Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Roma 10 >> 

1Saudara-saudaraku, hasrat hatiku dan doaku kepada Allah tentang orang Israel ialah semoga mereka akan diselamatkan.

2Aku dapat memberikan kesaksian bahawa mereka bersungguh-sungguh dalam ibadat kepada Allah, tetapi kesungguhan mereka tidak berasaskan pengetahuan yang benar.

3Oleh sebab mereka tidak mengetahui perbenaran yang datang daripada Allah dan mereka berusaha menegakkan perbenaran mereka sendiri, maka mereka tidak tunduk kepada perbenaran Allah.

4Kristus ialah titik tamat hukum supaya perbenaran didapati oleh setiap orang yang beriman.

5Musa telah menulis tentang perbenaran berasaskan hukum Taurat, “Sesiapa yang melakukan hal-hal ini akan hidup mengikutnya.”

6Tetapi perbenaran berasaskan iman berkata demikian, “Jangan bertanya dalam hatimu, ‘Siapa yang akan naik ke syurga?’ (untuk membawa Kristus turun)

7atau, ‘Siapa yang akan turun ke alam kubur?’ (untuk membawa Kristus naik daripada kematian).”

8Apakah yang dikatakan? “Firman itu begitu dekat denganmu, di mulutmu dan dalam hatimu (iaitu firman tentang iman yang kami isytiharkan):

9Jika kamu akui dengan mulutmu bahawa Yesus ialah Tuhan dan percaya dalam hatimu bahawa Allah telah membangkitkan-Nya daripada kematian, kamu akan diselamatkan;

10kerana dengan hatimu kamu beriman dan diperbenar, dan dengan mulutmu kamu mengaku lalu diselamatkan.”

11Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Sesiapa yang percaya kepada-Nya tidak akan diaibkan.”

12Kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang Yunani, kerana Tuhan yang sama berkuasa atas semuanya dan melimpahkan berkat ke atas semua yang menyeru kepada-Nya.

13Kerana “Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.”

14Jadi, bagaimana mereka dapat menyeru kepada-Nya sedangkan mereka tidak beriman kepada-Nya? Dan bagaimana mereka dapat beriman kepada-Nya sedangkan mereka tidak pernah mendengar tentang-Nya? Dan bagaimana mereka dapat mendengar sedangkan tiada sesiapa pun yang mengkhabarkan tentang-Nya?

15Dan bagaimana orang dapat mengajar kecuali dihantar? Sebagaimana tersurat dalam Kitab Suci, “Alangkah indahnya kaki mereka yang membawa berita baik!”

16Akan tetapi, tidak semua yang mahu menerima berita Injil itu. Sebagaimana kata Yesaya, “Tuhan, siapa yang percaya akan perkhabaran yang kami sampaikan?”

17Oleh itu, iman datang daripada mendengar perkhabaran itu, dan perkhabaran itu didengar melalui sabda Kristus.

18Tetapi aku bertanya, “Tidakkah mereka mendengar?” Tentu sekali: “Suara mereka telah tersebar ke serata bumi, dan kata-kata mereka telah sampai ke hujung dunia.”

19Sekali lagi aku bertanya, “Tidakkah orang Israel mengerti?” Pertama, Musa berkata: ‘Aku akan membuatmu iri hati dengan orang yang bukan satu bangsa; Aku akan membuatmu marah dengan satu bangsa yang tidak mengerti.’

20Kemudian Yesaya lantang berkata, ‘Aku telah ditemui oleh mereka yang tidak mencari-Ku; Aku menyatakan diri-Ku kepada orang yang tidak memohon kehadiran-Ku.’ ”

21Tetapi kepada orang Israel dia berkata, ‘Sepanjang hari telah Kuhulurkan tangan-Ku kepada bangsa yang ingkar dan keras kepala.’



 <<  Roma 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Single Panel

Laporan Masalah/Saran