Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Kisah Para Rasul 22 >> 

Paulus membela diri di Baitulmaqdis

1‘Bapa-bapa dan saudara-saudara sekalian. Dengarlah peneranganku.’

2Setelah mereka mendengar Paulus bertutur dalam bahasa Ibrani, mereka terus senyap. Paulus berkata,

3‘Aku ini orang Yahudi, dilahirkan di Tarsus di tanah Kilikia, tetapi dibesarkan di kota ini, berguru kepada Gamaliel. Aku diajar hukum nenek moyang kita dengan betul, dan aku pula tekun beribadat kepada Allah, sama seperti saudara-saudara sekalian pada hari ini.

4Aku pernah menganiaya pengikut Jalan Tuhan malah membunuh mereka di samping mengikat dan memenjarakan mereka, baik lelaki mahupun perempuan.

5Imam besar dan seluruh anggota Majlis Agama boleh bersaksi akan perbuatanku itu. Aku telah mendapatkan beberapa surat daripada mereka lalu pergi ke Damsyik untuk menangkap dan mengikat para pengikut Isa di sana dan membawa mereka ke Baitulmaqdis ini untuk diseksa.

6‘Dalam perjalanan, ketika hampir sampai di Damsyik, sekitar tengah hari, tiba-tiba suatu cahaya yang besar bersinar dari langit mengelilingiku.

7Aku rebah ke tanah lalu mendengar suara berkata kepadaku, “Saul, Saul, mengapa engkau aniayakan Aku?”

8‘Aku berkata, “Siapakah Engkau, Tuan?” ‘Jawab-Nya, “Akulah Isa orang Nasaret yang kauaniayakan.”

9Semua orang yang bersamaku turut melihat cahaya itu tetapi tidak mendengar suara yang berkata-kata denganku itu.

10‘Aku berkata, “Tuan, apakah yang harus kulakukan?” ‘Dia menjawab, “Bangunlah, pergi ke Damsyik. Di sana engkau akan diberitahu segala yang sudah ditetapkan untukmu melakukannya.”

11Aku tidak dapat melihat langsung akibat cahaya yang terang itu. Teman seperjalananku memimpin tanganku masuk ke Damsyik.

12‘Ada seorang bernama Ananias yang kuat beribadat menurut hukum Taurat. Dia dipandang tinggi oleh orang Yahudi di Damsyik.

13Dia datang berdiri di sisiku lalu berkata, “Saudaraku Saul, kamu dapat melihat semula!” Pada saat itu juga aku dapat melihat semula lalu memandangnya.

14‘Dia berkata, “Allah, Tuhan nenek moyang kita, telah menetapkan bahawa kamu akan mengetahui kehendak-Nya, dan melihat Isa serta mendengar suara-Nya.

15Kamu akan menjadi saksi tentang-Nya kepada semua manusia, termasuk segala yang telah kamu lihat dan dengar itu.

16Sekarang mengapa kamu berlengah-lengah lagi? Bangunlah untuk diimadkan dan minta dihapuskan segala dosamu sambil menyeru nama-Nya.”

17‘Setelah aku pulang ke Baitulmaqdis, sedang aku berdoa di rumah ibadat, aku terlalai

18lalu melihat Dia dan mendengar kata-kata-Nya kepadaku, “Segeralah keluar dari Baitulmaqdis, kerana mereka tidak akan menerima kesaksian daripadamu tentang-Ku.”

19‘Aku berkata, “Ya Junjungan, mereka tahu bahawa aku pernah memenjarakan dan memukul orang yang mempercayai-Mu dalam semua saumaah;

20dan apabila darah Stefanus saksi-Mu itu ditumpahkan, aku turut berdiri berdekatan dan menyetujui pembunuhan itu, serta menjaga pakaian orang yang membunuhnya.”

21‘Kata-Nya kepadaku, “Keluarlah dari sini, kerana Aku hendak mengutusmu jauh-jauh kepada orang bangsa asing.”’

Paulus warganegara Rom

22Orang ramai mendengar ucapan Paulus setakat itu, kemudian berseru lantang, ‘Hapuskan orang begini dari muka bumi, tidak patut dia dibiarkan hidup!’

23Mereka berteriak-teriak sambil mengebas-ngebas pakaian sehingga debu berterbangan.

24Ketua pasukan tentera itu menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. Dia mengarahkan mereka menyebat dan menyoalnya untuk mengetahui mengapa orang ramai berseru-seru demikian tentangnya.

25Paulus diikat dengan tali kulit lalu dia berkata kepada ketua tentera yang berdiri di situ, ‘Jikalau seorang warganegara Rom belum diadili dan didapati bersalah, berkuasakah kamu menyebatnya?’

26Apabila ketua tentera itu mendengar kata-kata Paulus, dia pergi memberitahu ketuanya tentang perkara itu. Katanya, ‘Apa kamu hendak buat? Orang ini warganegara Rom.’

27Ketua pasukan tentera itu mendapatkan Paulus lalu berkata, ‘Katakanlah kepadaku, adakah engkau ini warganegara Rom?’ Paulus menjawab, ‘Ya.’

28Ketua pasukan tentera itu berkata, ‘Aku dapat menjadi warganegara dengan bayaran yang tinggi.’ Paulus menjawab, ‘Tetapi aku dilahirkan sebagai warganegara Rom.’

29Semua orang yang hendak menyoalnya itu berundur, dan ketua pasukan tentera itu ketakutan kerana telah mengikat warganegara Rom.

Paulus di hadapan Majlis Agama

30Esoknya, untuk mengetahui dengan pasti apa sebabnya Paulus dituduh oleh orang Yahudi, ketua tentera itu meminta imam besar dan semua ahli Majlis Agama berhimpun. Kemudian dia melepaskan Paulus daripada ikatan dan menghadapkannya kepada perhimpunan itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kisah Para Rasul 22 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel