Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 8 >> 

Perempuan yang berzina

1Akan tetapi, Yesus pergi ke Bukit Zaitun.

2Pada keesokan harinya, pagi-pagi lagi Dia masuk ke Bait Suci. Semua orang di situ datang kepada-Nya. Dia duduk lalu mengajar mereka.

3Ahli Taurat dan orang Farisi membawa kepada Yesus seorang perempuan yang didapati berzina. Mereka membuat perempuan itu berdiri di hadapan semua orang di situ.

4Mereka berkata kepada Yesus, “Guru, perempuan ini ditangkap ketika berzina.

5Dalam hukum Taurat, Musa memberikan perintah supaya perempuan demikian direjam sampai mati. Bagaimanakah pendapat-Mu?”

6Mereka bertanya demikian untuk menduga Yesus supaya mempunyai alasan untuk menuduh-Nya. Tetapi Yesus tunduk menulis di tanah dengan jari-Nya.

7Mereka tetap mengulangi pertanyaan itu. Oleh yang demikian, Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada mereka, “Sesiapa di antaramu yang tidak berdosa, hendaklah dia yang pertama merejam batu kepadanya.”

8Kemudian Yesus tunduk menulis semula di tanah.

9Setelah mendengar kata-kata Yesus, seorang demi seorang, bermula dengan yang tertua, beredar dari situ. Akhirnya hanya Yesus dan perempuan itu yang tinggal.

10Yesus meluruskan badan-Nya lalu berkata kepada perempuan itu, “Di manakah mereka? Tidak adakah orang yang mengutukmu?”

11Perempuan itu menjawab, “Tidak ada, Tuhan.” Yesus berkata, “Aku pun tidak menghukummu. Pergilah, jangan berbuat dosa lagi.”

Yesus cahaya dunia

12Yesus berkata lagi kepada mereka, “Akulah cahaya dunia. Orang yang mengikut-Ku tidak akan berjalan dalam kegelapan tetapi akan mempunyai cahaya hidup.”

13Lalu orang Farisi yang hadir berkata kepada Yesus, “Kamu memberikan kesaksian tentang diri-Mu sendiri. Kesaksian-Mu tidak sah.”

14Yesus menjawab, “Walaupun Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku sendiri, kesaksian-Ku benar, kerana Aku tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi, sedangkan kamu tidak tahu dari mana Aku datang dan ke mana Aku pergi.

15Kamu menghakimi orang mengikut ukuran manusia. Aku tidak menghakimi sesiapa pun.

16Tetapi sekiranya Aku menghakimi, penghakiman-Ku adalah betul, kerana Aku tidak menghakimi sendirian. Bapa yang mengutus-Ku menghakimi bersama-sama-Ku.

17Ada tersurat dalam hukum Taurat kamu: Kesaksian dua orang adalah sah.

18Aku memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Bapa yang mengutus-Ku juga memberikan kesaksian tentang diri-Ku.”

19Oleh itu, mereka bertanya, “Di manakah Bapa-Mu itu?” Yesus menjawab, “Kamu tidak mengenal-Ku atau Bapa-Ku. Kalaulah kamu mengenal-Ku, tentu kamu mengenal Bapa-Ku juga.”

20Yesus mengatakan segala ini di perbendaharaan ketika mengajar di Bait Suci. Tetapi tiada seorang pun menangkap-Nya, kerana saat-Nya belum sampai.

21Yesus berkata lagi kepada mereka, “Aku akan pergi dan kamu akan mencari-Ku, tetapi kamu akan mati dalam dosamu. Ke mana Aku pergi, kamu tidak dapat ikut.”

22Lalu orang Yahudi berkata, “Adakah Dia hendak membunuh diri?” Kerana Dia berkata, “Kamu tidak boleh pergi ke tempat Aku pergi.”

23Yesus berkata, “Kamu datang dari bawah; Aku datang dari atas. Kamu berasal dari dunia; Aku tidak berasal dari dunia.

24Itulah maka Kukatakan kepadamu, kamu akan mati dalam dosamu. Memanglah kamu akan mati dalam dosamu jika kamu tidak percaya bahawa Akulah Dia yang Kukatakan.”

25“Siapa Kamu ini?” tanya mereka. Yesus menjawab, “Akulah Dia yang telah Kukatakan kepadamu dari mula lagi.

26Ada banyak lagi yang perlu Kukatakan dan Kuadili tentangmu. Tetapi Dia yang mengutus-Ku dapat dipercayai. Aku menyampaikan kepada dunia apa yang Kudengar daripada-Nya.”

27Mereka tidak faham bahawa selama ini Yesus bercakap tentang Bapa.

28Lalu Yesus berkata kepada mereka, “Apabila kamu meninggikan Anak Manusia, barulah kamu tahu bahawa Akulah Dia yang Kukatakan, dan Aku tidak pernah melakukan sesuatu menurut kehendak-Ku. Aku hanya mengatakan apa yang diajarkan oleh Bapa.

29Dia yang mengutus-Ku ada di sisi-Ku. Dia tidak pernah membiarkan Aku keseorangan, kerana Aku sentiasa melakukan apa yang diredai-Nya.”

30Setelah mendengar kata-kata Yesus, ramai orang percaya kepada-Nya.

Kebenaran yang membebaskanmu

31Yesus berkata kepada orang Yahudi yang percaya kepada-Nya, “Kalau kamu mengikut ajaran-Ku, kamu murid-Ku yang sejati.

32Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.”

33Mereka berkata, “Kami keturunan Abraham. Kami belum pernah diperhamba. Apakah maksud kata-kata-Mu, ‘Kamu akan dibebaskan’?”

34Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang melakukan dosa menjadi hamba kepada dosa.

35Seorang hamba tidak mempunyai kedudukan kekal dalam sebuah keluarga, tidak seperti seorang anak yang selama-lamanya anggota keluarga itu.

36Dengan demikian, jika Anak membebaskanmu, kamu akan bebas sepenuhnya.

37Aku tahu kamu keturunan Abraham, tetapi kamu ingin membunuh-Ku kerana kata-kata-Ku tidak mendapat tempat dalam dirimu.

38Aku menyampaikan apa yang dinyatakan oleh Bapa-Ku. Demikian juga kamu melakukan apa yang disampaikan oleh bapamu.”

39Mereka menjawab, “Bapa kami Abraham.” Tetapi Yesus berkata, “Sekiranya kamu benar-benar anak Abraham, tentu kamu lakukan apa yang telah dilakukan oleh Abraham.

40Aku hanya memberitahumu kebenaran yang Kudengar daripada Allah, tetapi kamu hendak membunuh-Ku. Ini bukanlah perlakuan Abraham!

41Kamu melakukan apa yang dilakukan oleh bapamu.” Mereka menjawab, “Kami bukan anak luar nikah. Bapa kami satu, iaitu Allah.”

42Yesus berkata kepada mereka, “Kalaulah benar Allah Bapamu, tentu kamu mengasihi-Ku, kerana Aku datang daripada-Nya, bukan dengan kehendak-Ku sendiri, tetapi diutus-Nya.

43Mengapa kamu tidak mengerti kata-kata-Ku? Kerana kamu enggan mendengar kata-kata-Ku.

44Bapamu Iblis dan kamu anak-anaknya. Kamu lebih cenderung menurut kehendak bapamu. Dari mulanya lagi, Iblis pembunuh. Dia tidak menyokong kebenaran, kerana dalam dirinya tidak ada kebenaran. Apabila dia berdusta, dia bercakap dari sifat tabiinya sendiri, kerana dia pendusta dan bapa segala dusta.

45Sebaliknya Aku menyampaikan kebenaran, maka itulah kamu tidak mahu percaya kepada-Ku.

46Siapakah antaramu yang dapat membuktikan Aku berdosa? Jika Aku berkata benar, mengapa kamu tidak mempercayai-Ku?

47Orang yang daripada Allah mendengar firman Allah. Kamu tidak mendengarnya, kerana kamu bukan daripada Allah.”

48Orang Yahudi berkata, “Tidakkah benar kami katakan, Kamu ini orang Samaria dan dirasuk roh iblis?”

49Yesus menjawab, “Aku tidak dirasuk roh iblis. Aku memuliakan Bapa-Ku, tetapi kamu menghina-Ku.

50Aku tidak mencari kemuliaan untuk diri-Ku, tetapi Dia yang mencarinya untuk-Ku, dan Dialah yang menghakimi.

51Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.”

52Orang Yahudi berkata kepada-Nya, “Sekarang tahulah kami bahawa Kamu dirasuk roh iblis! Abraham sudah mati, begitu juga nabi-nabi. Tetapi Kamu berkata, ‘Sesiapa yang menurut kata-Ku tidak akan mati.’

53Adakah Kamu lebih besar daripada bapa kami Abraham yang sudah mati? Nabi-nabi juga sudah mati. Kamu sangka Kamu ini siapa?”

54Yesus menjawab, “Sekiranya Aku memuliakan diri-Ku, kemuliaan itu tidak bererti. Bapa-Ku yang memuliakan Aku. Kamu mengatakan, “Dia itu Allah kami.”

55Namun demikian, kamu tidak mengenal-Nya, tetapi Aku mengenal-Nya. Sekiranya Kukatakan Aku tidak mengenal-Nya, jadilah Aku pendusta sepertimu. Aku mengenal-Nya dan taat akan firman-Nya.

56Bapamu Abraham bersukacita melihat hari-Ku. Dia melihatnya dan bergembira.”

57Orang Yahudi berkata kepada-Nya, “Usia-Mu belum sampai lima puluh tahun. Bagaimana Kamu mungkin berjumpa dengan Abraham?”

58Yesus berkata kepada mereka, “Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, apa yang Kukatakan ini benar, sebelum Abraham dilahirkan Aku sudah ada.”

59Setelah itu, mereka memungut batu untuk merejam Yesus, tetapi Yesus menyembunyikan diri-Nya lalu meninggalkan Bait Suci.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yohanes 8 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran