Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Yehezkiel 34 >> 

Allah melawan gembala yang durjana

1Datanglah firman TUHAN kepadaku demikian,

2‘Wahai anak manusia, bernubuatlah menentang para gembala Israel. Bernubuatlah dan katakan kepada mereka, kepada para gembala itu: Beginilah firman Tuhan ALLAH, “Malangnya para gembala Israel yang hanya mengurus diri sendiri! Bukankah gembala seharusnya mengurus dombanya?

3Lemaknya kamu nikmati, bulunya kamu jadikan pakaian, dan yang gemuk kamu sembelih, tetapi domba itu sendiri tidak kamu beri makan.

4Yang lemah tidak kamu kuatkan, yang sakit tidak kamu ubati, yang luka tidak kamu balut, yang terhalau tidak kamu bawa pulang, dan yang hilang tidak kamu cari. Kamu menguasai mereka dengan kekerasan dan kebengisan.

5Mereka tercerai-berai kerana tidak bergembala, dan kerana tercerai-berai, mereka menjadi makanan bagi segala binatang liar.

6Domba-Ku tersesat di semua gunung dan di atas semua bukit yang tinggi. Mereka tercerai-berai di seluruh muka bumi tanpa ada yang memperhatikan ataupun mencari mereka.

7Oleh sebab itu, wahai para gembala, dengarlah firman TUHAN:

8Demi Aku yang hidup, demikianlah firman Tuhan ALLAH, sesungguhnya kerana domba-Ku menjadi mangsa dan makanan segala binatang liar akibat tidak ada yang menggembala, dan kerana para gembala-Ku tidak memperhatikan domba-Ku, melainkan hanya mengurus diri sendiri sedangkan domba-Ku tidak diurus mereka,

9maka dengarlah firman TUHAN, wahai para gembala.

10Beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku akan menjadi lawan para gembala itu. Aku akan menuntut domba-Ku daripada tangan mereka dan memecat mereka daripada pekerjaan menggembala domba. Para gembala itu tidak boleh mengurus diri mereka sendiri lagi. Aku akan melepaskan domba-Ku daripada mulut mereka sehingga tidak menjadi makanan mereka lagi.

11Kerana beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku sendiri akan memperhatikan domba-Ku dan mencari mereka.

12Seperti seorang gembala mencari dombanya ketika domba itu tercerai daripada kawanannya, demikianlah Aku akan mencari domba-Ku dan menyelamatkan mereka dari semua tempat mereka tercerai-berai pada hari yang berawan dan kelam pekat.

13Aku akan membawa mereka daripada kalangan bangsa dan mengumpulkan mereka dari berbagai-bagai negeri lalu membawa mereka ke tanah mereka. Aku akan menggembala mereka di atas gunung-gunung Israel, di alur-alur sungainya, dan di semua tempat yang dihuni orang di negeri itu.

14Aku akan menggembala mereka di padang rumput yang baik. Padang ragut mereka akan ada di atas gunung-gunung Israel yang tinggi. Di sana, di atas gunung-gunung Israel itu, mereka akan berbaring di padang ragut yang baik dan akan merumput di padang rumput yang subur.

15Aku sendiri akan menggembala domba-Ku dan Aku akan membaringkan mereka, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

16Yang hilang akan Kucari, yang terhalau akan Kubawa pulang, yang luka akan Kubalut, dan yang lemah akan Kukuatkan, tetapi yang gemuk dan yang kuat akan Kubinasakan. Aku akan menggembala mereka dengan keadilan.

17Mengenai kamu, wahai domba-Ku, beginilah firman Tuhan ALLAH: Sesungguhnya, Aku akan menjadi hakim antara domba dengan sesama domba, antara domba jantan dengan kambing jantan.

18Belum cukupkah kamu merumput di padang rumput yang baik sehingga kamu harus menginjak-injak padang rumputmu yang selebihnya dengan kakimu? Belum cukupkah kamu meminum air yang jernih sehingga kamu harus mengeruhkan air yang selebihnya dengan kakimu?

19Haruskah domba-Ku makan rumput yang sudah diinjak-injak kakimu dan minum air yang sudah dikeruhkan kakimu?

20Oleh sebab itu, beginilah firman Tuhan ALLAH kepada mereka: Sesungguhnya, Aku sendiri akan menjadi hakim di antara domba yang gemuk dengan domba yang kurus.

21Kerana kamu mendorong-dorong dengan rusuk dan bahu serta menanduk semua yang lemah sehingga mereka tercerai-berai ke mana-mana,

22maka Aku akan menyelamatkan kambing domba-Ku sehingga mereka tidak lagi menjadi mangsa. Aku akan menjadi hakim antara domba dengan domba.

23Akan Kuangkat seorang gembala atas mereka, iaitu hamba-Ku Daud, dan dia akan mengurus mereka serta menjadi gembala mereka.

24Aku, TUHAN, akan menjadi Allah mereka dan hamba-Ku Daud akan menjadi raja di tengah-tengah mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.

25Aku akan mengikat perjanjian damai dengan mereka dan Aku akan melenyapkan binatang buas daripada negeri itu, sehingga mereka dapat tinggal di gurun dengan aman dan dapat tidur di hutan.

26Mereka dan juga tempat-tempat di sekitar bukit-Ku akan Kubuat menjadi berkat. Aku akan menurunkan hujan pada musimnya, dan akan ada hujan berkat.

27Pokok-pokok di padang akan mengeluarkan buahnya dan tanah akan mengeluarkan hasilnya. Mereka akan tinggal dengan aman di tanah mereka, dan setelah Aku mematahkan kayu kuk mereka serta melepaskan mereka daripada tangan orang yang memperhamba mereka, mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN.

28Mereka tidak akan menjadi mangsa lagi bagi bangsa-bangsa, dan binatang liar tidak akan memakan mereka. Sebaliknya, mereka akan tinggal dengan aman tanpa ada yang mengusik.

29Aku akan menyediakan bagi mereka tanah yang terkenal kerana tanam-tanamannya. Mereka tidak akan lenyap oleh bencana kebuluran lagi di negeri itu dan tidak akan menanggung aib daripada bangsa-bangsa lagi.

30Maka mereka akan tahu bahawa Aku, TUHAN, Allah mereka, menyertai mereka dan bahawa mereka, keturunan kaum Israel, ialah umat-Ku, demikianlah firman Tuhan ALLAH.

31Kamu sebagai manusia ialah domba-Ku, domba gembalaan-Ku, dan Aku ialah Allahmu, demikianlah firman Tuhan ALLAH.” ’



 <<  Yehezkiel 34 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Single Panel Single Panel