Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [TMV]     [PL]  [PB] 
 <<  Mazmur 107 >> 

BUKU KELIMA Pujian bagi Kebaikan Allah

1"Bersyukurlah kepada TUHAN kerana Dia baik; kasih-Nya kekal!"

2Ulangilah kata-kata itu untuk memuji TUHAN, hai kamu semua yang sudah diselamatkan-Nya. Dia telah menyelamatkan kamu daripada musuh,

3dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri asing, dari timur dan barat, dari utara dan selatan.

4Ada yang mengembara di padang pasir, tidak menemui jalan ke kota yang berpenghuni.

5Mereka kelaparan dan kehausan, dan kehilangan segala harapan.

6Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

7Dia memimpin mereka melalui jalan yang lurus, ke kota yang dapat didiami mereka.

8Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

9Dia memuaskan orang yang dahaga, dan mengenyangkan orang lapar dengan segala yang baik.

10Ada orang yang meringkuk di dalam kegelapan, orang tahanan yang dibelenggu dan menderita,

11kerana mereka telah memberontak terhadap perintah Allah, dan menolak arahan Yang Maha Kuasa.

12Mereka patah semangat kerana pekerjaan yang berat, mereka jatuh, dan tidak seorang pun memberikan pertolongan.

13Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

14Dia membawa mereka keluar dari kegelapan, dan memutuskan rantai yang membelenggu mereka.

15Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

16Dia merobohkan pintu-pintu gangsa, dan mematahkan palang-palang besi.

17Ada yang jahil dan menderita kerana dosa mereka, serta diseksa kerana kejahatan mereka;

18mereka mual terhadap segala makanan, dan sudah dekat pintu maut.

19Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, lalu Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

20Dia memulihkan mereka dengan firman-Nya, dan tidak membiarkan mereka mati.

21Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

22Mereka mesti bersyukur kepada-Nya dengan mempersembahkan korban, dan memberitakan perbuatan-Nya dengan lagu-lagu gembira.

23Ada pula yang belayar dengan kapal, mencari nafkah di lautan yang luas.

24Mereka nampak perbuatan TUHAN, perbuatan-Nya yang menakjubkan di lautan.

25Dengan perintah-Nya, angin bertiup dengan kencang, dan ombak bergelora.

26Kapal-kapal terangkat tinggi ke udara, lalu terhempas ke dasar samudera; orang kehilangan keberanian menghadapi bahaya sedemikian.

27Mereka terhuyung-hayang seperti orang mabuk; segala kemahiran mereka menjadi sia-sia.

28Kemudian dalam kesusahan, mereka berseru kepada TUHAN, dan Dia menyelamatkan mereka daripada kecemasan.

29Dia meneduhkan angin ribut, dan ombak pun menjadi tenang.

30Mereka bersukacita kerana ketenangan itu, dan Dia memimpin mereka ke pelabuhan yang dituju.

31Mereka mesti bersyukur kepada TUHAN untuk kasih-Nya yang kekal, untuk perbuatan menakjubkan yang dilakukan-Nya bagi mereka.

32Mereka mesti memberitakan keagungan-Nya dalam perhimpunan umat, dan memuji Dia di hadapan majlis para pemimpin.

33TUHAN mengeringkan sungai sehingga seperti gurun, dan menjadikan mata air kering gersang.

34Dia menyebabkan tanah subur menjadi padang tandus, akibat kezaliman orang yang tinggal di sana.

35Dia mengubah padang pasir menjadi kolam air, dan tanah yang kering menjadi mata air.

36Dia membolehkan orang yang kelaparan tinggal di sana, dan mereka membina kota sebagai tempat kediaman.

37Mereka membajak ladang dan menanam pokok anggur, dan mendapat hasil yang banyak.

38Dia menganugerahi umat-Nya anak yang banyak, dan memelihara ternakan mereka supaya berkembang biak.

39Apabila umat Allah dikalahkan dan dihina dengan penindasan yang kejam serta penderitaan,

40TUHAN mempermalukan penindas mereka, dan menyebabkan mereka mengembara di padang pasir.

41Tetapi Dia menyelamatkan orang miskin daripada kesusahan, dan menyebabkan keluarga mereka mempunyai banyak anak.

42Orang baik nampak hal itu dan bergirang, tetapi semua orang jahat disenyapkan.

43Semoga orang bijak memikirkan perkara itu, semoga mereka merenungkan kasih TUHAN.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Mazmur 107 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2017
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran