Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 30 >> 

Mazbah pendupaan

1Hendaklah kamu buat mazbah daripada kayu akasia untuk membakar dupa.

2Bentuknya empat persegi sepanjang sehasta, selebar sehasta, dan setinggi dua hasta. Hendaklah dibuat tanduk-tanduknya bersepadu dengannya.

3Salutilah bahagian atasnya, sisi-sisi sekelilingnya, dan juga tanduk-tanduknya dengan emas tulen, dan hendaklah dibuat bingkai emas di sekelilingnya.

4Hendaklah dibuat dua gegelang emas di bawah bingkai itu iaitu pada rusuk kiri dan kanannya. Kayu pengusung akan dimasukkan ke dalam lubang gegelang-gegelang itu supaya mazbah dapat diusung.

5Hendaklah dibuat pengusungnya daripada kayu akasia dan salutilah pengusung itu dengan emas.

6Hendaklah mazbah itu diletakkan di hadapan tabir dekat tabut loh hukum, di hadapan penutup pendamaian, yang ada di atas loh hukum itu, tempat Aku akan bertemu dengan engkau.

7Setiap pagi apabila Harun membersihkan pelita-pelita itu, dia hendaklah membakar dupa harum di atas mazbah itu.

8Hendaklah Harun juga membakar dupa harum itu apabila dia memasang pelita-pelita pada waktu senja dan kerja mendupai itu hendaklah kamu lakukan secara berterusan di hadapan TUHAN, turun-temurun.

9Di atas mazbah itu janganlah dipersembahkan dupa yang lain, korban bakaran, ataupun persembahan bahan makanan, dan jangan curahkan persembahan minuman.

10Setahun sekali Harun hendaklah mengadakan pendamaian pada tanduk-tanduk mazbah pendupaan itu dengan darah korban penghapus dosa pembawa pendamaian. Hendaklah hal itu dilakukannya setahun sekali secara berterusan turun-temurun, kerana ini merupakan sesuatu yang teramat suci bagi TUHAN.”

Persembahan unjukan sewaktu pendaftaran orang Israel

11TUHAN berfirman kepada Musa,

12“Apabila kamu membanci orang Israel, hendaklah masing-masing mempersembahkan wang tebusan bagi jiwanya di hadapan TUHAN pada saat mereka didaftarkan, supaya bencana tidak menimpa dalam kalangan mereka.

13Setiap orang yang dikira dalam pembancian itu hendaklah mempersembahkan setengah syikal, menurut syikal rasmi Khemah Suci yang seberat dua puluh gera. Setengah syikal itu ialah persembahan khusus kepada TUHAN.

14Setiap orang yang dikira dalam pembancian itu, iaitu mereka yang berumur dua puluh tahun ke atas, hendaklah memberikan persembahan khusus itu kepada TUHAN.

15Sewaktu kamu memberikan persembahan khusus itu kepada TUHAN demi pendamaian bagi jiwamu dengan-Nya, janganlah orang kaya mempersembahkan lebih daripada setengah syikal itu dan janganlah orang miskin mempersembahkan kurang daripada jumlah itu.

16Hendaklah kamu terima wang pendamaian itu daripada orang Israel dan gunakanlah untuk peribadatan di dalam Khemah Pertemuan Allah supaya itu akan menjadi tanda pengingatan bagi orang Israel di hadapan TUHAN demi pendamaian dirimu dengan-Nya.”

Bejana pembasuhan

17TUHAN berfirman kepada Musa,

18“Hendaklah kamu buat sebuah bejana daripada gangsa yang kekakinya juga daripada gangsa, sebagai tempat membasuh. Hendaklah diletakkan bejana itu antara Khemah Pertemuan dengan mazbah, iaitu tempat pembakaran korban, dan tuanglah air ke dalamnya.

19Hendaklah Harun dan anak-anaknya membasuh tangan dan kaki mereka di situ.

20Sebelum mereka masuk ke dalam Khemah Pertemuan, hendaklah mereka menyucikan diri mereka dengan air agar mereka tidak mati, dan begitu jugalah halnya sewaktu mereka menghampiri mazbah untuk menyelenggarakan peribadatan dengan membakar korban kepada TUHAN.

21Jadi, hendaklah mereka membasuh tangan dan kaki mereka supaya jangan mereka mati. Ketetapan itu berkekalan bagi mereka, iaitu bagi Harun dan bagi keturunannya turun-temurun.”

Minyak upacara dan dupa

22Tambahan pula, TUHAN berfirman kepada Musa,

23“Ambillah rempah-ratus yang terbaik: 500 syikal damar wangi cair, separuh jumlah berat itu kayu manis harum, 250 syikal tebu wangi,

24500 syikal kayu lawang – semuanya menurut syikal rasmi Khemah Suci – serta satu hin minyak zaitun.

25Hendaklah daripada semua itu dibuat minyak tahbis yang suci, iaitu suatu campuran yang sepatutnya dihasilkan oleh ahli pembuat wangi-wangian. Hendaklah campuran itu dijadikan minyak tahbis yang suci.

26Hendaklah kamu gunakan campuran untuk mengurapi Khemah Pertemuan, tabut loh hukum,

27meja dengan segala alat kelengkapannya, kaki pelita dengan segala kelengkapannya, mazbah pembakaran dupa,

28mazbah korban bakaran dengan segala kelengkapannya, dan bejana pembasuhan serta kekakinya.

29Hendaklah disucikan semua itu sehingga menjadi teramat suci maka apa-apa sahaja yang menyentuhnya akan menjadi suci.

30Hendaklah kamu urapi Harun dan anak-anaknya dan sucikanlah mereka supaya mereka dapat menunaikan tugas sebagai imam untuk-Ku.

31Hendaklah kamu berkata kepada orang Israel, ‘Inilah minyak tahbis yang suci bagi-Ku dalam kalangan kamu turun-temurun.

32Janganlah dicurahkan minyak itu ke atas tubuh orang biasa dan jangan membuat minyak yang sama campurannya. Minyak itu suci dan hendaklah dianggap suci bagimu.

33Sesiapa sahaja yang membuat campuran minyak seperti ini atau yang menyapukannya pada orang awam hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya.”

34TUHAN berfirman kepada Musa, “Ambillah rempah-ratus yang harum, iaitu getah damar wangi, kulit lokan, dan rasamala, juga kemenyan yang murni, masing-masing sama banyaknya.

35Hendaklah daripada kesemua itu kamu membuat dupa campuran seperti yang dihasilkan oleh ahli pembuat wangi-wangian, lalu tambahlah garam agar ia tetap murni dan suci.

36Hendaklah kamu tumbuk sehingga halus sebahagian daripada dupa campuran itu dan letakkanlah di depan tabut loh hukum dalam Khemah Pertemuan, tempat Aku akan bertemu dengan kamu. Kepadamu, tumbukan dupa campuran yang halus itu hendaklah teramat suci.

37Jangan sekali-kali campuran seperti itu dibuat bagi dirimu sendiri. Hendaklah kamu anggapnya sebagai sesuatu yang suci bagi TUHAN.

38Sesiapa sahaja yang membuat dupa seperti itu untuk menikmati wanginya hendaklah disingkirkan daripada kalangan bangsanya.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 30 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran