Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 38 >> 

Yehuda dan Tamar

1Maka Yehuda pun pergi meninggalkan para saudaranya dan menumpang dengan seorang Adulam bernama Hira.

2Di situ Yehuda melihat anak perempuan seorang Kanaan bernama Syua. Maka seterusnya Yehuda memperisteri perempuan itu dan menidurinya.

3Perempuan itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Er.

4Lalu dia mengandung lagi dan melahirkan seorang anak lelaki yang dinamainya Onan.

5Setelah itu, dia sekali lagi melahirkan seorang anak yang dinamainya Syela. Yehuda sedang berada di Kezib pada waktu anak itu dilahirkan.

6Maka Yehuda pun mengambil seorang isteri untuk anak sulungnya iaitu Er. Nama perempuan itu ialah Tamar.

7Tetapi TUHAN mengambil nyawa Er, anak sulung Yehuda itu yang jahat di mata TUHAN.

8Lalu berkatalah Yehuda kepada Onan, “Kahwinilah isteri abangmu dan penuhilah kewajipanmu sebagai ipar, supaya kamu membina keturunan untuk abangmu.”

9Akan tetapi, Onan tahu bahawa keturunan itu kelak tidak akan diakui sebagai miliknya. Jadi, setiap kali dia meniduri isteri abangnya, dia melepaskan air maninya ke tanah kerana dia tidak mahu ada keturunan untuk abangnya.

10Perbuatannya itu jahat di mata TUHAN lalu TUHAN pun mengambil nyawanya.

11Lalu Yehuda berkata kepada Tamar, menantunya, “Tinggallah sebagai balu di rumah ayahmu sehingga anakku Syela dewasa,” kerana fikir Yehuda, “Jangan-jangan Syela jua mati seperti kedua-dua abangnya.” Maka pergilah Tamar dan tinggal di rumah ayahnya.

12Setelah beberapa lama kemudian, isteri Yehuda iaitu anak perempuan Syua meninggal. Ketika hati Yehuda sudah pulih, dia pun pergi ke tempat para penggunting bulu kawanan dombanya di Timna bersama-sama sahabatnya, Hira, seorang Adulam.

13Maka Tamar dikhabarkan demikian: “Ketahuilah, ayah mertuamu sedang menuju Timna untuk menggunting bulu kawanan dombanya.”

14Maka Tamar pun menanggalkan pakaian kelaziman seorang balu lalu menutupi wajahnya dan menyelubungi dirinya, lalu duduk di pintu masuk menuju Enaim, yang terletak di jalan ke Timna. Dilakukannya sedemikian kerana dia melihat betapa Syela sudah dewasa tetapi dia tidak juga diberikan kepada Syela untuk diperisteri.

15Ketika Yehuda melihat Tamar yang menutupi wajahnya itu, dia menyangka perempuan itu seorang pelacur.

16Lalu didekatinya perempuan itu di tepi jalan dan tanpa mengetahui perempuan itu menantunya, berkatalah dia, “Marilah, aku mahu tidur denganmu.” Balas perempuan itu, “Apa yang akan kauberikan kepadaku kalau kamu tidur dengan aku?”

17Jawabnya, “Nanti kukirimkan kepadamu seekor anak kambing dari kawanan ternakanku.” Kata perempuan itu, “Asalkan kamu memberikan jaminan sampai kamu mengirimkannya kepadaku.”

18Tanyanya, “Jaminan apa yang harus kuberikan kepadamu?” Jawab perempuan itu, “Cincin materaimu, kalungmu, dan tongkat yang ada di tanganmu itu.” Maka diberikannyalah semua itu kepadanya, lalu dia menidurinya. Maka mengandunglah perempuan itu akibat kejadian itu.

19Lalu bangkitlah perempuan itu dan pergi dari situ. Dia menanggalkan penutup wajahnya dan memakai semula pakaian lazim seorang balu.

20Yehuda mengirimkan anak kambing yang dijanjikannya melalui sahabatnya, seorang Adulam itu, dan juga untuk mengambil kembali barang-barang jaminannya daripada perempuan itu. Namun sahabatnya itu tidak berjaya menemui perempuan itu.

21Dia bertanya-tanya kepada orang di tempat itu, katanya, “Di manakah perempuan pelacur kuil yang ada di tepi jalan dekat Enaim itu?” Jawab mereka, “Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.”

22Maka kembalilah dia kepada Yehuda dan berkata, “Aku tidak berjaya menemuinya. Apatah lagi, orang di tempat itu berkata, ‘Di sini tidak ada perempuan pelacur kuil.’ ”

23Kata Yehuda, “Biarlah barang-barang itu diambilnya, supaya kita tidak diketawakan orang. Sesungguhnya, aku sudah mengirimkan anak kambing ini, tetapi kamu tidak menemui dia.”

24Kira-kira tiga bulan kemudian kepada Yehuda dikhabarkan, “Tamar, menantumu, telah berbuat zina. Malah, ketahuilah bahawa dia mengandung akibat perzinaannya itu.” Kata Yehuda, “Bawalah dia ke mari, biar dia dibakar!”

25Ketika dia sedang dibawa keluar, dia menyuruh orang menyampaikan pesan kepada ayah mertuanya, “Aku mengandung atas perbuatan lelaki yang memiliki barang-barang ini.” Pesannya pula, “Periksalah, siapakah gerangan pemilik cincin materai, kalung, dan tongkat ini?”

26Yehuda memeriksa barang-barang itu lalu katanya, “Perempuan itulah yang lebih tulus, kerana aku tidak memberikan dia kepada Syela, anakku.” Sejak itu Yehuda tidak lagi meniduri perempuan itu.

27Apabila tiba waktu perempuan itu akan bersalin, diketahui bahawa ada anak kembar di dalam kandungannya.

28Semasa kelahiran itu, seorang daripada anaknya mengeluarkan tangannya. Bidan mengambil sehelai benang merah tua lalu diikatkannya pada tangan anak itu, katanya, “Inilah yang keluar lebih dahulu.”

29Tetapi anak itu menarik tangannya kembali, lalu keluarlah saudara kembarnya. Kata bidan itu, “Betapa kuatnya kamu menerobos keluar!” Oleh sebab itu dia dinamai Peres.

30Barulah kemudian keluar saudaranya, yang pada tangannya ada benang merah tua, lalu dia dinamai Zerah.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 38 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel