Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 13 >> 

Raja Saul memerangi Filistin

1Saul sudah berumur sedemikian tahun ketika dia menaiki takhta. Setelah bertakhta selama dua tahun atas Israel,

2Saul memilih tiga ribu orang Israel iaitu dua ribu orang menyertai Saul di Mikhmas dan di Gunung Betel manakala seribu orang menyertai Yonatan di Gibea-Benyamin. Rakyat yang selebihnya disuruhnya pulang ke khemah masing-masing.

3Yonatan menumpaskan pasukan orang Filistin di Geba, dan orang Filistin terdengar hal itu. Lalu Saul memerintahkan agar sangkakala ditiup di seluruh negeri, fikirnya, “Biarlah orang Ibrani mendengar.”

4Semua orang Israel mendengar khabar yang mengatakan, “Saul telah menumpaskan pasukan orang Filistin sehingga orang Filistin sangat membenci orang Israel.” Maka rakyat pun dikerahkan untuk bergabung dengan Saul di Gilgal.

5Maka berkumpullah orang Filistin untuk memerangi orang Israel dengan tiga ribu buah rata, enam ribu orang anggota tentera berkuda dan pasukan berjalan kaki tidak terkira ramainya bak pasir di tepi laut. Mereka bergerak maju dan berkhemah di Mikhmas, di sebelah timur Bet-Awen.

6Apabila orang Israel melihat bahawa mereka tersepit dan pasukan mereka memang telah terdesak, maka larilah mereka lalu bersembunyi di gua, di semak, di bukit batu, di ruang bawah tanah, dan di perigi.

7Bahkan ada beberapa orang Ibrani menyeberangi Sungai Yordan ke Tanah Gad dan Gilead, tetapi Saul tetap bertahan di Gilgal dan seluruh pasukan mengikutinya dengan begitu gementar.

8Dia menanti selama tujuh hari seperti yang ditentukan oleh Samuel, tetapi Samuel tidak juga datang ke Gilgal sehingga pasukan itu bercerai-berai meninggalkan Saul.

9Maka Saul berkata, “Bawalah kepadaku segala korban bakaran dan korban kedamaian itu.” Lalu dia mempersembahkan korban bakaran.

10Sebaik sahaja dia selesai mempersembahkan korban bakaran, tiba-tiba datanglah Samuel. Saul keluar menyambutnya untuk mengucapkan salam kepadanya.

11Samuel bertanya, “Apakah yang kaulakukan?” Jawab Saul, “Apabila kulihat bahawa pasukan itu bercerai-berai meninggalkan aku, sedangkan engkau tidak juga datang pada waktu yang telah ditetapkan dan orang Filistin telah berkumpul di Mikhmas,

12maka aku berfikir, ‘Sekarang orang Filistin akan datang menyerang aku di Gilgal, padahal aku belum memohon belas ihsan TUHAN.’ Itulah sebabnya aku memberanikan diri untuk mempersembahkan korban bakaran.”

13Kata Samuel kepada Saul, “Perbuatanmu itu bodoh. Engkau tidak mengikuti perintah TUHAN, Allahmu, yang diperintahkan-Nya kepadamu. Andainya kamu patuh, memang TUHAN tetap akan mengukuhkan kerajaanmu atas orang Israel buat selama-lamanya.

14Tetapi sekarang pemerintahan dan kerajaanmu tidak akan tetap. TUHAN telah memilih seorang yang berkenan dalam hati-Nya dan TUHAN telah menunjuk dia untuk menjadi raja atas umat-Nya, kerana engkau tidak mengikuti apa yang diperintahkan TUHAN kepadamu.”

15Kemudian berangkatlah Samuel meninggalkan Gilgal lalu pergi ke Gibea Benyamin. Saul memeriksa barisan umat yang ada bersama-samanya itu dan ada seramai kira-kira enam ratus orang.

16Demikianlah Saul dan anaknya, Yonatan serta umat yang ada bersama-sama mereka, tinggal di Geba-Benyamin, manakala orang Filistin berkhemah di Mikhmas.

17Maka keluarlah tiga gerombolan penjarah dari perkhemahan orang Filistin, gerombolan yang pertama mengambil jalan ke Ofra, ke daerah Syual;

18gerombolan kedua mengambil jalan ke Bet-Horon, dan gerombolan yang satu lagi mengambil jalan ke perbatasan yang menghadap ke Lembah Zeboim ke arah gurun.

19Pada waktu itu tidak ada seorang pun tukang besi di seluruh bumi Israel, kerana orang Filistin berkata, “Jangan sampai orang Ibrani membuat pedang atau tombak.”

20Jadi semua orang Israel harus pergi kepada orang Filistin untuk mengasah mata bajak, beliung, kapak atau cangkul masing-masing.

21Bayaran untuk mengasah itu ialah dua pertiga syikal untuk cangkul dan mata bajak serta sepertiga syikal untuk penggembur, kapak dan untuk memasang kusa.

22Oleh itu, sewaktu peperangan itu tidak ada sebilah pedang atau sebatang tombak pun di tangan seluruh pasukan yang menyertai Saul dan Yonatan. Hanya Saul dan Yonatan, anaknya, yang memilikinya.

23Lalu maralah pasukan orang Filistin ke genting di Mikhmas.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 13 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
© 2010-2019
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran