Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Imamat 20 >> 

Hukuman bagi Orang yang Tidak Taat

1TUHAN menyuruh Musa

2memberitahu umat Israel, "Sesiapa sahaja antara kamu, atau orang asing di kalangan kamu, yang mempersembahkan anaknya sebagai korban kepada Dewa Molokh, harus direjam sampai mati oleh segenap masyarakat.

3Sesiapa yang mempersembahkan salah seorang anaknya kepada Dewa Molokh, menajiskan Khemah-Ku dan menghina nama-Ku yang suci. Aku akan menghukum dia dan tidak lagi menganggap dia sebagai anggota umat-Ku.

4Tetapi jika masyarakat menutup mata terhadap perbuatan orang itu, dan tidak menjatuhkan hukuman mati ke atas orang itu,

5maka Aku sendiri akan menghukum dia dan semua anggota keluarganya, dan juga semua orang yang bersama-sama dia meninggalkan Aku dan menyembah Dewa Molokh. Aku tidak lagi menganggap mereka sebagai umat-Ku.

6Sesiapa yang minta nasihat daripada orang yang berhubung dengan roh-roh orang mati, akan Kuhukum dan tidak lagi Aku anggap sebagai anggota umat-Ku.

7Jagalah supaya kamu tetap suci, kerana Akulah TUHAN, Allah kamu.

8Patuhilah hukum-Ku, kerana Akulah TUHAN yang mengekhaskan kamu untuk Aku."

9TUHAN memberikan peraturan berikut, "Sesiapa mengutuk bapanya atau ibunya mesti dihukum mati. Orang itu mati kerana kesalahannya sendiri.

10Jika seorang Israel berzina dengan isteri orang sebangsanya, orang itu dan perempuan itu mesti dihukum mati.

11Seorang yang bersetubuh dengan salah seorang isteri bapanya, menghina bapanya; dia dan perempuan itu mesti dihukum mati. Mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.

12Jika seorang lelaki bersetubuh dengan menantu perempuannya, mereka berdua mesti dihukum mati. Mereka sudah melakukan perbuatan keji, dan mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.

13Jika seorang lelaki bersemburit dengan seorang lelaki lain, mereka melakukan perbuatan yang hina dan menjijikkan. Mereka berdua mesti dihukum mati; mereka mati kerana kesalahan mereka sendiri.

14Jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang perempuan dan dengan ibu perempuan itu juga, ketiga-tiga mereka mesti dibakar sampai mati, kerana perbuatan mereka itu keji. Perbuatan seperti itu tidak dibenarkan berlaku di kalangan kamu.

15Jika seorang lelaki melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, dia dan binatang itu mesti dihukum mati.

16Jika seorang perempuan cuba melakukan perhubungan jenis dengan seekor binatang, perempuan itu dan binatang itu mesti dihukum mati. Kedua-duanya mati kerana kesalahan sendiri.

17Jika seorang lelaki berkahwin dengan saudara perempuannya, sama ada perempuan itu saudara seibu sebapa mahupun saudara tiri yang sebapa lain ibu atau seibu lain bapa, kedua-dua orang itu harus dipermalukan di hadapan umum dan tidak lagi dianggap sebagai anggota umat Israel. Lelaki itu sudah bersetubuh dengan saudara perempuannya dan mesti menanggung akibatnya.

18Jika seorang lelaki bersetubuh dengan seorang perempuan yang sedang haid, kedua-duanya tidak lagi dianggap sebagai anggota umat-Ku.

19Jika seorang lelaki bersetubuh dengan mak ciknya, mereka berdua mesti menanggung akibatnya; perbuatan itu keji.

20Jika seorang lelaki bersetubuh dengan isteri pak ciknya, dia menghina pak ciknya. Lelaki dan perempuan itu mesti menanggung hukuman mereka sendiri; mereka berdua tidak akan mendapat anak.

21Jika seorang lelaki merampas isteri abangnya, mereka berdua akan mati tanpa mendapat anak. Lelaki itu sudah melakukan perbuatan yang keji, dan dia menghina abangnya."

22TUHAN berfirman, "Patuhilah segala hukum dan perintah-Ku, supaya kamu tidak diusir dari negeri Kanaan, tempat Aku membawa kamu sekarang ini.

23Jangan ikut kebiasaan bangsa yang tinggal di situ. Aku mengusir mereka supaya kamu boleh masuk ke negeri itu. Mereka menjijikkan Aku dengan perbuatan mereka yang keji.

24Tetapi Aku sudah berjanji akan memberikan negeri yang kaya dan subur itu kepada kamu. Negeri itu akan menjadi milik kamu. Akulah TUHAN, Allah kamu yang sudah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain.

25Oleh itu, kamu mesti tahu membezakan binatang dan burung yang halal dengan binatang dan burung yang haram. Jangan makan binatang atau burung yang haram. Aku sudah menyatakan semua itu najis. Jika kamu memakannya, kamu juga menjadi najis.

26Kamu harus suci dan menjadi milik-Ku semata-mata, kerana Akulah TUHAN dan Aku suci. Aku sudah memisahkan kamu daripada bangsa-bangsa lain, supaya kamu menjadi milik-Ku semata-mata.

27Setiap lelaki atau perempuan yang berhubung dengan roh-roh orang mati mesti direjam sampai mati. Orang yang melakukan perbuatan ini mati kerana kesalahan sendiri."


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Imamat 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel