1Mazmur Daud. Tunjukkanlah kebenaranku, ya TUHAN, kerana aku telah hidup dalam ketulusan; dan aku percaya kepada TUHAN maka aku tidak tergelincir.
2Periksalah aku, ya TUHAN, dan dugalah aku, ujilah fikiran dan hatiku;
3kerana aku melihat belas kasih-Mu, dan aku telah hidup dalam kebenaran-Mu.
4Aku tidak duduk bersama penyembah berhala, dan tidak menyertai orang munafik;
5aku membenci perhimpunan orang yang berbuat jahat dan tidak akan duduk di sisi orang zalim.
6Aku akan membasuh tanganku dalam kesucian, dengan demikian aku ke tempat menyembah-Mu, Ya TUHAN,
7supaya aku dapat mengisytiharkan dengan suara kesyukuran segala perbuatan-Mu yang menakjubkan.
8Ya TUHAN, aku mencintai rumah-Mu, dan tempat kemuliaan-Mu.
9Janganlah himpunkan jiwaku dengan orang berdosa, dan hidupku dengan manusia penumpah darah,
10yang merancang perbuatan zalim, manakala tangan mereka penuh rasuah.
11Tetapi aku, aku akan terus hidup dalam kebaikan; tebuslah aku dan kasihanilah aku.
12Kakiku berpijak di tempat mantap; dalam perhimpunan aku akan memuji TUHAN.