1Mazmur Daud. Ketika dia berpura-pura gila di hadapan Abimelekh, yang mengusirnya, lalu dia pergi. Aku akan memuji TUHAN setiap waktu; puji-pujian untuk-Nya akan sentiasa di bibirku.
2Jiwaku akan mengisytiharkan kebesaran TUHAN; rakyat derita akan mendengar dan bersukacita.
3Pujilah kebesaran TUHAN bersamaku; marilah kita memuliakan nama-Nya bersama-sama.
4Aku telah berseru kepada TUHAN, dan Dia mendengar seruanku; lalu Dia menyelamatkanku daripada semua yang kutakuti.
5Orang yang dalam kesusahan bermohon kepada-Nya; maka wajah mereka berseri-seri dan tidak menanggung malu.
6Orang malang berseru merayu, dan TUHAN mendengar rayuannya; lalu menyelamatkannya daripada segala kesusahannya.
7Para malaikat TUHAN berjaga sekeliling orang yang takut kepada-Nya, dan menyelamatkan mereka.
8Rasakan dan lihatlah kebaikan TUHAN; diberkatilah orang yang percaya kepada-Nya.
9Takutilah TUHAN, wahai umat-Nya yang salih, mereka yang takut kepada-Nya tidak kekurangan apa-apa.
10Anak-anak singa menjadi lemah dan lapar, tetapi mereka yang berpaling kepada TUHAN tidak akan kekurangan sesuatu yang baik.
11Marilah anak-anak, dengar kata-kataku; aku akan mengajarmu takut akan TUHAN.
12Siapa yang sayangkan hidup dan inginkan panjang umur,
13jagalah lidahmu daripada kejahatan dan bibirmu daripada kata-kata palsu.
14Tinggalkan kejahatan dan lakukan kebaikan; cari dan burulah kedamaian.
15Kerana mata TUHAN tertuju kepada orang yang benar dan telinga-Nya mendengar rayuan mereka;
16Tetapi wajah TUHAN menentang mereka yang berbuat jahat, sehingga ingatan tentang mereka luput dari bumi.
17Orang yang benar berseru merayu, dan TUHAN mendengar; lalu menyelamatkan mereka daripada segala kesusahan mereka.
18TUHAN merapati orang yang patah hati dan menyelamatkan orang yang menyesal.
19Orang yang benar banyak ditimpa penderitaan, Tetapi TUHAN menyelamatkannya daripada segala-galanya;
20TUHAN menjaga setiap tulangnya, satu pun tidak patah.
21Orang zalim akan dibunuh oleh kejahatan; dan mereka yang membenci orang benar akan dihukum.
22TUHAN menebus roh hamba-Nya; tiada seorang pun yang percaya kepada-Nya akan dihukum.