Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Samuel 25 >> 

Kematian Samuel

1Selang beberapa waktu, wafatlah Samuel. Maka berhimpunlah semua orang Israel meratapinya sebelum memakamkannya di rumahnya, di Rama. Setelah itu, Daud segera pergi ke Gurun Paran.

Daud menikahi balu Nabal, Abigail

2Di Maon ada seorang lelaki yang mempunyai perusahaan di Karmel. Orang itu sangat kaya: dia mempunyai tiga ribu ekor domba dan seribu ekor kambing. Dia berada di Karmel pada waktu pengetaman bulu domba-dombanya.

3Nama lelaki itu Nabal dan nama isterinya Abigail. Wanita itu bijak dan cantik parasnya manakala suaminya, seorang daripada bani Kaleb itu adalah kasar dan jahat kelakuannya.

4Di gurun itu Daud mendengar khabar bahawa Nabal sedang mengetam bulu domba-dombanya.

5Lalu Daud mengutus sepuluh orang muda. Kepada orang muda itu Daud berkata, “Pergilah ke Karmel dan temuilah Nabal. Tanyalah khabarnya atas namaku.

6Beginilah harus kamu katakan kepada orang yang hidup senang itu, ‘Sejahteralah tuan, sejahteralah keluarga tuan, dan sejahteralah segala yang ada pada tuan.

7Baru-baru ini kudengar khabar bahawa tuan sedang mengadakan pengetaman bulu domba. Para gembala tuan yang ada bersama-sama kami tidak pernah kami usik. Mereka pun tidak pernah kehilangan apa-apa selama mereka berada di Karmel.

8Tanyalah kepada para pembantu tuan. Mereka tentu akan memberitahukan hal itu kepada tuan. Oleh sebab itu mohon tuan bermurah hati kepada orang muda ini, kerana kami datang pada hari perayaan. Sudilah kiranya tuan memberikan apa yang ada pada tuan kepada hamba-hambamu ini dan kepada anakmu Daud.’ ”

9Setelah orang muda suruhan Daud itu tiba, mereka menyampaikan kepada Nabal kata-kata itu atas nama Daud, lalu mereka menunggu.

10Jawab Nabal kepada anak buah Daud, “Siapakah Daud itu? Siapakah anak Isai itu? Sekarang ini banyak hamba yang melarikan diri daripada tuan mereka.

11Masakan aku mengambil rotiku, airku, dan daging binatang yang telah kusembelih bagi para pengetam bulu dombaku lalu memberikannya kepada kalangan yang tidak kuketahui dari mana datangnya?”

12Maka pulanglah orang muda suruhan Daud itu. Setelah sampai, mereka menyampaikan kepadanya semua yang dikatakan Nabal itu.

13Maka kata Daud kepada anak buahnya, “Sandanglah pedang masing-masing!” Lalu mereka menyandang pedang masing-masing, dan begitu juga Daud. Ada kira-kira empat ratus orang yang pergi mengikuti Daud, sementara dua ratus orang lainnya tinggal untuk menjaga barang-barang mereka.

14Akan tetapi, seorang pembantu memberitahu Abigail, isteri Nabal, demikian, “Daud mengirimkan beberapa orang utusan dari gurun untuk mengucapkan salam kepada tuan kami, tetapi tuan memaki hamun mereka.

15Padahal orang itu sangat baik terhadap kami. Kami tidak diusik dan tidak kehilangan apa-apa pun selama kami bergaul dengan mereka di padang.

16Bahkan, selama kami menggembala domba berdekatan dengan mereka, mereka seperti tembok pelindung bagi kami, baik malam mahupun siang.

17Sekarang, fikirkanlah dan pertimbangkanlah apa yang harus puan lakukan, kerana mereka telah merancang untuk mendatangkan kecederaan terhadap tuan kami dan terhadap seluruh keluarganya. Tuan memang seorang yang berkelakuan jahat yang tidak dapat dibawa berbincang.”

18Kemudian Abigail segera mengambil dua ratus ketul roti, dua kantung kulit berisi air anggur, lima ekor domba yang telah diolah, lima sukatan bertih bijirin, seratus buah kuih kismis, dan dua ratus buah kuih ara. Dimuatnya semua itu di atas beberapa ekor keldai.

19Katanya kepada para pembantunya, “Berjalanlah mendahului aku. Nanti aku akan menyusul kamu.” Akan tetapi, dia tidak memberitahukan hal itu kepada suaminya, Nabal.

20Dengan menunggangi keldainya, Abigail sedang berjalan menurun pinggiran gaung gunung ketika tiba-tiba tampak Daud dan orangnya turun ke arahnya. Dia pun bertemu dengan mereka.

21Sebelumnya Daud berkata, “Sia-sia sahaja aku menjaga segala milik orang ini di gurun sehingga tidak ada sesuatu pun kepunyaannya yang hilang. Dia membalas kebaikanku dengan kejahatan.

22Sekiranya Allah menghukum musuh-musuh Daud, bahkan lebih lagi daripada itu, jika aku membiarkan hidup sampai pagi seorang lelaki sahaja pun daripada semua yang ada padanya.”

23Apabila Abigail melihat Daud, dia segera turun dari keldainya, lalu sujud di hadapan Daud dan memberi hormat.

24Dia bersujud di kaki Daud lalu berkata, “Hamba sajalah, ya tuanku, yang menanggung kesalahan itu. Perkenankanlah hambamu ini berbicara kepada tuan, dan sudilah kiranya tuan mendengar kata-kata hambamu ini.

25Hamba mohon, janganlah tuanku mengambil berat orang yang rendah akhlak itu, iaitu Nabal. Kerana sebagaimana namanya, memang demikianlah dia. Namanya Nabal, dan kebodohan ada padanya. Sesungguhnya, hambamu ini tidak melihat orang muda yang diutus tuanku itu.

26Sekarang, ya tuanku, demi TUHAN yang hidup, dan demi hidup tuan yang dicegah TUHAN untuk menumpahkan darah orang dan menuntut balas dengan tangan tuan sendiri, biarlah musuh-musuh tuan dan orang yang mengikhtiarkan kejahatan terhadap tuanku menjadi seperti Nabal.

27Biarlah pemberian ini, yang dibawa hambamu bagi tuanku, diberikan kepada orang muda yang mengiringi tuanku.

28Ampunkanlah kiranya kesalahan hambamu ini. TUHAN pasti membina sebuah keluarga yang teguh bagi tuanku kerana tuanku berperang dalam peperangan TUHAN, dan kejahatan tidak akan didapati pada tuan seumur hidup tuan.

29Sekalipun manusia bangkit mengejar tuan dan mengancam nyawa tuan, nyawa tuanku akan dibungkus dalam bungkusan hidup di bawah penjagaan TUHAN, Allahmu. Sebaliknya, nyawa musuh-musuh tuan akan dilontarkan-Nya seperti dari dalam tarbil.

30Apabila TUHAN telah melakukan segala hal yang baik terhadap tuan selaras dengan yang difirmankan-Nya mengenai tuan, dan telah menetapkan tuan sebagai pemimpin atas Israel,

31maka tuan tidak akan tersandung atau berasa susah hati kerana hal ini, iaitu bahawa tuan telah menumpahkan darah dengan tidak semena-mena atau menuntut balas bagi diri tuanku sendiri. Apabila TUHAN berbuat baik terhadap tuanku, ingatlah kepada hambamu ini.”

32Kata Daud kepada Abigail, “Segala puji bagi TUHAN, Allah Israel. Dia telah mengutus engkau untuk menemui aku pada hari ini.

33Terpujilah kebijaksanaan kamu dan terpujilah engkau, yang pada hari ini mencegah aku pergi menumpahkan darah dan menuntut balas bagi diriku dengan tanganku sendiri.

34Demi TUHAN, Allah Israel, yang mencegah aku daripada mencederakan engkau, jika engkau tidak segera datang menemui aku, pasti tidak ada seorang anak buah lelaki Nabal yang terselamat sewaktu fajar menyingsing.”

35Lalu Daud menerima daripada tangan perempuan itu apa yang dibawanya untuk dia dan berkata kepadanya, “Pulanglah dengan selamat ke rumahmu. Lihatlah, aku telah mendengar kata-katamu dan mengabulkan permohonanmu.”

36Sesampainya Abigail di tempat Nabal, tampak Nabal sedang mengadakan jamuan di rumahnya seperti jamuan seorang raja. Hatinya senang, dan dia sangat mabuk. Oleh sebab itu Abigail tidak bercerita sepatah kata pun kepadanya sampai fajar menyingsing.

37Pagi harinya, ketika pengaruh air anggur telah hilang daripada Nabal, isterinya menceritakan hal-hal itu kepadanya. Lalu terhentilah jantungnya di dalam dadanya dan dia pun menjadi seperti batu.

38Kira-kira sepuluh hari kemudian, TUHAN menyerang Nabal sehingga dia mati.

39Apabila Daud mendengar bahawa Nabal sudah mati, berkatalah dia, “Segala puji bagi TUHAN, yang telah membela aku dalam perkara penghinaan Nabal terhadap aku, dan yang telah mencegah hamba-Nya daripada melakukan kejahatan. TUHAN telah melantun balik kejahatan Nabal kepada dirinya sendiri.” Lalu Daud mengutus orang untuk berbicara dengan Abigail perihal maksud Daud melamar dia untuk menjadi isterinya.

40Anak buah Daud pun menemui Abigail di Karmel, lalu berkata kepadanya, “Daud mengutus kami kepada puan untuk melamar puan menjadi isterinya.”

41Perempuan itu segera bersujud memberi hormat sambil berkata, “Sesungguhnya, hambamu ini bersedia menjadi hamba pembasuh kaki anak buah tuanku.”

42Abigail segera bersiap, lalu dia menunggang seekor keldai dengan diiringi lima orang dayangnya. Dia mengekori para utusan Daud, lalu menjadi isterinya.

43Sebelumnya, Daud telah memperisteri Ahinoam dari Yizreel. Jadi, kedua-dua orang wanita itu menjadi isterinya.

44Sementara itu, Mikhal, anak perempuan Saul, isteri Daud, telah diberikan Saul kepada Palti anak Lais yang berasal dari Galim itu.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Samuel 25 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel