Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Kejadian 21 >> 

Kelahiran Ishak

1TUHAN memberkati Sara sebagaimana yang sudah dijanjikan-Nya.

2Pada masa yang telah ditentukan Allah, ketika Abraham sudah tua, Sara mengandung lalu melahirkan seorang anak lelaki.

3Abraham menamakan anak itu Ishak.

4Ketika Ishak berumur lapan hari, Abraham menyunatnya, menurut perintah Allah.

5Abraham berumur 100 tahun ketika Ishak dilahirkan.

6Sara berkata, "Allah sudah membuat aku tertawa kerana gembira. Setiap orang yang mendengar hal ini akan tertawa bersama-samaku."

7Kemudian dia berkata lagi, "Siapakah dahulunya dapat berkata kepada suamiku bahawa aku akan menyusui anak? Namun aku sudah melahirkan juga seorang anak lelaki untuk dia ketika umurnya sudah lanjut."

8Anak itu bertambah besar, lalu pada hari dia bercerai susu, Abraham mengadakan jamuan besar.

Hagar dan Ismael Diusir

9Pada suatu hari Ismael, anak Abraham dan Hagar, perempuan Mesir itu, sedang bermain dengan Ishak, anak Sara.

10Sara nampak hal itu lalu berkata kepada Abraham, "Usirlah hamba perempuan ini bersama dengan anak lelakinya. Anak hamba perempuan ini tidak boleh mendapat bahagian daripada hartamu yang akan diwarisi anak lelakiku, Ishak."

11Hal itu sangat menyusahkan hati Abraham kerana Ismael anaknya juga.

12Tetapi Allah berfirman kepada Abraham, "Janganlah bersusah hati kerana hambamu Hagar dan anaknya itu. Buatlah apa yang disuruh oleh Sara kepadamu kerana melalui Ishak, engkau akan mendapat keturunan yang sudah Aku janjikan itu.

13Aku juga akan mengurniakan banyak anak cucu kepada anak Hagar, supaya mereka menjadi suatu bangsa, kerana dia anakmu juga."

14Awal pagi esoknya, Abraham memberikan makanan dan satu kirbat kulit berisi air kepada Hagar. Dia meletakkan budak itu pada belakang Hagar dan menyuruhnya pergi dari situ. Lalu Hagar berangkat dan mengembara di padang gurun Bersyeba.

15Apabila air di dalam kirbat sudah habis, Hagar meletakkan anaknya di bawah belukar,

16lalu pergi duduk kira-kira 100 meter dari tempat itu. Dia berkata dalam hati, "Aku tidak sanggup melihat anakku mati." Lalu dia menangis.

17Allah mendengar suara Ismael dan dari langit malaikat Allah berkata kepada Hagar, "Apakah yang engkau susahkan, Hagar? Janganlah takut. Allah sudah mendengar tangisan anakmu.

18Pergilah kepada anakmu, angkatlah dan tenangkanlah dia. Aku akan menjadikan keturunannya suatu bangsa yang besar."

19Kemudian Allah membuka mata Hagar sehingga dia nampak sebuah perigi. Oleh itu dia pergi mengisi kirbat itu dengan air, kemudian dia memberikan minuman kepada anaknya.

20Allah menyertai Ismael. Anak itu bertambah besar; dia tinggal di padang gurun Paran dan menjadi pemburu yang mahir.

21Ibunya mengahwinkan dia dengan seorang wanita Mesir.

Perjanjian antara Abraham dan Raja Abimelekh

22Pada masa itu Raja Abimelekh dan Pikhol, panglima tenteranya, datang kepada Abraham dan berkata, "Allah menolong kamu dalam segala sesuatu yang kamu lakukan.

23Oleh itu bersumpahlah di sini, di hadapan Allah bahawa kamu tidak akan memperdayakan beta, anak-anak beta ataupun keturunan beta. Sebagaimana beta sudah berbaik hati kepadamu, berbuatlah begitu juga kepada beta dan kepada negeri tempat kamu tinggal."

24Abraham berkata, "Baiklah, hamba bersumpah."

25Tetapi kemudian Abraham bersungut kepada Raja Abimelekh tentang perigi yang sudah dirampas oleh hamba-hamba baginda.

26Raja Abimelekh bertitah, "Beta tidak tahu siapa yang sudah melakukan itu. Kamu belum memberitahu beta, dan inilah kali pertama beta mendengar tentang hal itu."

27Kemudian Abraham memberikan beberapa ekor domba dan lembu kepada Raja Abimelekh, lalu mereka berdua membuat perjanjian.

28Abraham mengasingkan tujuh ekor anak domba daripada kawanan ternakannya,

29lalu Raja Abimelekh bertanya kepadanya, "Mengapa kamu melakukan hal itu?"

30Abraham menjawab, "Terimalah ketujuh-tujuh ekor anak domba ini sebagai tanda pengakuan raja bahawa hambalah yang menggali perigi ini."

31Demikianlah tempat itu dinamakan Bersyeba, kerana di sanalah mereka berdua membuat satu perjanjian dengan sumpah.

32Setelah mereka membuat perjanjian di Bersyeba, Raja Abimelekh dan Pikhol kembali ke negeri orang Filistin.

33Kemudian Abraham menanam sebatang pokok di Bersyeba, lalu menyembah TUHAN, Allah yang abadi.

34Selepas itu Abraham tinggal lama di negeri orang Filistin.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Kejadian 21 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2018
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran