Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 20 >> 

Yonatan memberi Daud amaran

1Maka larilah Daud dari Nayot, dekat Rama lalu sampailah dia kepada Yonatan. Berkatalah dia, “Apakah yang telah kuperbuat? Apakah kesalahanku dan apa dosaku terhadap ayahmu, sehingga dia ingin sekali mencabut nyawaku?”

2Kata Yonatan kepadanya, “Sekali-kali hal itu tidak akan berlaku! Malahan engkau tidak akan mati. Ketahuilah, ayahku tidak akan melakukan satu hal pun, besar atau kecil, tanpa menyatakannya kepadaku. Mengapakah ayahku harus menyembunyikan hal ini daripadaku? Bukan begitunya hal ini!”

3Tetapi Daud bersumpah lagi, katanya, “Ayahmu tahu betul betapa sukanya engkau terhadapku. Jadi fikirnya, ‘Jangan sampai hal ini diketahui Yonatan sehingga bersusah hati pula dia.’ Akan tetapi, demi TUHAN yang hidup, dan demi hidupmu, hanya selangkah jarak di antara aku dengan maut.”

4Kata Yonatan kepada Daud, “Akan kulakukan untukmu apa sahaja kehendak hatimu.”

5Lalu kata Daud kepada Yonatan, “Esok bulan baru maka perlulah aku makan berhadapan dengan raja. Tetapi biarkanlah aku pergi menyembunyikan diri di padang sampai malam lusa.

6Jika ayahmu mencari aku, katakanlah, ‘Daud sungguh-sungguh meminta kepadaku supaya dia diizinkan pergi dengan segera ke Betlehem, kotanya. Di sana ada upacara korban tahunan bagi seluruh kaumnya.’

7Jika begini katanya, ‘Baiklah,’ bererti hambamu ini selamat. Tetapi jika teramat sangat amarahnya, ketahuilah bahawa dia memang berazam untuk mencederakan aku.

8Jika demikian halnya, tunjukkanlah kasih kepada hambamu ini kerana engkau telah mengikat perjanjian dengan hambamu ini di hadapan TUHAN. Tetapi jika ada kesalahan padaku, biarlah engkau sendiri yang membunuh aku. Mengapakah engkau harus membawa aku kepada ayahmu?”

9Kata Yonatan, “Jangan sekali-kali hal itu berlaku kepadamu! Jika aku tahu dengan pasti bahawa ayahku berniat mencederakanmu, masakan boleh aku tidak beritahukannya kepadamu?”

10Tanya Daud kepada Yonatan, “Siapakah yang akan memberitahu aku jika ayahmu menjawab engkau dengan kasar?”

11Kata Yonatan kepada Daud, “Mari kita keluar, ke padang.” Maka keluarlah kedua-duanya ke padang.

12Kemudian Yonatan berkata kepada Daud, “Demi TUHAN, Allah Israel, aku akan merisik apakah sikap sebenar ayahku esok atau lusa pada waktu seperti ini. Jika memang baik keadaannya bagi Daud, masakan aku tidak menyuruh orang kepadamu dan menyatakannya kepadamu?

13Biarlah TUHAN menjatuhkan azab kepada Yonatan, bahkan lebih lagi, jika ayahku memang berniat untuk mencederakanmu tetapi aku tidak menyatakannya kepadamu dan melepaskan engkau pergi dengan selamat. Semoga TUHAN menyertai engkau sebagaimana Dia menyertai ayahku dahulu.

14Selama aku masih hidup tunjukkanlah kasih setia TUHAN kepadaku supaya jangan aku mati,

15dan janganlah putuskan kasihmu daripada keluargaku untuk selama-lamanya, bahkan pada waktu TUHAN melenyapkan setiap musuh Daud daripada muka bumi.”

16Maka Yonatan membuat perjanjian dengan keluarga Daud, katanya, “Biarlah TUHAN menuntut pembalasan daripada tangan para musuh Daud.”

17Yonatan meminta Daud bersumpah lagi demi kasihnya kepadanya, kerana dia memang mengasihi Daud seperti dirinya sendiri.

18Kata Yonatan kepadanya, “Esok bulan baru. Engkau akan dicari-cari orang kerana tempat dudukmu kosong.

19Lusa, turunlah dengan segera dan pergilah ke tempat engkau pernah menyembunyikan diri pada waktu peristiwa terdahulu, lalu tunggulah dekat batu Ezil.

20Aku akan melepaskan tiga batang anak panah ke sisi batu itu, seolah-olah aku memanah suatu sasaran.

21Kemudian aku akan menyuruh pelayanku, ‘Pergilah, temukan anak-anak panah itu.’ Jika aku berkata dengan tegas kepada pembantu itu, ‘Lihat, anak-anak panah itu di sebelah sini. Ambillah,’ maka engkau harus datang, kerana demi TUHAN yang hidup, engkau selamat. Tidak ada bahaya apa-apa.

22Tetapi jika aku berkata begini kepada anak itu, ‘Lihat, anak-anak panah itu di sebelah sana,’ maka pergilah kerana TUHAN menyuruh engkau pergi.

23Mengenai hal yang sudah kita bicarakan itu, antara aku dengan engkau, sesungguhnya TUHAN memang ada antara aku dengan engkau untuk selama-lamanya.”

24Maka Daud pun menyembunyikan dirinya di padang. Ketika bulan baru tiba, duduklah raja dalam jamuan keraian itu.

25Seperti biasa, dia duduk di kerusinya yang dekat dengan dinding, sedangkan Yonatan berdiri, dan Abner duduk di sisi Saul; tetapi tempat Daud kosong.

26Pada hari itu Saul tidak berkata apa-apa kerana fikirnya, “Mungkin sesuatu terjadi padanya sehingga dia bernajis; ya, tentu dia bernajis.”

27Keesokan harinya, pada hari kedua dalam bulan itu, tempat Daud masih kosong juga. Maka Saul bertanya kepada Yonatan, anaknya, “Mengapa anak Isai itu tidak datang makan, baik kelmarin mahupun hari ini?”

28Jawab Yonatan kepada Saul, “Daud meminta dengan sungguh-sungguh kepadaku supaya dia diizinkan pergi ke Betlehem.

29Katanya, ‘Izinkanlah aku pergi, kerana kaum kami mengadakan upacara korban di kota dan abangku menyuruh aku datang. Jika engkau berkenan, izinkanlah aku pergi melihat saudara-saudaraku sekarang.’ Itulah sebabnya dia tidak datang ke meja jamuan raja.”

30Maka menyalalah amarah Saul kepada Yonatan lalu berkata kepadanya, “Anak daripada perempuan sundal yang derhaka! Aku tahu, engkau berpihak kepada anak Isai itu untuk mengaibkan dirimu serta ibumu yang telah melahirkan engkau, bukan?

31Selama anak Isai itu masih hidup di atas bumi ini, maka baik engkau mahupun kerajaanmu tidak akan kukuh. Sekarang, suruhlah orang untuk membawa dia kepadaku, kerana dia harus mati.”

32Akan tetapi, Yonatan menjawab Saul, ayahnya. Katanya, “Mengapakah dia harus dibunuh? Apakah yang telah dilakukannya?”

33Lalu Saul melemparkan tombaknya ke arah Yonatan untuk membunuhnya. Maka tahulah Yonatan bahawa ayahnya telah bertekad untuk membunuh Daud.

34Yonatan pun segera meninggalkan meja jamuan itu dengan amarah yang menyala-nyala. Dia tidak menyentuh apa-apa pun makanan pada hari kedua bulan itu. Hatinya amat hiba mengenangkan Daud yang dihina ayahnya.

35Pada pagi hari esoknya pergilah Yonatan ke padang pada waktu yang telah disepakatinya dengan Daud. Seorang budak kecil menyertai dia.

36Katanya kepada budak itu, “Larilah, temukan anak-anak panah yang kulepaskan!” Ketika budak itu berlari, dia melepaskan sebatang anak panah di seberang budak itu.

37Ketika budak itu sampai ke tempat anak panah yang dilepaskan Yonatan, berserulah Yonatan dari belakang budak itu, katanya, “Bukankah anak panah itu di sebelah sana?”

38Kemudian Yonatan berseru lagi, “Cepat, bergegaslah! Jangan berdiri sahaja!” Budak itu memungut anak panah itu lalu kembali kepada tuannya.

39Budak itu tidak tahu apa-apa, hanya Yonatan dan Daudlah yang mengetahuinya.

40Lalu Yonatan menyerahkan senjatanya kepada budak itu dan berkata kepadanya, “Pergilah, bawalah ke kota.”

41Setelah budak itu pergi, Daud segera keluar dari arah selatan. Dia sujud dan memberi hormat tiga kali. Mereka saling mencium dan bertangis-tangisan. Daud menangis paling kuat.

42Yonatan berkata kepada Daud, “Pergilah dengan selamat, kerana kita berdua telah bersumpah demi nama TUHAN, ‘TUHAN akan ada antara aku dengan engkau, dan antara keturunanku dengan keturunanmu untuk selama-lamanya.’ ” Sesudah itu Daud bergegas pergi manakala Yonatan kembali ke kota.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 20 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel