Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Ibrani 10 >> 

Korban al-Masih yang sempurna

1Hukum hanya bayang-bayang perkara baik yang akan datang, bukan hakikat perkara itu sendiri. Dengan demikian hukum itu sekali-kali tidak akan dapat menyempurnakan orang yang mempersembahkan korban-korban yang demikian itu tahun demi tahun.

2Andainya dapat, tidakkah persembahan itu dihentikan? Sekiranya orang yang beribadat itu telah disucikan, mereka tidaklah merasa diri mereka berdosa lagi.

3Tetapi segala korban itu mengingatkan tentang adanya dosa setiap tahun.

4Tidaklah mungkin darah lembu jantan dan kambing dapat menghapuskan dosa.

5Oleh itu, apabila al-Masih datang ke dunia, Dia berkata: ‘Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku.

6Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.

7Kemudian Aku berkata, “Lihatlah, Aku telah datang

8Mula-mula Dia berkata, ‘Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai,’ (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum).

9Kemudian Dia berkata, ‘Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.’ Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua.

10Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Isa al-Masih, sekali untuk selama-lamanya.

11Setiap imam berdiri dan beribadat setiap hari serta mempersembahkan berkali-kali korban yang serupa, yang sampai bila-bila pun tidak akan dapat menghapuskan dosa.

12Tetapi Imam ini, setelah Dia mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa selama-lamanya, duduk di sebelah kanan Allah.

13Dari saat itu Dia menanti hingga musuh-musuh-Nya dijadikan alas kaki-Nya.

14Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan.

15Roh Suci juga memberi kesaksian kepada kita; kerana setelah Dia berfirman,

16‘Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan mereka selepas zaman itu, Tuhan berfirman: Aku akan meletakkan hukum-Ku di hati mereka dan menuliskannya di dalam fikiran mereka.’

17Dia menambah, ‘Dosa dan perbuatan mereka yang ingkar tidak akan Kuingati lagi.’

18Setelah ada pengampunan, tidaklah ada lagi persembahan untuk menebus dosa.

Bertekun selalu

19Oleh itu, saudara-saudara, kita telah mempunyai keberanian untuk masuk ke Tempat Paling Suci melalui darah Isa,

20melalui jalan yang baru dan hidup, yang dibukakan-Nya untuk kita, menerusi tirai, iaitu tubuh-Nya.

21Kita mempunyai Imam Besar di atas isi rumah Allah.

22Maka marilah kita hampir dengan hati yang tulus dan iman yang teguh sepenuhnya. Hati kita telah direnjis sehingga suci daripada kejahatan dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang bersih.

23Marilah kita berpegang teguh kepada pengakuan harapan kita tanpa berganjak, kerana Dia yang berjanji sentiasa setia.

24Marilah kita saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik.

25Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri, terutamanya setelah kamu sedar Hari Tuhan itu kian hampir.

26Jika kita sengaja melakukan dosa setelah kita mengenal kebenaran, tiada lagi korban untuk menebus dosa.

27Yang ada hanyalah ketakutan menanti hukuman, dan api kemurkaan yang akan memusnahkan semua yang ingkar.

28Sesiapa yang menolak hukum Musa mati tanpa belas kasihan atas kesaksian dua atau tiga orang saksi.

29Pada hematmu, betapakah lebih dahsyatnya hukuman yang dianggap setimpal bagi orang yang telah melanyak Putera Allah di bawah kakinya, memandang ringan kepada darah perjanjian yang telah menyucikannya, dan menghina Roh kasih kurnia?

30Kita mengenal Dia yang berfirman, ‘Pembalasan adalah hak-Ku, Aku akan membalas, demikian firman Tuhan.’ Dan juga, ‘Tuhan akan menghakimi umat-Nya.’

31Sungguh dahsyatnya jatuh ke tangan Allah yang hidup.

32Tetapi ingatlah masa silam, ketika kamu diberi cahaya kebenaran, kemudian kamu dengan ketetapan yang gigih menanggung penderitaan yang hebat;

33sebahagiannya apabila kamu sendiri diaibkan di khalayak ramai dengan celaan serta seksaan, dan sebahagiannya apabila kamu menjadi teman mereka yang diperlakukan demikian.

34Kamu telah merasakan belas kasih terhadap mereka yang terpenjara. Kamu telah menerima dengan sukacita apabila hartamu dirampas, kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai milik yang lebih baik dan kekal di syurga.

35Oleh itu janganlah buangkan keyakinanmu, yang akan diberi ganjaran besar.

36Kamu perlu tabah menderita. Dengan demikian, setelah kamu melakukan kehendak Allah, kamu dapat menerima janji itu:

37‘Seketika sahaja lagi, Dia yang akan datang itu akan sampai tanpa berlengah-lengah.

38Sekarang orang yang benar akan hidup dengan iman; Tetapi jika sesiapa undur, jiwa-Ku tidak meredainya.’

39Tetapi kita bukanlah antara mereka yang undur ke arah kebinasaan, tetapi antara mereka yang beriman dan diselamatkan.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ibrani 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran