Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Markus 13 >> 

Yesus Berkata-kata tentang Keruntuhan Rumah Tuhan

1Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, seorang daripada para pengikut-Nya berkata, "Guru, lihatlah! Betapa indahnya batu-batu dan bangunan-bangunan ini!"

2Yesus menjawab, "Kamu melihat bangunan-bangunan yang indah ini, bukan? Satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya. Semuanya akan dirobohkan."

Kesusahan dan Penganiayaan

3Kemudian Yesus pergi ke Bukit Zaitun lalu duduk di tempat yang berhadapan dengan Rumah Tuhan. Petrus, Yakobus, Yohanes, dan Andreas datang kepada-Nya.

4Mereka berkata kepada Yesus, "Guru, beritahulah kami; bilakah semua perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang menunjukkan bahawa masanya sudah tiba?"

5Yesus berkata kepada mereka, "Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu.

6Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Akulah dia!’ Mereka akan menipu banyak orang.

7Janganlah risau apabila kamu mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba.

8Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Sebuah kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana sahaja akan berlaku gempa bumi dan kebuluran. Semua ini hanya permulaan, sama seperti sakit yang dialami wanita yang akan bersalin.

9Kamu sendiri mesti berhati-hati. Kamu akan ditangkap dan dibawa ke mahkamah. Kamu akan dipukul di rumah ibadat. Kamu akan dihadapkan kepada penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, lalu kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka.

10Berita Baik itu mesti dikhabarkan terlebih dahulu kepada semua bangsa.

11Apabila kamu ditangkap dan dibawa ke mahkamah, janganlah khuatir tentang apa yang harus kamu katakan. Apabila tiba masanya, katakanlah apa yang diberitahu kepada kamu pada waktu itu. Kata-kata yang kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi datang daripada Roh Allah.

12Orang akan mengkhianati saudara sendiri supaya dibunuh. Bapa juga akan berbuat demikian terhadap anak-anak. Anak-anak akan melawan ibu bapa dan menyerahkan mereka supaya dibunuh.

13Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Tetapi orang yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan."

Bencana yang Dahsyat

14"Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ di tempat yang terlarang baginya. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Pada waktu itu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan.

15Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke dalam rumah untuk mengambil sesuatu.

16Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah.

17Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi!

18Berdoalah kepada Allah supaya perkara-perkara ini tidak berlaku pada musim sejuk!

19Pada masa itu akan timbul suatu kesusahan yang belum pernah berlaku, sejak Allah menjadikan dunia hingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi.

20Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat-Nya yang terpilih, Allah memendekkan masa itu.

21Pada masa itu jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ -- janganlah percaya kepada orang itu.

22Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, jika mungkin umat pilihan Allah juga.

23Berjaga-jagalah! Semua perkara itu telah Aku katakan kepada kamu sebelum semuanya berlaku."

Kedatangan Anak Manusia

24"Selepas masa kesusahan itu, matahari akan menjadi gelap dan bulan tidak lagi bercahaya.

25Bintang-bintang akan jatuh dari langit dan kuasa di angkasa lepas akan ditarik daripada peredarannya.

26Barulah Anak Manusia akan kelihatan datang dikelilingi awan dengan kekuasaan besar dan kemuliaan.

27Dia akan mengutus malaikat-malaikat ke empat penjuru bumi untuk mengumpulkan umat pilihan-Nya dari hujung bumi ke hujung langit."

Pelajaran daripada Pokok Ara

28"Biarlah pokok ara memberikan pelajaran kepada kamu. Apabila dahan-dahannya hijau, lembut, dan mula bertunas, kamu tahu bahawa musim panas sudah dekat.

29Demikian juga apabila kamu melihat perkara-perkara ini berlaku, kamu tahu bahawa waktunya sudah dekat dan akan bermula dengan segera.

30Ingatlah! Segala perkara ini akan berlaku sebelum orang yang hidup sekarang ini mati semuanya.

31Langit dan bumi akan lenyap, tetapi firman-Ku kekal selama-lamanya."

Tidak Seorang pun Mengetahui Hari dan Waktunya

32"Meskipun demikian, tidak seorang pun mengetahui hari atau waktunya, baik malaikat-malaikat di syurga ataupun Anak; hanya Bapa yang tahu.

33Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya.

34Keadaannya seperti seorang yang meninggalkan rumahnya lalu pergi ke tempat yang jauh. Dia menyuruh hamba-hambanya menjaga rumah, setelah dia memberikan tugas kepada mereka. Kepada penjaga pintu, dia berpesan supaya berjaga baik-baik.

35Oleh itu, berjaga-jagalah, kerana kamu tidak mengetahui waktunya tuan rumah itu balik; mungkin pada petang hari, tengah malam, subuh, atau pada waktu matahari terbit.

36Jika dia datang dengan tiba-tiba, janganlah kamu didapati tidur.

37Apa yang Aku katakan kepada kamu, Aku katakan juga kepada semua orang: Berjaga-jagalah!"


  Share Facebook  |  Share Twitter

Download Audio MP3 (Markus 13):
Mobile (Low Quality) - CD (High Quality)

 <<  Markus 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel