Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yeremia 34 >> 

Perkhabaran untuk Raja Zedekia

1TUHAN berfirman kepadaku ketika Raja Nebukadnezar dari Babilonia dan tenteranya menyerang Yerusalem serta kota-kota di sekitarnya. Raja itu dibantu oleh tentera negeri-negeri dan bangsa-bangsa yang takluk kepadanya.

2TUHAN, Allah Israel, menyuruh aku menyampaikan firman-Nya kepada Raja Zedekia dari Yehuda, "Aku, TUHAN, akan menyerahkan kota ini kepada raja Babilonia dan dia akan membakarnya.

3Engkau tidak akan dapat melarikan diri; engkau akan ditangkap dan diserahkan kepadanya. Engkau akan berjumpa dengan dia dan engkau sendiri bercakap dengan dia; lalu engkau akan pergi ke Babilonia.

4Hai Zedekia, dengarlah firman-Ku tentang engkau. Engkau tidak akan dibunuh dalam pertempuran.

5Engkau akan meninggal dengan tenteram, dan sebagaimana orang membakar kemenyan ketika mereka mengebumikan nenek moyangmu, iaitu raja-raja sebelum zamanmu, demikian juga mereka akan membakar kemenyan bagimu. Mereka akan berkabung bagimu dan berkata, ‘Raja kita sudah mangkat!’ Aku, TUHAN, telah berfirman."

6Kemudian aku menyampaikan perkhabaran itu kepada Raja Zedekia di Yerusalem,

7pada masa tentera raja Babilonia menyerang kota Yerusalem. Tentera Babilonia juga menyerang Lakhis dan Aseka, dua buah kota berkubu yang masih bertahan di Yehuda.

Perlakuan Curang terhadap Hamba

8Raja Zedekia dan penduduk Yerusalem membuat perjanjian untuk membebaskan

9orang Ibrani yang menjadi hamba mereka, baik lelaki mahupun perempuan, supaya tiada seorang pun daripada bangsa Israel yang memperhamba sesama bangsanya.

10Semua rakyat dan pemimpin mereka bersetuju untuk membebaskan hamba mereka, dan tidak sekali-kali akan memperhamba mereka lagi. Demikianlah yang dilakukan oleh mereka.

11Tetapi tidak lama kemudian, mereka mengubah fikiran. Mereka mengambil kembali hamba-hamba yang telah dibebaskan itu dan memaksa mereka menjadi hamba semula.

12Lalu TUHAN,

13Allah Israel, menyuruh aku berkata kepada umat itu, "Aku telah membuat perjanjian dengan nenek moyang kamu ketika Aku membawa mereka keluar dari Mesir dan membebaskan mereka daripada perhambaan. Aku memberitahu mereka bahawa

14tiap-tiap tujuh tahun mereka mesti membebaskan sesiapa sahaja orang Ibrani yang telah menjadi hamba mereka selama enam tahun. Tetapi nenek moyang kamu tidak memperhatikan atau mendengarkan firman-Ku.

15Beberapa hari yang lalu, kamu melakukan perkara yang menyukakan hati-Ku. Kamu semua bersetuju untuk membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Kamu membuat perjanjian di hadapan-Ku di Rumah-Ku, tempat Aku disembah.

16Tetapi kemudian kamu mengubah fikiran dan menghina Aku. Hamba-hamba yang telah kamu bebaskan menurut kehendak mereka, telah kamu ambil kembali dan kamu paksa menjadi hamba semula.

17Oleh itu sekarang, Aku, TUHAN, berfirman: Kamu tidak taat kepada-Ku; kamu tidak membebaskan sesama bangsa kamu yang menjadi hamba. Jika demikian, Aku akan memberi kamu kebebasan: kebebasan untuk mati kerana peperangan, wabak, dan kebuluran. Aku akan menyebabkan setiap bangsa di dunia ngeri melihat hal yang Aku lakukan kepada kamu.

18Para pegawai negeri Yehuda dan Yerusalem, bersama para pegawai istana, para imam, dan segenap rakyat membuat perjanjian dengan Aku. Mereka menyembelih lembu jantan dan membelahnya menjadi dua, lalu berjalan di antara dua belahan lembu itu untuk mengesahkan perjanjian itu. Tetapi mereka melanggar perjanjian itu dan tidak memenuhi syarat-syaratnya. Oleh itu Aku akan memperlakukan mereka sebagaimana mereka memperlakukan lembu jantan itu.

19(34:18)

20Aku akan menyerahkan mereka kepada musuh yang hendak membunuh mereka. Mayat mereka akan dimakan burung dan binatang liar.

21Aku juga akan menyerahkan Raja Zedekia dari Yehuda, dan para pegawainya kepada orang yang hendak membunuh mereka. Aku akan menyerahkan mereka kepada tentera Babilonia, yang telah menghentikan serangan terhadap kamu.

22Aku akan memberikan perintah, lalu mereka akan menyerang kota ini semula. Mereka akan merebut kota ini lalu membakarnya. Aku akan menjadikan kota-kota di Yehuda seperti gurun yang tidak didiami orang. Aku, TUHAN, telah berfirman."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yeremia 34 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel