Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 39 >> 

Kekalahan Gog

1Engkau, wahai anak manusia, bernubuatlah menentang Gog dan katakan: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai Gog, raja agung negeri Mesekh dan Tubal.

2Aku akan menarik engkau dan menggiring engkau. Akan Kubawa engkau dari hujung utara lalu Kudatangkan engkau ke gunung-gunung Israel.

3Busurmu akan Kupukul daripada tangan kirimu, dan anak-anak panahmu akan Kujatuhkan daripada tangan kananmu.

4Maka engkau akan tewas di atas gunung-gunung Israel dengan seluruh pasukanmu dan bangsa-bangsa yang menyertaimu. Kemudian akan Kuserahkan engkau sebagai makanan bagi segala jenis burung pemangsa dan binatang liar.

5Engkau akan rebah di padang terbuka kerana Aku telah berfirman, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

6Aku akan melepaskan api ke atas Majuj dan ke atas penduduk daerah pesisir yang hidup aman. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

7Aku akan menyatakan nama-Ku yang suci di tengah-tengah umat-Ku Israel, dan Aku tidak akan membiarkan nama-Ku yang suci itu dicemarkan lagi. Maka bangsa-bangsa akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Yang Maha Suci di tengah-tengah orang Israel.

8Sungguh, hal itu akan terlaksana dan akan terjadi, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Itulah hari yang telah Kufirmankan.

9Penduduk di kota-kota Israel akan keluar menyalakan api dan membakar persenjataan Gog, iaitu perisai kecil dan perisai besar, busur dan anak panah, gada dan tombak. Mereka akan membakarnya habis hingga tujuh tahun lamanya.

10Tidak perlu mereka mengambil kayu bakar dari padang atau menebangnya di hutan, kerana mereka akan mendapat api dengan membakar persenjataan itu. Mereka akan menjarah orang yang dahulu menjarah mereka dan merampas orang yang dahulu merampas mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

Penguburan Gog

11Pada hari itu Aku akan memberi Gog suatu tempat perkuburan di Israel, iaitu Lembah Orang yang Menyeberang di sebelah timur laut, dan perkuburan itu akan menghalangi orang yang menyeberang, kerana di sanalah Gog dan seluruh pasukan itu akan dikuburkan; tempat itu akan disebut Lembah Pasukan Gog.

12Tujuh bulan lamanya keturunan kaum Israel akan menguburkan mereka untuk menyucikan negeri itu,

13dan seluruh rakyat negeri akan turut menguburkan mereka. Hal itu akan menjadikan mereka masyhur, iaitu pada hari Aku menyatakan kemuliaan-Ku, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

14Beberapa orang akan dikhususkan untuk terus menjelajahi negeri itu. Mereka harus menguburkan saki-baki orang yang menyeberang, di atas tanah untuk menyucikannya. Mereka akan mengadakan pemeriksaan setelah berlalunya masa tujuh bulan itu.

15Para penjelajah negeri itu akan berjalan. Apabila seseorang melihat tulang manusia, maka dia akan mendirikan rambu-rambu di sampingnya sampai tukang-tukang kubur menguburkannya di Lembah Pasukan Gog.

16Akan ada juga sebuah kota bernama Pasukan. Demikianlah mereka akan menyucikan negeri itu.”

17Engkau, wahai anak manusia, beginilah firman Tuhan ALLAH kepadamu: Katakan kepada segala jenis burung dan segala binatang liar, “Berkumpullah dan datanglah dari segala penjuru ke perayaan korban yang Kuadakan bagimu, iaitu perayaan korban besar di atas gunung-gunung Israel. Kamu akan makan daging dan minum darah.

18Daging kesateria akan kamu makan, dan darah pemimpin dunia akan kamu minum. Mereka semua seperti domba jantan, anak domba, kambing jantan, lembu jantan, dan ternakan tambun dari Basan.

19Kamu akan makan lemak sampai kenyang dan minum darah sampai mabuk pada perayaan korban yang Kuadakan bagimu.

20Dalam perjamuan-Ku kamu akan dikenyangkan dengan daging kuda dan penunggangnya, para kesateria, serta semua pejuang, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

21Aku akan menyatakan kemuliaan-Ku di antara bangsa, dan segala bangsa akan menyaksikan hukuman yang Kujatuhkan serta kuasa-Ku yang melanda mereka.

22Maka sejak hari itu dan seterusnya, keturunan kaum Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.

23Bangsa-bangsa akan tahu bahawa keturunan kaum Israel harus pergi ke tempat pembuangan akibat kesalahan mereka, kerana mereka berbuat mungkar terhadap Aku sehingga Aku menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka. Aku menyerahkan mereka ke dalam tangan lawan-lawan mereka sehingga mereka semua tewas oleh pedang.

24Aku memperlakukan mereka selaras dengan kenajisan serta pelanggaran mereka, dan Aku menyembunyikan hadirat-Ku daripada mereka.”

25Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sekarang Aku akan memulihkan keadaan Yakub dan mengasihani seluruh keturunan kaum Israel. Aku tergerak kerana kecemburuan-Ku untuk membela kepentingan nama-Ku yang suci.

26Mereka akan melupakan aib mereka serta segala kemungkaran yang diperbuat mereka terhadap Aku ketika mereka tinggal dengan aman di tanah mereka tanpa ada yang mengusik.

27Setelah Aku mengembalikan mereka daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan mereka dari negeri musuh-musuh mereka, Aku akan menyatakan kesucian-Ku melalui mereka di hadapan mata banyak bangsa.

28Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka, kerana Aku telah menyuruh mereka pergi ke tempat pembuangan di antara bangsa-bangsa dan telah mengumpulkan mereka kembali di tanah mereka. Aku tidak akan meninggalkan mereka lagi di sana.

29Aku tidak akan menyembunyikan hadirat-Ku lagi daripada mereka kerana Aku telah mencurahkan Roh-Ku ke atas keturunan kaum Israel, demikianlah firman Tuhan ALLAH.”



 <<  Yehezkiel 39 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel