Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 28 >> 

Nubuat melawan raja Tirus

1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

2‘Wahai anak manusia, katakanlah kepada raja Tirus: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kerana kesombonganmu engkau berkata, ‘Akulah Allah! Aku duduk di takhta Allah, di tengah lautan.’ Padahal engkau manusia, bukan Allah, walaupun engkau menganggap dirimu seperti Allah.

3Memang, engkau lebih bijaksana daripada Daniel. Tidak suatu rahsia pun terlindung daripadamu.

4Oleh kebijaksanaanmu dan pengertianmu engkau memperoleh kekayaan. Engkau mengumpulkan emas dan perak di dalam perbendaharaanmu.

5Kerana engkau sangat bijak dalam hal berniaga, engkau melipatgandakan kekayaanmu dan menjadi sombong akibat kekayaanmu itu.”

6Oleh sebab itu beginilah firman Tuhan ALLAH, “Kerana engkau menganggap dirimu seperti Allah,

7maka sesungguhnya Aku akan mendatangkan orang asing untuk melawan engkau, yang terkejam antara segala bangsa. Mereka akan menghunus pedang mereka untuk melawan kebijaksanaanmu yang gemilang, lalu menajiskan kegemilanganmu.

8Mereka akan menurunkan engkau ke liang kubur, dan engkau akan mati seperti orang yang mati dibunuh di tengah lautan.

9Masihkah engkau akan berkata di hadapan pembunuhmu, “Akulah Allah”? Engkau ini manusia, bukan Allah, di tangan orang yang menikam engkau.

10Engkau akan mati seperti orang yang tidak bersunat di tangan orang asing, kerana Aku telah berfirman, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’

Nyanyian ratapan mengenai raja Tirus

11Kemudian datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

12‘Wahai anak manusia, lantunkanlah suatu ratapan mengenai raja Tirus dan katakan kepadanya: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Engkau gambaran kesempurnaan, penuh kebijaksanaan dan cantik sempurna.

13Engkau ada di taman firdaus – taman Allah – di Eden. Segala permata menghiasimu: akik merah, manikam kuning, dan intan; topaz, unam, dan yaspis; nilam, firus, dan zamrud. Tempat tatahanmu dibuat daripada emas, semua itu telah disiapkan pada hari penciptaanmu.

14Engkau ialah malaikat kerubin yang dilantik sebagai penjaga, kerana demikianlah Aku menetapkan engkau. Engkau ada di gunung Allah yang suci, berjalan di tengah-tengah batu berapi.

15Engkau sempurna dalam perilakumu sejak hari engkau diciptakan sampai kezaliman didapati padamu.

16Dengan banyaknya perniagaanmu engkau dipenuhi kekerasan, dan engkau berbuat dosa. Aku telah membuang engkau sebagai sesuatu yang cemar dari gunung Allah. Aku melenyapkan engkau, wahai malaikat kerubin yang berjaga, daripada antara batu-batu berapi.

17Engkau sombong kerana kecantikanmu. Kebijaksanaanmu kaurosakkan demi kegemilanganmu. Aku mencampakkan engkau ke bumi, Aku menyerahkan engkau ke hadapan raja-raja untuk menjadi tontonan mereka.

18Oleh banyaknya kesalahanmu dalam perniagaanmu yang curang itu engkau mencemari tempat sucimu. Oleh sebab itu Aku memancarkan api daripada tengah-tengahmu yang akan menghanguskan engkau. Kujadikan engkau abu di atas bumi, di hadapan mata semua yang menyaksikan kamu.

19Semua yang mengenal engkau dalam kalangan bangsa tercengang kerana engkau. Engkau menjadi suatu kengerian dan tidak akan ada lagi untuk selama-lamanya.” ’

Nubuat melawan Sidon

20Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

21‘Wahai anak manusia, hadapkanlah mukamu kepada Sidon dan bernubuatlah menentangnya.

22Katakan: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawanmu, wahai Sidon. Aku akan menyatakan kemuliaan-Ku di tengah-tengahmu. Pada waktu Aku menjatuhkan hukuman terhadapnya dan menyatakan kesucian-Ku kepadanya, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

23Aku akan mendatangkan wabak penyakit terhadapnya, dan darah akan tertumpah di jalan-jalannya. Orang yang terbunuh akan bergelimpangan di tengah-tengahnya oleh pedang yang melawannya dari segala penjuru. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

24Tidak akan ada lagi duri yang mencucuk atau onak yang menyakiti keturunan kaum Israel daripada semua orang di sekitar mereka yang telah menghina mereka. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah Tuhan ALLAH.”

25Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Setelah Aku mengumpulkan keturunan kaum Israel daripada kalangan bangsa tempat mereka dicerai-beraikan dan menyatakan kesucian-Ku kepada mereka di hadapan mata bangsa-bangsa, barulah mereka akan tinggal di tanah mereka yang telah Kukurniakan kepada hamba-Ku Yakub.

26Mereka akan tinggal di sana dengan aman. Mereka akan membina rumah dan menanami kebun anggur. Ya, mereka akan tinggal dengan aman setelah Aku menjatuhkan hukuman terhadap semua orang di sekitar mereka yang telah menghina mereka. Maka mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN, Allah mereka.’


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yehezkiel 28 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel