Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 10 >> 

Raja Yehu memusnahkan keluarga Raja Ahab

1Ahab mempunyai tujuh puluh orang anak lelaki di Samaria. Jadi, Yehu menulis beberapa pucuk surat dan mengirimkannya ke Samaria, kepada para pembesar di Yizreel, kepada para tua-tua, dan kepada para wali anak-anak Ahab, bunyinya,

2“Mengingat anak-anak tuanmu ada padamu begitu pula rata, kuda, kota berkubu, serta senjata, maka sekarang, apabila surat ini sampai di tanganmu,

3pilihlah seorang yang terbaik dan paling tepat daripada antara anak-anak tuanmu, lalu dudukkanlah dia di atas takhta ayahnya. Kemudian berperanglah demi keluarga tuanmu.”

4Tetapi mereka sangat ketakutan dan berkata, “Manakala kedua-dua orang raja itu tidak dapat bertahan menghadapinya, bagaimanakah kita mungkin dapat bertahan?”

5Maka kepala istana dan kepala kota berserta para tua-tua dan para wali mengirim utusan kepada Yehu dengan pesan, “Kami ini hamba-hamba tuan. Semua yang tuan katakan kepada kami akan kami lakukan. Kami tidak mahu mengangkat seorang pun menjadi raja. Lakukanlah sahaja apa yang dipandang baik oleh tuan.”

6Kemudian untuk kali keduanya Yehu menulis surat kepada orang itu, bunyinya, “Jika kamu memihak kepadaku dan mahu menuruti kata-kataku, penggallah kepala anak-anak tuanmu dan datanglah kepadaku di Yizreel, esok pada waktu seperti ini.” Kesemua tujuh puluh orang anak raja itu tinggal bersama-sama para pembesar kota yang membesarkan mereka.

7Sebaik sahaja surat itu sampai, mereka menangkap dan menyembelih kesemua tujuh puluh orang anak raja itu. Kepala semua mayat itu mereka taruh dalam keranjang lalu dikirim kepada Yehu di Yizreel.

8Kemudian seorang pesuruh datang memberitahu Yehu, “Mereka sudah membawa kepala anak-anak raja itu.” Kata Yehu, “Susunlah semuanya menjadi dua timbunan di depan pintu gerbang sampai pagi.”

9Pagi harinya keluarlah Yehu. Dia berdiri di hadapan seluruh rakyat dan berkata kepada mereka, “Kamu tidak bersalah. Akulah yang mengadakan komplot melawan tuanku lalu membunuh dia. Tetapi siapakah yang membunuh semua orang ini?

10Ketahuilah sekarang bahawa firman TUHAN, yang telah disampaikan TUHAN mengenai keluarga Ahab, tidak ada yang gugur. TUHAN telah mewujudkan apa yang difirmankan-Nya dengan perantaraan hamba-Nya Elia.”

11Lalu Yehu membunuh semua orang yang masih tinggal daripada keluarga Ahab di Yizreel, juga semua pembesarnya, sahabat-sahabat karibnya, dan imam-imamnya, sehingga tidak ada seorang pun yang ditinggalkan hidup.

12Setelah itu, Yehu bersiap lalu pergi ke Samaria. Di jalan dekat Bet-Eked, perkampungan para gembala,

13Yehu bertemu dengan saudara-saudara Ahazia, raja Yehuda. Dia bertanya, “Siapakah kamu ini?” Jawab mereka, “Kami ini saudara-saudara Ahazia. Kami pergi untuk memberikan salam kepada anak-anak raja dan anak-anak bonda permaisuri.”

14Kata Yehu, “Tangkap mereka hidup-hidup!” Lalu mereka yang seramai empat puluh dua orang itu pun ditangkap hidup-hidup dan disembelih dekat perigi Bet-Eked. Tiada seorang pun ditinggalkannya hidup daripada kalangan mereka.

15Setelah pergi dari sana, dia bertemu pula dengan Yonadab anak Rekhab yang datang menyongsongnya. Yehu memberikan salam kepadanya dan berkata, “Adakah hatimu tulus terhadap aku, seperti hatiku terhadap engkau?” Jawab Yonadab, “Ya!” Kata Yehu, “Jika ya, hulurkanlah tanganmu.” Dia menghulurkan tangannya, lalu Yehu mengajak dia naik ke atas rata.

16Kata Yehu, “Ikutlah aku dan lihatlah semangatku bagi TUHAN.” Demikianlah Yehu membawa dia dalam ratanya.

17Sesampainya Yehu di Samaria, dia menyerang semua orang yang masih ada dari kerabat Ahab di Samaria sehingga mereka punah, selaras dengan firman yang disampaikan TUHAN kepada Elia.

Raja Yehu menghapuskan penyembahan Baal

18Kemudian Yehu mengumpulkan seluruh rakyat dan berkata kepada mereka, “Ahab masih kurang beribadat kepada Baal. Yehu mahu beribadat kepadanya lebih banyak lagi.

19Sekarang, panggillah menghadap aku semua nabi Baal, semua orang yang beribadat kepadanya, dan semua imamnya. Jangan ada seorang pun yang tidak hadir, kerana aku hendak mengadakan upacara korban yang besar bagi Baal. Sesiapa pun yang tidak hadir, tidak akan dibiarkan hidup.” Tetapi sesungguhnya hal itu cuma tipu muslihat Yehu supaya dia dapat membinasakan orang yang beribadat kepada Baal.

20Kata Yehu, “Adakanlah perhimpunan raya suci bagi Baal.” Lalu mereka pun memaklumkannya.

21Yehu mengirim pesan ke seluruh Israel. Maka datanglah semua orang yang beribadat kepada Baal, tidak ada seorang pun yang tidak datang. Mereka masuk ke kuil Baal, sehingga kuil Baal itu penuh sesak dari hujung ke hujung.

22Kata Yehu kepada orang yang mengetuai gudang pakaian, “Keluarkanlah pakaian khusus untuk semua orang yang beribadat kepada Baal.” Maka dia mengeluarkan pakaian untuk orang itu.

23Kemudian Yehu dan Yonadab anak Rekhab masuk ke dalam kuil Baal. Kepada orang yang beribadat kepada Baal dia berkata, “Periksa dan lihatlah, jangan sampai ada seorang pun hamba TUHAN di sini bersama-samamu. Biarlah hanya ada orang yang beribadat kepada Baal sahaja.”

24Lalu mereka masuk untuk mempersembahkan korban sembelihan dan korban bakaran. Akan tetapi, Yehu sudah menempatkan lapan puluh orang di luar dengan pesan, “Sesiapa yang membiarkan selamat seorang sahaja daripada orang yang kuserahkan ke dalam tanganmu, maka nyawanya adalah ganti nyawa orang itu.”

25Sebaik sahaja Yehu selesai mempersembahkan korban bakaran, berkatalah dia kepada para bentara dan para perwira, “Masuklah dan hancurkanlah mereka. Jangan seorang pun yang dapat melepaskan diri.” Maka mereka mematikan orang itu dengan mata pedang. Kemudian para bentara dan para perwira mencampakkan mayat-mayat itu, lalu pergi ke gedung kuil Baal.

26Mereka mengeluarkan tiang-tiang berhala kuil Baal itu dan membakarnya.

27Mereka pun merobohkan tiang-tiang berhala Baal dan juga kuil Baal itu, lalu menjadikannya jamban sampai hari ini.

28Demikianlah Yehu memusnahkan Baal dari Israel.

29Meskipun begitu, Yehu tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel turut berdosa, iaitu penyembahan anak-anak lembu emas di Betel dan di Dan.

30Firman TUHAN kepada Yehu, “Oleh sebab engkau telah berbuat baik dengan melakukan apa yang benar di mata-Ku, dan telah melaksanakan apa yang dikehendaki hati-Ku terhadap keluarga Ahab, maka anak-anakmu akan duduk di atas takhta Israel sampai keturunan yang keempat.”

31Namun demikian, Yehu tidak tetap hidup menurut hukum TUHAN, Allah Israel, dengan segenap hatinya. Dia tidak menjauhkan diri daripada dosa-dosa Yerobeam yang menyebabkan orang Israel turut berdosa.

32Pada zaman itu TUHAN mulai mengecilkan daerah jajahan Israel. Hazael mengalahkan mereka di seluruh daerah Israel,

33dari Sungai Yordan ke arah timur, iaitu seluruh Tanah Gilead, tanah orang Gad, orang Ruben, dan orang Manasye, mulai Aroer berdekatan dengan Lembah Arnon, baik Gilead mahupun Basan.

34Riwayat Yehu selebihnya, semua yang dilakukannya, dan segala kejayaannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?

35Lalu Yehu dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di Samaria. Maka Yoahas, anaknya, menaiki takhta menggantikannya.

36Yehu bertakhta atas Israel di Samaria selama dua puluh lapan tahun.



 <<  2 Raja-raja 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel