku melawan nabi-nabi yang menyampaikan perkhabaran daripada sesama mereka, lalu mengatakan bahawa perkhabaran itu daripada-Ku.

31Aku juga melawan nabi-nabi yang menyampaikan kata-kata sendiri, lalu mengatakan bahawa kata-kata itu daripada-Ku.

32Aku, TUHAN berfirman; dengarlah! Aku akan melawan nabi-nabi yang menyampaikan mimpi yang penuh dusta. Mereka menceritakan mimpi-mimpi itu lalu menyesatkan umat-Ku dengan dusta dan cakap besar mereka. Aku tidak mengutus atau memberikan arahan kepada nabi-nabi itu. Mereka sama sekali tidak berguna bagi umat-Ku. Aku, TUHAN, telah berfirman."

Beban TUHAN

33TUHAN berfirman, "Hai Yeremia, apabila salah seorang umat-Ku, atau seorang nabi atau seorang imam bertanya kepadamu, ‘Apa perkhabaran TUHAN?’ Engkau harus menjawab, ‘Engkaulah beban TUHAN, kerana itu engkau akan dibuang-Nya.’

34Jika salah seorang umat-Ku atau seorang nabi atau seorang imam menyebut perkataan ‘beban TUHAN’, Aku akan menghukum dia dan keluarganya.

35Sebaliknya, setiap orang harus bertanya kepada kawannya dan kepada sanak saudaranya, ‘Apakah jawapan TUHAN? Apakah yang difirmankan TUHAN?’

36Mereka tidak boleh lagi menggunakan perkataan ‘beban TUHAN’. Jika ada orang yang masih menggunakan perkataan itu, Aku akan menjadikan perkhabaran-Ku benar-benar beban baginya. Orang sudah memutarbalikkan firman daripada Aku, Allah mereka, Allah yang hidup, TUHAN Yang Maha Kuasa.

37Hai Yeremia, tanyalah nabi-nabi itu, ‘Apakah jawapan TUHAN kepada kamu? Apakah yang difirmankan TUHAN?’

38Jika ada orang yang tidak taat kepada perintah-Ku itu, dan masih menggunakan perkataan ‘beban TUHAN’,

39Aku akan memungut mereka, lalu membuang mereka jauh-jauh, baik mereka mahupun kota yang telah Kuberikan kepada mereka dan nenek moyang mereka.

40Aku akan mempermalukan dan menghina mereka sampai selama-lamanya, dan kesudahan mereka tidak akan dilupakan orang."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 23 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel