Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Korintus 6 >> 

Tuntutan mahkamah tidak digalakkan

1Sekiranya salah seorang antara kamu bertikai dengan yang lain, wajarkah dia bawa perkara itu ke hadapan hakim yang tidak mengenal Allah dan bukan kepada orang salih?

2Tidakkah kamu tahu bahawa orang salih akan mengadili dunia ini? Jika kamu mengadili dunia ini, tidak sanggupkah kamu mengadili perkara yang kecil?

3Tidakkah kamu tahu bahawa kita akan mengadili para malaikat? Apatah lagi hal ehwal hidup sehari-hari?

4Adakah kamu akan membawa perkara begitu ke hadapan orang yang langsung tidak ada kedudukan dalam kalangan jemaah?

5Alangkah memalukan! Tentu ada seorang daripada kamu yang cukup bijaksana untuk menyelesaikan pertikaian antara saudara seiman.

6Tetapi tidak, seorang saudara tergamak mendakwa saudara yang lain, justeru di hadapan orang yang tidak percaya!

7Dengan adanya pendakwaan sesama kamu, jelaslah bahawa kamu sudah ditewaskan. Daripada yang demikian, bukankah lebih baik kamu dipersalah? Bukankah lebih baik kamu dirugikan.

8Sebaliknya kamu sendiri yang bersalah dan merugikan saudara seimanmu sendiri!

9Kamu tentu tahu bahawa orang durjana tidak akan mewarisi kerajaan Allah. Janganlah menipu diri. Orang yang berkelakuan cabul, menyembah berhala, berzina, bersetubuh dengan sesama jantina,

10mencuri, bersikap tamak, sering mabuk, mengumpat atau merompak – semuanya tidak akan mewarisi kerajaan Allah.

11Begitulah kelakuan sebilangan daripadamu dahulu. Tetapi kamu telah dibersihkan, dikuduskan dan diperbenar dengan nama Tuhan Yesus Kristus dan dengan Roh Allah kita.

Percabulan

12Segala-galanya halal bagiku, tetapi bukan segala-galanya berfaedah. Segala-galanya halal bagiku, tetapi aku tidak membiarkan sesuatu pun memperhambakan diriku.

13Makanan untuk perut dan perut untuk makanan. Ya, tetapi Allah akan menghapuskan kedua-duanya. Tubuh kita bukan untuk melakukan perbuatan cabul, tetapi untuk Tuhan, dan Tuhan untuk tubuh kita.

14Allah telah membangkitkan Tuhan daripada kematian. Begitu jugalah Allah akan membangkitkan kita daripada kematian dengan kuasa-Nya.

15Kamu tahu bahawa tubuh kamu itu sebahagian tubuh Kristus; maka wajarkah kamu menjadikannya sebahagian tubuh seorang pelacur? Tidak sekali-kali!

16Atau tidakkah kamu tahu bahawa seseorang yang bersetubuh dengan seorang pelacur itu menjadi satu jasad dengan pelacur itu? Dalam kitab suci jelas tersurat, “Mereka berdua menjadi satu.”

17Apabila seseorang menyatukan diri dengan Tuhan, rohnya akan menjadi satu dengan Roh Tuhan.

18Jauhilah perbuatan cabul. Dosa lain tidak dilakukan terhadap tubuh sendiri; tetapi seseorang yang melakukan perbuatan cabul berdosa terhadap tubuhnya sendiri.

19Kamu tentu tahu bahawa tubuhmu itu tempat kediaman Roh Kudus yang telah dikurniakan Allah kepadamu. Tubuhmu bukanlah milikmu, tetapi milik Allah.

20Allah telah membelimu dengan harga yang sudah dibayar sepenuhnya. Oleh itu, gunakanlah tubuhmu untuk memuliakan Allah.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Korintus 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel