Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Tawarikh 17 >> 

Janji tentang Bait Suci yang akan didirikan oleh Raja Salomo

1Maka setelah selesa Daud menetap dalam istananya, berkatalah dia kepada nabi Natan, “Lihatlah, aku ini tinggal di dalam rumah yang dibina daripada kayu araz, tetapi tabut perjanjian TUHAN berada di bawah khemah.”

2Jawab Natan kepada Daud, “Lakukanlah segala sesuatu yang tuanku niatkan, kerana Allah menyertai tuanku.”

3Pada malam itu juga, datanglah firman TUHAN kepada Natan, demikian,

4“Pergilah dan katakanlah kepada hamba-Ku Daud, ‘Beginilah firman TUHAN: Bukan engkau yang akan membina bagi-Ku bait untuk didiami.

5Aku tidak pernah tinggal di dalam sebuah bait pun sejak Aku menuntun orang Israel ke mari sampai hari ini. Tetapi Aku selalu hadir dari khemah ke khemah, dari persemayaman ke persemayaman.

6Ke mana jua sahaja Aku mengembara bersama dengan seluruh orang Israel, pernahkah Kukatakan kepada mana-mana hakim yang Kuperintahkan menggembala umat-Ku Israel, ‘Mengapakah kamu tidak membina bagi-Ku sebuah bait daripada kayu araz?” ’

7Sekarang, beginilah harus kaukatakan kepada hamba-Ku Daud, ‘Beginilah firman TUHAN alam semesta: Aku telah mengambil engkau dari padang ragut, daripada pekerjaan menggiring kawanan domba, untuk menjadi pemimpin atas umat-Ku Israel.

8Aku telah menyertai engkau ke mana-mana pun engkau pergi dan telah melenyapkan semua musuhmu daripada hadapanmu. Aku akan membuat namamu masyhur, seperti nama orang besar yang ada di bumi.

9Aku akan menentukan suatu tempat bagi umat-Ku Israel dan menempatkan mereka di sana, sehingga mereka mendiami tempat sendiri tanpa diganggu lagi. Mereka tidak akan tertindas lagi oleh orang zalim seperti sebelumnya,

10sejak Aku melantik hakim-hakim untuk memimpin umat-Ku Israel. Aku akan menundukkan semua musuhmu. Selain itu, TUHAN pun menyatakan kepadamu bahawa TUHAN akan membina sebuah keluarga bagimu.

11Apabila umurmu telah genap dan engkau pergi menyusul nenek moyangmu, maka Aku akan membangkitkan keturunanmu kelak, seorang daripada anakmu, dan Aku akan mengukuhkan kerajaannya.

12Dialah yang akan membina bait bagi-Ku, dan Aku akan mengukuhkan takhtanya untuk selama-lamanya.

13Aku akan menjadi Bapa baginya dan dia akan menjadi anak bagi-Ku. Aku tidak akan menjauhkan kasih abadi-Ku daripadanya, sebagaimana Aku menjauhkannya daripada pendahulumu.

14Aku akan menegakkan dia dalam bait-Ku dan dalam kerajaan-Ku untuk selama-lamanya. Takhtanya akan kukuh untuk selama-lamanya.’ ”

15Selaras dengan semua firman dan semua penglihatan ini, demikianlah disampaikan Natan kepada Daud.

Doa syukur Raja Daud

16Kemudian masuklah Raja Daud lantas bersimpuh di hadapan ALLAH dan berkata, “Ya TUHAN Allah, siapakah aku ini dan siapakah keluargaku sehingga Engkau membawa aku sampai sejauh ini?

17Bahkan ternyata pula perkara ini perkara biasa di mata-Mu, ya Allah, kerana Engkau telah berfirman pula mengenai keluarga hamba-Mu ini untuk masa yang masih jauh di hadapan. Engkau memandang aku seperti orang yang berkedudukan tinggi, ya TUHAN Allah.

18Entah apa lagi yang dapat disampaikan oleh Daud kepada-Mu atas kemuliaan yang dikurniakan kepada hamba-Mu ini? Engkau mengenal hamba-Mu ini.

19Ya TUHAN, demi hamba-Mu ini dan atas kehendak-Mu sendirilah Engkau telah memberitahukan serta melakukan segala hal yang besar ini.

20Ya TUHAN, tidak ada yang seperti Engkau dan tidak ada Allah selain Engkau, menurut segala sesuatu yang kami dengar dengan telinga kami.

21Bangsa manakah di bumi ini seperti umat-Mu Israel, satu-satunya bangsa yang ditebus oleh Allah untuk menjadi umat-Nya? Engkau menegakkan nama bagi-Mu dengan melakukan hal-hal yang besar dan takjub di negeri-Mu dengan menghalau bangsa-bangsa dari hadapan umat-Mu yang Engkau tebus dari Mesir.

22Engkau telah membuat umat-Mu Israel menjadi umat-Mu untuk selama-lamanya, dan Engkau, ya TUHAN, menjadi Allah mereka.

23Sekarang, ya TUHAN, biarlah firman yang Kausampaikan mengenai hamba-Mu ini serta keluarganya diteguhkan untuk selama-lamanya. Lakukanlah seperti yang Kaufirmankan.

24Semoga nama-Mu diteguhkan dan diagungkan untuk selama-lamanya dengan disebutkan: ‘TUHAN alam semesta, Allah Israel, Dialah Allah bagi orang Israel.’ Keluarga hamba-Mu Daud akan kukuh di hadapan-Mu.

25Engkau, ya Allahku, telah menyatakan kepada hamba-Mu ini bahawa Engkau akan membina sebuah keluarga baginya. Itulah sebabnya hamba-Mu memberanikan diri untuk menaikkan doa di hadirat-Mu.

26Ya TUHAN, Engkaulah Allah dan Engkau telah menjanjikan hal yang baik ini kepada hamba-Mu.

27Sekarang, semoga Engkau berkenan memberkati keluarga hamba-Mu ini supaya tetap ada di hadapan-Mu untuk selama-lamanya, kerana apa yang Kauberkati, ya TUHAN, diberkati untuk selama-lamanya.”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Tawarikh 17 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel