Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Keluaran 39 >> 

Pembuatan pakaian imam

1Daripada kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala, Bezaleel dan Aholiab membuat pakaian yang berjalin kemili untuk penyelenggaraan ibadat di tempat suci. Mereka juga membuat pakaian suci untuk Harun, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

2Mereka membuat baju efod daripada bahan emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan kain linen halus yang dipintal.

3Emas ditempa untuk menjadi lembaran lalu dipotong-potong menjadi benang untuk disulam pada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus menurut kepakaran dan hasil kerja seorang pekerja mahir.

4Kemudian mereka membuat tali penutup bahu yang bersambung pada kedua-dua hujung baju efod itu.

5Ikat pinggang hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir disambungkan pula pada baju efod itu, bersepadu dan sedondon dengan baju efod itu, iaitu daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

6Mereka menatah pula batu permata oniks secara jalinan kemili dengan ikatan emas, lalu sebagaimana pengukiran cincin materai, pada batu permata itu diukirkan nama para anak Israel.

7Setelah itu, mereka menempatkan batu permata itu pada tali-tali penutup bahu baju efod sebagai permata peringatan untuk mengingat anak-anak Israel, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

8Lalu mereka membuat penutup dada, melalui hasil kepakaran seorang pekerja mahir, sama seperti baju efod itu, iaitu daripada emas, kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal.

9Bentuknya empat persegi, dibuat berlapis dua, sejengkal panjangnya dan sejengkal lebarnya.

10Di penutup dada itu mereka pasangkan empat baris batu permata tatahan: pertama sebaris batu permata berupa akik merah, manikam kuning, dan zamrud.

11Di baris kedua batu permata firus, nilam, dan intan;

12dan di baris ketiga pula zirkon yakut, akik putih, dan kecubung.

13Manakala di baris keempat ialah topaz, oniks, dan yaspis dan semuanya diikatkan bertatah emas.

14Jumlah batu permata ini dua belas biji iaitu sejajar dengan jumlah nama anak Israel. Masing-masing batu permata itu diukir seperti materai, diukirkan satu nama daripada dua belas suku itu.

15Di atas penutup dada itu mereka membuat beberapa rantai berjalin kemili seperti tali daripada emas tulen.

16Lalu mereka membuat dua urat ikatan emas dan dua urat gegelang emas. Kedua-dua gegelang itu dipasang mereka pada kedua-dua hujung penutup dada,

17dan pada gegelang itu mereka sambungkan kedua jalinan rantai emas tadi.

18Dua hujung yang lain daripada kedua-dua jalinan itu mereka pasangkan pada dua ikatan emas tadi. Dengan demikian, kedua-duanya terpasang pada tali-tali bahu baju efod di sebelah depan.

19Kemudian mereka membuat dua lagi gegelang emas lalu memasangnya pada dua hujung penutup dada di lapisan sebelah dalam, yang berhadapan langsung dengan baju efod.

20Mereka juga membuat dua gegelang emas lain dan memasangnya pada bahagian bawah dari kedua-dua tali bahu baju efod di sebelah depan, dekat sambungannya, di atas ikat pinggang baju efod hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir itu.

21Kemudian mereka mengikatkan gegelang penutup dada itu pada gegelang baju efod dengan benang biru, supaya penutup dada itu tetap berada di atas ikat pinggang baju efod hasil kerja seorang pereka bentuk yang mahir itu serta tidak terurai daripada baju efod itu, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

22Mereka juga membuat jubah baju efod yang keseluruhannya daripada kain biru, melalui hasil kepakaran seorang tukang tenun.

23Lubang untuk kepala seperti pada baju zirah dibuat betul-betul di tengah-tengah jubah itu dengan pita tenunan di seluruh kelilingnya supaya tidak koyak.

24Di sekeliling tepi sebelah bawah jubah itu mereka membuat hiasan seperti buah delima daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal.

25Selain itu mereka membuat kerincing-kerincing daripada emas tulen, lalu memasangnya berselang-selang dengan hiasan-hiasan buah delima tadi di sekeliling kelepet di bahagian bawah jubah.

26Satu kerincing lalu satu buah delima, kemudian satu kerincing lagi diikuti satu buah delima, dan seterusnya di sekeliling kelepet jubah yang akan dipakai untuk penyelenggaraan ibadat itu, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

27Setelah itu, mereka membuat tunik daripada linen halus tenunan pakar untuk Harun dan anak-anaknya,

28begitu jugalah mereka membuat segala serban dan ikat kepala daripada kain linen halus, seluar daripada linen halus yang dipintal,

29serta semua ikat pinggang daripada linen halus yang dipintal, dan kain biru, kain ungu, dan kain merah menyala berhiaskan sulaman, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

30Mereka membuat juga mahkota yang suci daripada emas tulen dan mengukirkan padanya tulisan “Suci bagi TUHAN”, seperti ukiran pada materai.

31Hiasan itu mereka lengkapkan dengan benang biru agar dapat dipasangkan pada bahagian atas serban, seperti yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

Musa memeriksa seluruh pekerjaan

32Maka selesailah keseluruhan pembinaan Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan yang kesemuanya dilaksanakan oleh orang Israel menurut segala yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

33Kemudian mereka membawa Khemah Suci itu ke hadapan Musa, iaitu: khemah dengan segala kelengkapannya seperti segala pengancingnya, rangka papannya, kayu palangnya, tiangnya, dan lesung pasaknya;

34penutup khemah daripada kulit domba jantan yang dicelup merah, penutup daripada kulit anjing laut, dan tabir penudung;

35tabut loh hukum dengan kayu-kayu pengusungnya dan penutup pendamaian;

36meja dengan segala kelengkapannya dan roti persembahan;

37kaki pelita daripada emas tulen dengan pelitanya – pelita yang berderet, segala kelengkapannya, dan minyak untuk pencahayaan;

38mazbah pendupaan daripada emas, minyak tahbis, dan dupa harum; tirai bagi pintu khemah itu;

39mazbah daripada gangsa dengan kekisi gangsanya, kayu-kayu pengusungnya, dan segala kelengkapannya; bejana pembasuhan dengan kekakinya;

40hamparan gantung untuk laman dalam dengan segala tiang dan lesung pasaknya, tabir pintu masuk laman dalam dengan segala talinya dan pasaknya, serta segala kelengkapan untuk peribadatan di Khemah Suci, iaitu Khemah Pertemuan.

41Selain itu dibawa juga pakaian yang berjalin kemili untuk penyelenggaraan ibadat di tempat suci, pakaian suci untuk Imam Harun, dan pakaian anak-anaknya untuk menunaikan tugas sebagai imam.

42Orang Israel melaksanakan segala pekerjaan itu, sebagaimana yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.

43Musa memeriksa seluruh pekerjaan itu, dan nyatalah bahawa mereka sudah melaksanakannya seperti yang diperintahkan oleh TUHAN. Kemudian Musa memohonkan keberkatan atas mereka.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Keluaran 39 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel