Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yoel 2 >> 

Belalang Sebagai Amaran tentang Kedatangan Hari TUHAN

1Tiuplah trompet, bunyikan tanda kecemasan di Sion, bukit suci Allah. Gementarlah, hai penduduk Yehuda, kerana Hari TUHAN segera tiba.

2Hari itu gelap dan mendung, hari kelam dan berawan. Bala tentera belalang itu mara seperti kegelapan yang meliputi pergunungan. Belum pernah berlaku perkara seperti ini, dan perkara ini tidak akan berulang lagi.

3Seperti api yang membakar dan menghanguskan, kawanan belalang makan segala tanaman. Di hadapan kawanan belalang, padang indah bagaikan taman Eden. Tetapi di belakang kawanan belalang, padang itu sudah menjadi gersang. Segala-galanya dimusnahkan oleh belalang.

4Rupa belalang itu seperti kuda, dan berlari seperti kuda perang.

5Apabila belalang hinggap di atas gunung, belalang berdetar bagaikan kereta kuda, dan gemeretik bagaikan rumput kering terbakar. Belalang berbaris seperti bala tentera yang siap untuk menyerang.

6Apabila belalang mara, semua orang takut; tiap-tiap muka orang menjadi pucat.

7Belalang menyerang seperti pahlawan, dan memanjat tembok seperti askar. Semua belalang terus mara ke depan, tanpa menukar haluan

8atau berlanggar-langgar. Belalang merempuh segala halangan, tiada yang dapat menegah.

9Belalang menyerang kota, berlari di atas tembok kota, memanjat rumah-rumah, dan masuk melalui jendela seperti pencuri.

10Bumi bergoncang ketika belalang mara, dan langit pun bergegar. Matahari dan bulan menjadi gelap, bintang-bintang tidak lagi bercahaya.

11TUHAN memberikan perintah dengan nyaring kepada tentera-Nya. Askar yang taat kepada-Nya banyak dan perkasa. Alangkah dahsyatnya hari TUHAN! Tidak seorang pun akan dapat bertahan.

Panggilan untuk Bertaubat

12TUHAN berfirman, "Tetapi sekarang bertaubatlah dengan sungguh-sungguh dan kembalilah kepada-Ku dengan berpuasa, menangis, dan meratap.

13Biarlah hati kamu yang hancur itu menyatakan penyesalan, jangan hanya mengoyakkan pakaian." Kembalilah kepada TUHAN Allah kamu. Dia penyayang dan penuh rahmat; Dia sabar dan menepati janji-Nya; Dia sentiasa sedia mengampuni dan tidak suka menghukum.

14Mungkin TUHAN Allah kamu akan mengubah fikiran-Nya, lalu memberkati kamu dengan hasil bumi yang banyak. Oleh itu kamu dapat mempersembahkan gandum dan wain kepada-Nya.

15Tiuplah trompet di Bukit Sion; berikanlah perintah untuk berpuasa, dan adakanlah satu perhimpunan.

16Kumpulkanlah segenap rakyat, siapkanlah mereka untuk perhimpunan umat, bawalah orang tua, kumpulkanlah anak-anak dan bayi-bayi juga. Pasangan yang baru berkahwin pun mesti meninggalkan bilik, lalu datang.

17Para imam yang mengabdi kepada TUHAN di antara mazbah dan pintu Rumah TUHAN, mesti menangis dan berdoa demikian, "Kasihanilah umat-Mu, ya TUHAN. Jangan biar bangsa lain menghina dan mengolok-olok kami dengan berkata, ‘Di manakah Allah kamu?’"

Allah Menjadikan Tanah Subur Semula

18Kemudian TUHAN menunjukkan bahawa Dia mengambil berat tentang tanah-Nya; Dia mengasihani umat-Nya.

19Dia menjawab mereka, "Sekarang Aku hendak memberi kamu gandum, wain, dan minyak zaitun, lalu kamu akan dikenyangkan. Bangsa-bangsa lain tidak akan menghina kamu lagi.

20Aku akan menjauhkan pasukan belalang yang datang dari utara. Aku akan mengusir sebilangan daripada pasukan itu ke padang gurun. Barisan hadapan pasukan itu akan dihalau sampai tenggelam di Laut Mati, dan barisan belakang tenggelam di Laut Tengah. Belalang yang mati akan menjadi busuk. Aku akan membinasakan pasukan itu kerana segala perbuatannya terhadap kamu.

21Hai ladang, jangan takut; bersukacitalah dan bergembiralah, kerana perkara besar yang dilakukan TUHAN untukmu.

22Hai binatang, jangan takut; kerana padang rumput kini hijau, pokok mengeluarkan buah, dan buah ara serta buah anggur pun banyak.

23Bersukacitalah, hai penduduk Sion, bergembiralah kerana apa yang telah dilakukan TUHAN, Allah kamu bagi kamu; Dia telah memberikan hujan yang cukup pada musim luruh, Dia telah menurunkan hujan pada musim sejuk dan hujan pada musim bunga seperti dahulu.

24Tempat mengirik gandum akan penuh dengan gandum, dan tempat memeras buah anggur akan berkelimpahan dengan wain dan minyak zaitun.

25Aku akan mengganti segala kerugian kamu pada tahun-tahun ketika belalang makan hasil tanaman kamu. Akulah yang menyuruh kawanan belalang itu menyusahkan kamu.

26Tetapi sekarang kamu akan mempunyai cukup makanan sehingga kenyang. Kamu akan memuji TUHAN, Allah kamu, Dia telah melakukan perbuatan ajaib bagi kamu. Umat-Ku tidak sekali-kali akan dihina lagi.

27Oleh itu, hai Israel, kamu akan tahu bahawa Aku ada di tengah-tengah kamu, dan bahawa Aku, TUHAN ialah Allah kamu, dan tiada lagi yang lain. Umat-Ku tidak sekali-kali akan dihina lagi."

Hari TUHAN

28"Kemudian Aku akan mencurahkan Roh-Ku kepada semua orang: anak lelaki dan anak perempuan kamu akan mengisytiharkan perkhabaran-Ku; orang tua kamu akan bermimpi, dan orang muda kamu akan nampak penglihatan.

29Pada masa itu Aku akan mencurahkan roh-Ku bahkan kepada hamba-hamba, baik lelaki mahupun perempuan.

30Aku akan memberikan petanda hari itu, di langit dan di bumi; akan ada pertumpahan darah, api dan gumpalan asap.

31Sebelum Hari TUHAN yang dahsyat dan mengerikan itu tiba, matahari akan menjadi gelap, dan bulan akan menjadi merah seperti darah.

32Tetapi semua orang yang meminta pertolongan TUHAN akan diselamatkan. Sebagaimana TUHAN telah berfirman, ‘Sebilangan orang di Yerusalem akan terselamat; mereka yang Aku pilih akan hidup.’"


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yoel 2 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel