Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [KSZI]     [PL]  [PB] 
 <<  Yohanes 19 >> 

1Setelah itu, Pilatus pun membawa Isa dan mengarahkan supaya Isa disesah.

2Askar-askar menganyam mahkota daripada duri, dan mengenakannya pada kepala Isa. Kemudian mereka menyarungkan jubah berwarna ungu ke tubuh-Nya.

3Mereka datang kepada-Nya dan berkata, ‘Daulat Raja orang Yahudi!’ lalu menampar-Nya.

4Pilatus keluar lagi dan berkata kepada mereka, ‘Lihat, aku bawakan Dia kepadamu, supaya kamu tahu aku mendapati Dia tidak bersalah sama sekali.’

5Isa pun keluar dengan memakai mahkota duri dan jubah ungu itu. Pilatus berkata kepada mereka, ‘Lihatlah orang ini!’

6Apabila ketua-ketua imam dan pegawai-pegawai melihat-Nya, mereka berteriak, ‘Salibkan Dia! Salibkan Dia!’ Pilatus berkata kepada mereka, ‘Kamu ambil dan saliblah Dia; kerana aku mendapati-Nya tidak bersalah sama sekali.’

7Orang Yahudi itu menjawab, ‘Kami ada undang-undang, dan menurut undang-undang itu Dia patut dihukum mati, kerana Dia mengaku diri-Nya Putera Allah.’

8Apabila mendengar kata-kata itu, Pilatus semakin takut.

9Dia masuk semula ke istana dan bertanya kepada Isa, ‘Dari manakah Kamu ini?’ Tetapi Isa tidak menjawab.

10Kemudian Pilatus berkata kepada-Nya, ‘Kamu tidak menjawab soalanku? Tidakkah kamu tahu aku berkuasa untuk menyalib-Mu atau membebaskan-Mu?’

11Isa menjawab, ‘Kamu tidak mungkin mempunyai kuasa langsung ke atas-Ku kecuali diberikan kepadamu dari atas; maka yang menyerahkan-Ku kepadamu itu lebih besar dosanya.’

12Selepas itu Pilatus cuba membebaskan-Nya, tetapi orang Yahudi berseru, ‘Jika kamu membebaskan orang ini, kamu bukanlah penyokong Kaisar; kerana sesiapa yang mengaku dirinya raja bercakap menentang Kaisar.’

13Ketika Pilatus mendengar kata-kata demikian, dia pun membawa Isa, lalu duduk di kerusi pengadilan di tempat yang disebut ‘Laman Batu’, dalam bahasa Ibrani Gabbatha.

14Pada waktu itu persediaan sedang dibuat untuk perayaan Paska, kira-kira jam keenam. Pilatus berkata kepada orang Yahudi, ‘Lihatlah Raja kamu!’

15Tetapi mereka berseru, ‘Bawa Dia pergi! Bawa Dia pergi! Salibkan Dia!’ Pilatus berkata kepada mereka, ‘Adakah kamu mahu aku salib Rajamu?’ Ketua-ketua imam menjawab, ‘Kami tidak ada raja selain Kaisar.’

Isa disalib

16Oleh itu Pilatus pun menyerahkan Isa kepada mereka untuk disalib.

17Lalu mereka mengambil-Nya dan membawa-Nya pergi. Isa pun mengangkat salib-Nya dan pergi ke suatu tempat yang dipanggil Tempat Tengkorak, yang dalam bahasa Ibrani disebut Golgota.

18Di situ mereka menyalib-Nya, bersama dua orang lain di kiri kanan-Nya.

19Pilatus memerintahkan supaya satu catatan ditulis dan diletakkannya di atas salib itu. Tulisan itu berbunyi: Isa Orang Nasaret, Raja Orang Yahudi.

20Ramai orang Yahudi membaca tulisan itu, kerana tempat Isa disalib itu dekat dengan kota, dan tulisan itu dalam bahasa Ibrani, Yunani dan Latin.

21Ketua-ketua imam Yahudi pula berkata kepada Pilatus, ‘Janganlah tulis: “Raja Orang Yahudi.” Tetapi, tulislah: “Dia berkata Dia raja orang Yahudi.”’

22Pilatus menjawab, ‘Apa yang sudah kutulis itu sudah kutulis.’

23Setelah menyalib Isa, askar-askar mengambil pakaian-Nya, dibahagi empat, sebahagian untuk setiap askar. Mereka mengambil jubah-Nya juga. Jubah itu tidak berkelim, seluruhnya dianyam dari atas.

24Oleh itu mereka berkata-kata sesama sendiri, ‘Janganlah kita koyakkan. Kita buang undi untuk menentukan siapa yang dapat.’ Dengan demikian berlakulah apa yang tersurat di dalam Kitab Suci: ‘Mereka membahagikan pakaian-Ku antara mereka, dan untuk mendapat jubah-Ku mereka membuang undi.’ Begitulah yang dilakukan oleh askar-askar itu.

25Di tepi salib Isa berdiri ibu-Nya, dan saudara perempuan ibu-Nya, Maryam isteri Klopas, dan Maryam Magdalena.

26Apabila Isa melihat ibu-Nya dan pengikut-Nya yang dikasihi berdiri di situ, Dia pun berkata kepada ibu-Nya, ‘Lihat, itulah anakmu.’

27Kepada pengikut-Nya Dia berkata, ‘Lihatlah ibumu.’ Sejak itu pengikut tersebut mengambil ibu Isa sebagai ibunya dan membawanya tinggal di rumahnya.

Kematian Isa

28Selepas itu, Isa yang mengetahui bahawa segala-galanya telah berlaku sebagaimana tersurat di dalam Kitab Suci, lalu berkata, ‘Aku dahaga.’

29Di situ ada sebuah bekas berisi air anggur masam. Lalu mereka memenuhkan sebuah sepan dengan air anggur masam itu, meletakkannya di atas sebuah batang zufa dan mencecahkannya ke mulut Isa.

30Setelah Isa menerima air anggur masam itu, Dia berkata, ‘Sudah selesai’. Dia menundukkan kepala lalu menyerahkan nyawa-Nya.

Isa ditikam

31Oleh sebab hari itu hari persediaan dan mayat-mayat itu tidak sewajarnya masih ada di atas salib pada hari Sabat (kerana hari Sabat itu hari mulia), orang Yahudi meminta kepada Pilatus agar mayat-mayat itu dipatahkan kakinya dan dibawa pergi.

32Askar-askar pun datang mematahkan kaki orang yang disalib bersama Isa itu, seorang demi seorang.

33Tetapi apabila mereka sampai kepada Isa dan melihat Dia sudah tidak bernyawa lagi, mereka pun tidak mematahkan kaki-Nya.

34Tetapi seorang askar itu menikam rusuk-Nya dengan lembing, lalu keluarlah darah dan air.

35Maka dia yang melihatnya merakamkan sebagai kesaksian, dan rakamannya itu benar. Dia tahu bahawa dia bercakap benar, supaya kamu percaya.

36Semua ini dilakukan supaya berlakulah yang tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Tidak satu pun tulang-Nya akan dipatahkan’.

37Juga tersurat di dalam Kitab Suci, ‘Mereka akan memandang Dia yang telah ditikam oleh mereka.’

Isa dimakamkan

38Selepas itu, Yusuf yang berasal dari Arimatea meminta izin daripada Pilatus untuk mengambil jenazah Isa. Yusuf ialah seorang pengikut Isa secara diam-diam kerana takut akan ketua orang Yahudi.

39Nikodemus, yang pernah mendapatkan Isa pada suatu malam dahulu, pergi bersama Yusuf membawa ramuan mur dan gaharu sebanyak kira-kira seratus paun.

40Mereka mengambil jenazah Isa lalu mengkafankannya dengan kain kafan dan ramuan mengikut adat pengebumian orang Yahudi.

41Di sebuah taman di tempat Isa disalib terdapat sebuah makam yang belum pernah digunakan.

42Oleh sebab makam itu dekat dan hari itu hari persediaan orang Yahudi, mereka pun memasukkan jenazah Isa ke dalamnya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Yohanes 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran