Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Yoel 3 >> 

Allah akan Mengadili Bangsa-Bangsa

1TUHAN berfirman, "Pada masa itu Aku akan memulihkan kemakmuran Yehuda dan Yerusalem.

2Aku akan mengumpulkan semua bangsa dan membawa mereka ke Lembah Penghakiman. Aku akan menghakimi mereka di situ kerana segala perbuatan mereka terhadap umat-Ku. Mereka telah membuang umat-Ku ke berbagai negeri, dan membahagi-bahagikan tanah Israel, negeri milik-Ku.

3Mereka membuang undi untuk menentukan pemilik orang tawanan. Mereka menjual budak lelaki dan perempuan supaya dijadikan abdi. Mereka menggunakan wang yang diperoleh untuk membayar pelacur dan membeli wain.

4Apakah yang kamu cuba lakukan kepada-Ku, hai Tirus, Sidon, dan seluruh wilayah Filistea? Adakah kamu cuba membalas dendam terhadap Aku? Jika demikian, Aku akan membalas kamu dengan segera.

5Kamu telah merampas emas dan perak-Ku, serta membawa harta kekayaan-Ku ke dalam rumah berhala kamu.

6Kamu telah membawa penduduk Yehuda dan Yerusalem ke tempat yang jauh, serta menjual mereka kepada orang Yunani.

7Tetapi sekarang Aku membawa mereka keluar dari tempat-tempat kamu menjual mereka. Aku akan membalas kejahatan kamu terhadap mereka.

8Anak-anak lelaki dan perempuan kamu akan dijual kepada orang Yehuda; orang Yehuda pula akan menjual mereka kepada Syeba, negeri yang sangat jauh. Aku, TUHAN telah berfirman.

9Umumkanlah hal ini kepada bangsa-bangsa, ‘Bersiaplah untuk berperang, panggillah para pahlawan kamu; kumpulkanlah semua askar, dan maralah!

10Leburlah mata bajak untuk dijadikan pedang, dan juga sabit untuk dijadikan tombak. Hendaklah orang yang lemah turut berkata: Aku pahlawan.

11Marilah segera, hai bangsa-bangsa di sekitar, berkumpullah di lembah.’" Ya TUHAN, kirimlah tentera-Mu untuk menyerang mereka.

12TUHAN berfirman lagi, "Bangsa-bangsa mesti bersiap dan datang ke Lembah Penghakiman. Di sana Aku, TUHAN akan duduk dan menghakimi, semua bangsa di sekitar.

13Mereka sangat kejam, potonglah mereka seperti gandum pada musim menuai; peraslah mereka seperti buah anggur di tempat memeras buah anggur sehingga wain melimpah."

14Beribu-ribu orang berada di Lembah Penghakiman. Di sanalah Hari TUHAN akan segera datang.

15Matahari dan bulan menjadi gelap, dan bintang-bintang tidak lagi bercahaya.

Allah akan Memberkati Umat-Nya

16Suara TUHAN bergemuruh dari Bukit Sion; Dia mengguntur dari Yerusalem; langit dan bumi bergoncang, tetapi Dia akan melindungi umat-Nya.

17"Oleh itu hai Israel, barulah kamu tahu, bahawa Akulah TUHAN, Allah kamu. Aku tinggal di Sion, bukit-Ku yang suci. Yerusalem akan menjadi kota yang suci; orang bangsa asing tidak sekali-kali akan merampasnya lagi.

18Pada masa itu gunung akan diliputi ladang anggur; ternakan akan terdapat di tiap-tiap bukit; semua sungai di Yehuda akan penuh air. Sebatang sungai akan mengalir dari Rumah TUHAN; sungai itu akan mengairi Lembah Akasia.

19Mesir akan menjadi padang gurun, dan Edom menjadi timbunan puing, kerana mereka telah menyerang Yehuda dan membunuh penduduknya yang tidak bersalah.

20Aku akan membalas dendam bagi pihak mereka yang telah dibunuh; Aku tidak akan membiarkan orang yang bersalah terlepas. Tetapi Yehuda dan Yerusalem akan dihuni orang selama-lamanya, dan Aku, TUHAN akan tinggal di Bukit Sion."

21(3:20)


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yoel 3 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2022
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran