Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ayub 15 >> 

Elifas: Orang fasiq akan binasa

1Maka Elifas, orang Teman, menjawab,

2“Patutkah orang bijak berdegar-degar menjawab dengan pengetahuan hampa, dan memenuhi perutnya dengan angin timur?

3Patutkah dia menegur dengan kata-kata yang tidak berguna, dan dengan penuturan yang tidak berfaedah?

4Engkau ini meniadakan ketakwaan, dan menghalang orang beribadat kepada Allah.

5Kesalahanmu mengajari mulutmu, dan engkau memilih lidah orang licik.

6Mulutmu sendiri yang mempersalah engkau, bukan aku. Bibirmu sendiri yang bersaksi menentang engkau.

7Adakah engkau insan yang pertama dilahirkan, atau yang lebih dahulu dijadikan daripada bukit-bukit?

8Adakah engkau turut mendengar dalam majlis perundingan Allah? Adakah engkau membatasi hikmah hanya bagi dirimu?

9Apa yang kauketahui, yang tidak kami ketahui? Apa yang kaufaham, yang tidak jelas bagi kami?

10Orang yang beruban dan juga orang yang sudah tua ada di antara kami, bahkan kalangan yang lebih tua umurnya daripada ayahmu.

11Adakah penghiburan Allah terlalu kecil bagimu, firman yang ditujukan dengan lemah lembut kepadamu?

12Mengapa engkau terbawa perasaan hatimu dan mengapa matamu berkilat-kilat,

13sehingga engkau memalingkan hatimu menentang Allah dan mengeluarkan kata-kata semacam itu daripada mulutmu?

14Apakah manusia itu sehingga dia tidak bercela, atau yang dilahirkan perempuan itu sehingga dia tidak bersalah?

15Sesungguhnya, para malaikat suci-Nya pun tidak dipercayai-Nya dan segala langit pun tidak bersih pada pandangan-Nya;

16lebih-lebih lagi orang yang keji dan buruk, yang meminum kezaliman seperti air.

17Aku hendak menyatakan sesuatu kepadamu, dengarlah aku. Hal yang telah kulihat ini akan kuceritakan,

18iaitu hal yang diberitahukan oleh kalangan yang bijak dan yang tidak disembunyikan oleh nenek moyang mereka –

19kepada mereka sajalah negeri itu telah dikurniakan, tidak ada orang asing yang berjalan di tengah-tengah mereka.

20Orang fasiq menggeliat sakit seumur hidupnya, demikian juga orang kejam selama tahun-tahun yang disediakan baginya.

21Bunyi yang dahsyat masuk ke telinganya, pada masa damai pun dia didatangi perompak.

22Dia tidak percaya bahawa dia akan kembali dari kegelapan, pedang sudah menantinya.

23Dia mengembara mencari makanan, katanya, ‘Di manakah makanan?’ Dia tahu bahawa hari kegelapan sudah dekat.

24Kesesakan dan kesusahan mengejutkan dia. Semuanya menang atasnya seperti raja yang siap untuk berperang,

25kerana dia telah menghulurkan tangannya menentang Allah dan memberanikan diri menentang Yang Maha Kuasa.

26Dia berlari-lari menghadapi-Nya dengan menegangkan tengkuk, dengan perisainya yang tebal dan cembung.

27Dia menyelubungi mukanya dengan lemak, dan menimbunkan lemak di pinggangnya.

28Dia tinggal di kota-kota yang hancur, di dalam rumah-rumah yang tidak dihuni, yang ditentukan untuk menjadi timbunan puing.

29Dia tidak akan menjadi kaya dan hartanya tidak akan bertahan, miliknya tidak akan tahan lama di bumi.

30Dia tidak akan keluar dari dalam kegelapan. Nyala api akan melayukan cabang-cabangnya, dan dia akan disingkirkan oleh nafas mulut-Nya.

31Janganlah dia percaya kepada kesia-siaan dan menyesatkan dirinya, kerana kesia-siaan juga yang akan menjadi balasannya.

32Hal itu akan berlaku sebelum ajalnya, pelepahnya tidak akan menghijau.

33Dia akan meluruhkan buahnya yang belum masak seperti pokok anggur, dan mencampakkan bunganya seperti pokok zaitun.

34Orang munafik akan mandul, api akan melahap khemah-khemah orang yang makan suap.

35Mereka mengandung bencana dan melahirkan kejahatan, rahim mereka menghamilkan tipu daya.”



 <<  Ayub 15 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel