Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 1 >> 

Elkana dan Keluarganya di Silo

1Ada seorang lelaki bernama Elkana. Dia daripada suku Efraim yang tinggal di kota Rama, di kawasan perbukitan Efraim. Elkana ialah anak Yeroham dan cucu Elihu. Elkana daripada keluarga Tohu, salah satu keluarga daripada puak Zuf.

2Elkana mempunyai dua orang isteri, Hana dan Penina. Penina mempunyai anak tetapi Hana tidak.

3Tiap-tiap tahun Elkana berangkat dari Rama dan pergi ke Silo untuk beribadat dan mempersembahkan korban kepada TUHAN Yang Maha Kuasa. Di Silo, Hofni dan Pinehas, iaitu anak-anak Eli, menjadi imam-imam TUHAN.

4Tiap-tiap kali Elkana mempersembahkan korban, dia memberikan satu bahagian daging korban itu kepada Penina dan satu bahagian kepada setiap anaknya.

5Walaupun Elkana sangat mencintai Hana, Elkana memberi dia satu bahagian daging sahaja, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepadanya.

6Hana selalu disakiti hati dan dihina oleh Penina, madunya itu, kerana TUHAN tidak memberikan anak kepada Hana.

7Perkara itu berlangsung selama bertahun-tahun. Setiap kali mereka pergi ke rumah TUHAN, Penina selalu menyakiti hati Hana sehingga Hana menangis dan tidak mahu makan apa-apa.

8Setiap kali pula suaminya Elkana akan bertanya kepadanya, "Hana, mengapa menangis? Mengapa tidak mahu makan? Mengapa selalu bersedih? Bukankah aku lebih berharga bagimu daripada sepuluh orang anak lelaki?"

Hana dan Eli

9Pada suatu hari, setelah mereka makan di rumah TUHAN di Silo, Hana bangkit dari tempat makan. Pada masa itu Imam Eli yang juga berada di rumah TUHAN, sedang duduk di kerusinya dekat pintu. Dengan sangat sedih, Hana berdoa kepada TUHAN sambil menangis tersedu-sedu.

10(1:9)

11Kemudian Hana mengucapkan suatu janji, katanya, "Ya TUHAN Yang Maha Kuasa, perhatikanlah hamba-Mu ini. Lihatlah kesusahanku, dan ingatlah akan aku. Jangan lupakan aku. Jika Engkau memberikan seorang anak lelaki kepadaku, aku berjanji akan menyerahkan dia kepada-Mu seumur hidupnya. Rambutnya tidak akan dipotong."

12Lama sekali Hana berdoa kepada TUHAN, dan selama itu Eli memperhatikan mulut Hana.

13Hana berdoa dengan senyap; oleh itu hanya bibirnya yang bergerak tetapi suaranya tidak kedengaran. Itulah sebabnya dia disangka mabuk oleh Eli.

14Kemudian Eli berkata kepadanya, "Jangan mabuk di sini! Jangan minum wain lagi!"

15Hana menjawab, "Tuan, saya tidak mabuk. Saya tidak minum wain. Saya putus asa, dan saya sedang berdoa untuk meluahkan isi hati kepada TUHAN.

16Tolong jangan anggap saya sebagai perempuan hina. Saya berdoa seperti ini kerana saya sangat sedih."

17Kemudian Eli berkata, "Jika begitu, pulanglah dengan sejahtera. Semoga Allah Israel mengabulkan permintaanmu."

18"Semoga saya mendapat restu tuan," kata Hana. Kemudian Hana pergi dari situ, lalu makan dan tidak sedih lagi.

Samuel Dilahirkan dan Diserahkan kepada Allah

19Pada keesokan hari, Elkana dan keluarganya bangun pagi-pagi. Setelah mereka beribadat kepada TUHAN, mereka pulang ke Rama. Elkana bersetubuh dengan isterinya Hana, dan TUHAN mengabulkan doa Hana.

20Hana mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki. Hana menamakan anak itu Samuel, kerana katanya, "Aku sudah memintanya daripada TUHAN."

21Kemudian tibalah masanya bagi Elkana dan keluarganya pergi ke Silo lagi untuk mempersembahkan korban tahunan kepada TUHAN. Selain itu Elkana sudah berjanji untuk mempersembahkan suatu korban khas.

22Tetapi kali ini Hana tidak ikut. Dia berkata kepada suaminya, "Sebaik saja Samuel bercerai susu, aku akan membawa dia ke rumah TUHAN, dan dia akan tinggal di situ seumur hidupnya."

23Elkana berkata, "Baiklah, lakukanlah apa yang engkau pandang baik. Tinggallah di rumah sampai anak kita bercerai susu. Semoga TUHAN membuat janjimu menjadi kenyataan." Maka Hana tinggal di rumah sehingga anaknya itu bercerai susu.

24Setelah anak itu bercerai susu, Hana membawa dia ke rumah TUHAN di Silo. Pada masa itu Samuel masih sangat kecil. Hana juga membawa seekor lembu jantan yang berumur tiga tahun, sepuluh kilogram tepung gandum, dan satu kirbat wain.

25Setelah mereka menyembelih lembu itu, mereka menghantar Samuel kepada Eli.

26Hana berkata kepada Eli, "Tuan, masih ingatkah tuan akan saya? Sayalah perempuan yang tuan nampak berdiri di sini dahulu, yang berdoa kepada TUHAN.

27Saya minta anak ini daripada TUHAN, dan Dia sudah mengabulkan permintaan saya.

28Oleh itu saya menyerahkan anak ini kepada TUHAN. Anak ini akan menjadi milik TUHAN seumur hidupnya." Selepas itu mereka beribadat kepada TUHAN di situ.



 <<  1 Samuel 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel