Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 10 >> 

Ibarat tentang seorang gembala yang baik

1‘Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, jika seseorang memasuki kandang domba dengan cara lain, bukan melalui pintu, orang itu pencuri dan perompak.

2Orang yang masuk melalui pintu ialah gembala domba.

3Penjaga kandang membuka pintu untuknya, dan kawanan domba itu mendengar suaranya. Dia memanggil nama setiap dombanya. Gembala itu pun memimpin domba-domba itu keluar.

4Setelah semua domba keluar, gembala itu berjalan di hadapan dan domba-domba mengikutnya kerana mengenal suaranya.

5Kawanan domba itu tidak akan mengikut orang lain, malah akan lari daripadanya, kerana tidak mengenal suaranya.’

6Isa bercerita secara kiasan, tetapi mereka tidak faham akan maksud-Nya.

7Oleh yang demikian, Isa berkata, ‘Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, Akulah pintu bagi kawanan domba itu.

8Orang yang datang sebelumku adalah pencuri dan perompak, tetapi kawanan domba tidak mengikut suara mereka.

9Akulah pintu. Sesiapa yang masuk melalui-Ku akan diselamatkan. Dia boleh keluar masuk, dan dia akan dapat mencari padang rumput.

10Pencuri datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan. Tetapi Aku datang supaya manusia mempunyai hidup yang berlimpah-limpah.

11‘Akulah gembala yang baik, yang mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya.

12Orang upahan yang bukan gembala atau pemilik kawanan domba itu akan lari apabila melihat serigala datang. Maka serigala menerkam domba itu dan menyebabkannya lari bertempiaran.

13Orang upahan itu lari kerana dia bekerja semata-mata untuk mendapat upah. Dia tidak peduli akan kawanan domba itu.

14‘Akulah gembala yang baik. Aku mengenal domba-domba-Ku dan domba-domba-Ku mengenal-Ku,

15sebagaimana Bapa mengenal-Ku, dan Aku mengenal-Nya. Aku mengorbankan nyawa-Ku untuk domba-domba-Ku.

16Ada domba-domba lain diluar kawanan ini yang Kumiliki. Mereka juga mesti Kupimpin, dan mereka akan mengikut suara-Ku. Kesemuanya akan menjadi satu kawanan dengan satu gembala.

17Bapa mengasihi-Ku kerana Aku sanggup menyerahkan nyawa-Ku agar dapat mengambilnya semula nanti.

18Sesiapapun tidak dapat meragut nyawa-Ku. Aku menyerahkannya dengan rela. Aku berkuasa menyerahkan nyawa-Ku dan berkuasa mengambilnya semula. Inilah tugas yang Kuterima daripada Bapa-Ku.’

19Setelah mendengar kata-kata Isa, orang Yahudi berselisih pendapat lagi.

20Sebilangan besar berkata, ‘Dia dirasuk roh iblis! Dia tidak siuman! Mengapa kamu mendengar katanya?’

21Namun, ada yang berkata, ‘Orang yang dirasuk roh iblis tidak akan dapat bercakap begini. Dan bagaimanakah roh iblis dapat mencelikkan orang buta?’

Isa ditolak orang Israel

22Di Baitulmaqdis, Perayaan Pentahbisan sedang disambut.

23Ketika itu musim sejuk, dan Isa sedang berjalan di serambi Sulaiman di dalam rumah ibadat.

24Orang Yahudi pun berkumpul di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Sampai bilakah Engkau membiarkan kami bertanya-tanya? Katakanlah dengan jelas: Adakah Engkau ini al-Masih?’

25Isa menjawab, ‘Aku sudahpun mengatakannya kepada kamu, tetapi kamu tidak mahu percaya. Segala yang Kulakukan dengan kuasa Bapa-Ku memberi kesaksian tentang diri-Ku.

26Kamu tidak percaya kerana kamu bukan kawanan domba-Ku.

27Domba-domba-Ku mendengar suara-Ku. Aku mengenal mereka dan mereka mengikut-Ku.

28Aku memberi mereka hidup yang kekal. Mereka tidak akan binasa. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada tangan-Ku.

29Bapa-Ku yang mengurniakan mereka kepada-Ku lebih besar daripada siapapun. Tiada siapa dapat merampas mereka daripada Bapa.

30Bapa dan Aku adalah satu.’

31Selepas itu orang Yahudi yang hadir pun memungut batu sekali lagi untuk merejam Isa.

32Tetapi Isa berkata kepada mereka, ‘Aku telah banyak melakukan perbuatan baik untukmu. Perbuatan manakah yang mendorong kamu merejam-Ku?’

33Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami hendak merejam Kamu bukan kerana perbuatan-Mu yang baik, tetapi kerana Kamu mengkufuri Allah. Kamu hanyalah seorang manusia, tetapi Kamu menganggap diri-Mu Allah!’

34Isa berkata kepada mereka, ‘Tidakkah tersurat di dalam hukum Taurat kamu: Allah berfirman, “Kamu ilahi”?

35Jika Allah menyebut orang sebagai “ilahi” kerana firman Allah ditujukan kepada mereka, (apa yang tersurat di dalam kitab itu tidak dapat dibatalkan)

36bagaimana dengan Dia yang telah disucikan dan diutus ke dunia oleh Bapa? Wajarkah kamu katakan Aku mengkufuri Allah kerana Aku berkata, “Aku Putera Allah”?

37Andainya Aku tidak melakukan kehendak Bapa, janganlah percaya kepada-Ku.

38Tetapi jika Aku melakukannya, percayalah kepada apa yang Kulakukan, kalaupun kamu tidak percaya kepada-Ku. Dengan demikian akan fahamlah kamu bahawa Bapa di dalam Aku dan Aku di dalam Bapa.’

39Mereka mencuba lagi menangkap Isa, tetapi Isa dapat melepaskan diri dari tangan mereka.

40Isa kembali ke seberang Sungai Yordan lalu tinggal di tempat Yahya mengimadkan orang dahulu.

41Ramai orang datang kepada Isa. Mereka berkata, ‘Yahya tidak melakukan mukjizat, namun kata-katanya tentang orang ini semuanya benar.’

42Ramai orang di kawasan itu percaya kepada Isa.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yohanes 10 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran