Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yesaya 47 >> 

Hukuman terhadap Babel

1TUHAN berfirman, "Hai Babel, turunlah dari takhtamu, dan duduklah di atas debu. Dahulu kamu seperti anak dara, kota yang tidak dijajah, tetapi sekarang kamu tidak lagi menarik ataupun manis!

2Gilinglah tepung dengan batu kisaran; tanggalkanlah kain tudungmu, angkatlah kainmu sampai nampak betismu dan seberangilah sungai-sungai!

3Orang akan nampak kamu bertelanjang, dihina serta dipermalukan. Aku akan membalas dendam, dan tidak seorang pun Aku biarkan terlepas."

4Allah Israel, Allah yang suci, membebaskan kita, nama-Nya TUHAN Yang Maha Kuasa.

5TUHAN berfirman kepada Babel, "Diamlah! Duduklah dalam kegelapan! Kamu tidak lagi disebut ratu bangsa-bangsa!

6Aku murka terhadap umat-Ku, Aku tidak menganggap mereka sebagai umat-Ku: Aku menyerahkan mereka ke bawah kuasamu, dan kamu tidak menunjukkan belas kasihan terhadap mereka; bahkan orang tua-tua pun kamu perlakukan dengan kasar.

7Kamu berfikir bahawa kamu akan menjadi ratu selama-lamanya, kamu tidak cuba mengerti, ataupun memikirkan kesudahan semuanya.

8Dengarlah, hai pencinta kesenangan, kamu menyangka bahawa kamu aman dan selamat, dan tiada sesiapa yang seperti kamu. Kamu menyangka kamu tidak akan menjadi balu, ataupun kehilangan anak-anakmu.

9Tetapi dalam sesaat sahaja, dalam satu hari, kedua-dua hal itu akan berlaku. Sekalipun kamu menggunakan segala kuasa sihirmu, kamu akan kehilangan suami serta anak-anakmu.

10Kamu berasa aman dalam kejahatanmu; kamu menyangka tidak seorang pun mengetahuinya. Kebijaksanaan dan pengetahuanmu telah menyesatkan kamu. Kamu menyangka bahawa tiada sesiapa yang seperti kamu.

11Tetapi malapetaka akan menimpa kamu, ilmu sihirmu tidak akan dapat mencegahnya. Kebinasaan akan datang dengan tiba-tiba, kebinasaan yang tidak kamu sangka.

12Teruslah menggunakan segala sihirmu, yang telah kamu gunakan sejak masa mudamu. Mungkin jampi-jampahmu dapat menolong kamu, dan menakut-nakutkan musuhmu.

13Kamu tidak lagi berkuasa sekalipun dengan banyak nasihat yang kamu terima. Biarlah para ahli nujummu tampil untuk menyelamatkan kamu; mereka mempelajari bintang-bintang, meneliti penjuru-penjuru langit, dan pada tiap-tiap bulan, meramalkan apa yang akan berlaku kepadamu.

14Mereka seperti jerami yang habis dibakar api; mereka tidak dapat menyelamatkan diri sendiri! Nyala api itu terlalu panas bagi mereka, bukan api hangat untuk berdiang.

15Itulah sahaja gunanya ahli nujum bagimu; kamu minta nasihat daripada mereka sejak masa mudamu. Mereka semua akan lari dan meninggalkan kamu, tiada sesiapa pun yang tinggal untuk menyelamatkan kamu."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yesaya 47 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel