Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 16 >> 

Ibarat tentang asal usul Yerusalem; Yerusalem yang tidak setia

1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

2‘Wahai anak manusia, beritahulah Yerusalem kekejian-kekejiannya.

3Katakanlah: Beginilah firman Tuhan ALLAH kepada Yerusalem, “Asalmu dan tempat kelahiranmu ialah Tanah Kanaan. Ayahmu orang Amori dan ibumu orang Heti.

4Beginilah kelahiranmu: pada waktu engkau dilahirkan, tali pusatmu tidak dikerat dan engkau tidak dimandikan dengan air supaya bersih. Engkau sama sekali tidak digosok dengan garam dan sama sekali tidak dibedung.

5Tidak ada yang berasa hiba kepadamu sehingga mahu melakukan salah satu hal itu ataupun berbelas kasihan kepadamu. Engkau tercampak di padang terbuka kerana orang muak kepadamu pada hari lahirmu.

6Kemudian Aku melintas berdekatan denganmu dan melihat engkau menendang-nendang dengan masih berlumuran darah. Ketika engkau masih berlumuran darah itu Aku berfirman kepadamu, ‘Hiduplah!’ Ya, Aku berfirman kepadamu ketika engkau berlumuran darah, ‘Hiduplah!’

7Lalu Kubuat engkau menjadi besar seperti tumbuh-tumbuhan di padang. Engkau menjadi besar, beranjak dewasa, dan menjadi perhiasan yang terindah. Buah dadamu montok dan rambutmu tumbuh, tetapi engkau masih tanpa busana.

8Ketika Aku melintas lagi berdekatan denganmu dan melihat engkau, ternyata engkau sudah mencapai masa akil baligh. Kubentangkan naungan-Ku ke atasmu dan Kututup auratmu. Aku bersumpah kepadamu dan mengadakan perjanjian dengan engkau, demikianlah firman Tuhan ALLAH. Maka engkau pun menjadi milik-Ku.

9Aku memandikanmu dengan air, membasuh darah daripada tubuhmu, lalu mengurapi engkau dengan minyak.

10Kukenakan padamu pakaian bersulam dan kasut daripada kulit anjing laut, lalu Kulilitkan linen halus pada tubuhmu dan Kututup engkau dengan kain sutera.

11Kemudian Aku menghiasi engkau dengan pelbagai perhiasan dan mengenakan gelang pada tanganmu serta kalung pada lehermu.

12Kukenakan pula anting-anting pada hidungmu, anting-anting pada telingamu, dan mahkota kemuliaan di kepalamu.

13Dengan demikian engkau berhiaskan emas dan perak. Pakaianmu daripada linen halus, kain sutera, dan kain bersulam. Tepung terbaik, madu, dan minyak merupakan makananmu. Engkau menjadi amat sangat cantik dan berhasil menjadi ratu.

14Namamu termasyhur dalam kalangan bangsa kerana kecantikanmu, kerana memang sempurna adanya oleh kegemilangan-Ku yang Kukurniakan kepadamu, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’

Persundalan Yerusalem dan hukumannya

15‘Akan tetapi, engkau menaruh harapan kepada kecantikanmu dan berzina dengan memanfaatkan kemasyhuranmu. Engkau melampiaskan perzinaanmu kepada setiap orang yang berlalu, dan kecantikanmu menjadi milik orang itu.

16Engkau mengambil sebahagian daripada pakaianmu dan membuat bagimu bukit-bukit pemujaan berhiaskan aneka warna, lalu engkau berzina di situ. Hal itu tidak seharusnya terjadi dan tidak boleh terjadi lagi.

17Engkau mengambil pula barang-barang indah daripada emas dan perak yang Kukurniakan kepadamu. Kaubuat bagimu patung-patung lelaki lalu engkau berbuat kafir dengan berhala-berhala itu.

18Pakaianmu yang bersulam kauambil lalu kaututupkan pada berhala-berhala itu. Kepada berhala-berhala itu kauberikan minyak dan dupa yang seharusnya kaupersembahkan kepada-Ku.

19Santapan persembahan milik-Ku yang Kukurniakan kepadamu – tepung terbaik, minyak, dan madu yang Kuberikan sebagai makananmu – kaupersembahkan kepada berhala-berhala itu sebagai bauan harum yang harum. Itulah yang terjadi, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

20Engkau mengambil anak-anakmu baik lelaki mahupun perempuan yang kaulahirkan sebagai milik-Ku dan mempersembahkan mereka sebagai makanan kepada berhala-berhala itu. Adakah perzinaanmu itu perkara yang ringan?

21Engkau menyembelih anak-anak-Ku dan mempersembahkan mereka dengan membakar mereka sebagai korban bagi berhala-berhala.

22Di tengah-tengah segala kekejianmu dan perzinaanmu engkau tidak ingat akan masa mudamu ketika engkau tanpa busana dan menendang-nendang dengan berlumuran darah.

23Malangnya! Malangnya engkau! Demikianlah firman Tuhan ALLAH. Setelah kaulakukan segala kejahatanmu itu,

24engkau membangunkan bagimu tempat keramat dan membuat bagimu bukit pemujaan di setiap tempat umum.

25Di setiap hujung jalan kaubina bukit pemujaan dan kaujadikan kecantikanmu suatu kekejian. Tubuhmu kautawarkan kepada setiap orang yang berlalu dan engkau melipatgandakan perzinaanmu.

26Engkau berzina dengan orang Mesir, tetangga-tetanggamu yang besar nafsu itu, lalu perzinaanmu kaulipatgandakan untuk membangkitkan murka-Ku.

27Ketahuilah, Aku menghulurkan tangan-Ku melawan engkau dan mengurangi bahagian yang diperuntukkan kepadamu. Aku menyerahkan engkau untuk diperlakukan sewenang-wenang oleh orang yang membenci engkau, iaitu oleh perempuan Filistin yang malu melihat kelakuanmu yang cabul.

28Belum puas dengan itu, engkau berzina pula dengan orang Asyur. Bahkan setelah engkau berzina dengan mereka, engkau masih belum juga puas.

29Perzinaanmu kaulipatgandakan lagi ke negeri perdagangan, ke Tanah Kasdim, tetapi dengan itu pun engkau belum puas.

30Betapa rosaknya hatimu, demikianlah firman Tuhan ALLAH, bahawa engkau melakukan segala hal ini, iaitu perbuatan perempuan sundal yang kurang ajar.

31Ketika engkau membangunkan tempat keramatmu di setiap hujung jalan dan membuat bukit pemujaanmu di setiap tempat umum, engkau tidak bertindak seperti perempuan sundal biasa kerana engkau menolak upah sundal.

32Wahai isteri yang berzina, yang menyambut orang lain ganti suaminya!

33Setiap perempuan sundal diberi upah, tetapi engkau justeru memberikan upah untuk memujuk semua kekasihmu, dan menyuap mereka supaya mereka datang kepadamu dari segala penjuru untuk berzina denganmu.

34Jadi, dalam perzinaanmu engkau berbeza daripada perempuan-perempuan lain. Tiada seorang pun mengejar engkau untuk berzina, tetapi justeru engkaulah yang memberikan upah sundal, sedangkan engkau sendiri tidak diberi upah apa-apa. Itulah perbezaannya.

35Oleh sebab itu, wahai perempuan sundal, dengarlah firman TUHAN!

36Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kerana nafsumu telah terlampiaskan dan auratmu telah tersingkap dalam perzinaanmu dengan kekasih-kekasihmu, dan kerana segala berhala kekejianmu serta darah anak-anakmu yang telah kaupersembahkan kepada segala berhala itu,

37maka sesungguhnya Aku akan mengumpulkan semua kekasihmu, iaitu temanmu untuk bersenang-senang, baik semua orang yang kaucintai mahupun semua orang yang kaubenci. Akan Kukumpulkan mereka untuk melawan engkau dari segala penjuru dan akan Kusingkapkan auratmu kepada mereka sehingga mereka melihat segala kebogelanmu.

38Aku akan menghukum engkau seperti menghukum perempuan penzina dan penumpah darah. Akan Kubalas kepadamu penumpahan darah yang membangkitkan murka dan kecemburuan-Ku.

39Engkau akan Kuserahkan ke dalam tangan mereka, dan mereka akan meruntuhkan tempat keramatmu serta merobohkan bukit-bukit pemujaanmu. Mereka pun akan melucuti pakaianmu, merampas barang-barang perhiasanmu, dan meninggalkan engkau tanpa busana.

40Kemudian mereka akan membawa sekumpulan orang untuk melawan engkau, lalu orang ini akan merejam engkau dengan batu dan mencencang engkau dengan pedangnya.

41Rumah-rumahmu akan dibakar habis oleh mereka, dan mereka akan menjatuhkan hukuman kepadamu di hadapan mata ramai perempuan. Aku akan menghentikan perzinaanmu dan engkau pun tidak akan memberikan upah sundal lagi.

42Demikianlah Aku akan melampiaskan murka-Ku kepadamu hingga kecemburuan-Ku surut. Setelah itu, Aku akan berasa tenang dan tidak murka lagi.

43Kerana engkau tidak ingat akan masa mudamu, malah membangkitkan murka-Ku dengan segala hal ini, maka sesungguhnya Aku sendiri akan membalas perilakumu kepadamu, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sehingga engkau tidak akan lagi melakukan perbuatan yang cabul di samping segala kekejianmu.

44Ketahuilah, setiap orang yang biasa menggunakan pepatah akan mengucapkan pepatah ini mengenai engkau: ‘Sebagaimana ibu, demikianlah anak perempuannya.’

45Engkaulah anak perempuan ibumu, yang muak kepada suami dan anak-anaknya. Engkaulah saudara perempuan adik perempuanmu dan kakakmu, yang muak kepada suami dan anak mereka. Ibumu orang Heti dan ayahmu orang Amori.

46Kakakmu ialah Samaria, yang tinggal dengan anak-anak perempuannya di sebelah utaramu. Dan adik perempuanmu ialah Sodom, yang tinggal di sebelah selatanmu dengan anak-anak perempuannya.

47Engkau bukan sahaja hidup menurut perilaku mereka dan bertindak menurut kekejian mereka, tetapi dalam sekejap sahaja seluruh perilakumu menjadi lebih rosak daripada mereka.

48Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sesungguhnya Sodom adikmu dengan anak-anak perempuannya tidak berbuat seperti yang kaulakukan dengan anak-anak perempuanmu.

49Ketahuilah, inilah kesalahan Sodom, adikmu itu: kebongkakan, kelimpahan makanan, dan kesenangan hidup ada padanya serta anak-anak perempuannya, tetapi ia tidak membantu orang miskin dan orang melarat.

50Mereka menjadi sombong dan melakukan kekejian di hadapan-Ku. Oleh sebab itu Kusingkirkan mereka ketika Aku melihat hal itu.

51Samaria tidak melakukan setengah pun daripada dosa-dosamu. Kekejianmu jauh lebih banyak daripada mereka, sehingga para saudara perempuanmu itu kelihatan benar berbanding dengan segala kekejian yang kaulakukan.

52Tanggunglah aibmu sendiri, kerana engkau telah membuat hukuman bagi para saudara perempuanmu menjadi lebih ringan. Oleh sebab dosa-dosa yang kaulakukan lebih keji daripada dosa-dosa mereka, maka mereka menjadi lebih benar daripada engkau. Berasa malulah engkau dan tanggunglah aibmu, kerana engkau membuat para saudara perempuanmu kelihatan benar.” ’

Allah meneguhkan perjanjian-Nya

53‘Namun begitu, Aku akan memulihkan keadaan mereka, baik keadaan Sodom dengan anak-anak perempuannya mahupun keadaan Samaria dengan anak-anak perempuannya. Aku juga akan memulihkan keadaanmu di tengah-tengah mereka,

54supaya engkau menanggung aibmu dan berasa malu atas semua yang kaulakukan ketika engkau menjadi penghiburan bagi mereka.

55Adikmu Sodom dengan anak-anak perempuannya akan dipulihkan seperti keadaannya semula, demikian pula Samaria dengan anak-anak perempuannya. Engkau dengan anak-anak perempuanmu pun akan dipulihkan seperti keadaanmu semula.

56Bukankah Sodom, adikmu, menjadi buah mulutmu pada masa kebongkakanmu,

57sebelum kejahatanmu tersingkap? Kini ini engkau seperti dia, menjadi celaan anak-anak perempuan Edom dan semua orang di sekitar mereka, iaitu anak-anak perempuan Filistin yang menghina engkau dari sekelilingmu.

58Engkau harus menanggung akibat perbuatan kecabulanmu dan kekejianmu, demikianlah firman TUHAN.

59Sebab beginilah firman Tuhan ALLAH, “Aku akan memperlakukan engkau setimpal dengan yang kaulakukan, kerana engkau telah meremehkan sumpah dengan mengingkari perjanjian.

60Tetapi Aku akan mengingati perjanjian-Ku dengan engkau pada masa mudamu dan akan meneguhkan suatu perjanjian yang kekal bagimu.

61Barulah engkau akan teringat bagaimana perilakumu, dan berasa malu pada waktu engkau menyambut para saudaramu, iaitu kakak dan adikmu. Aku akan mengurniakan mereka kepadamu untuk menjadi anak-anakmu tetapi bukan atas asas perjanjian denganmu.

62Aku akan meneguhkan perjanjian-Ku denganmu dan engkau akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

63Dengan demikian engkau akan mengingat hal-hal yang telah lalu, berasa malu, dan tidak berani lagi membuka mulut kerana aibmu pada waktu Aku mengadakan pendamaian bagimu atas semua yang kaulakukan, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel