Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  1 Tawarikh 19 >> 

Peperangan melawan bani Amon dan orang Aram

1Beberapa waktu kemudian meninggallah Nahas, raja bani Amon, dan anaknya menaiki takhta menggantikannya.

2Daud berkata, “Aku hendak menjalin persahabatan dengan Hanun anak Nahas, kerana ayahnya telah menjalin persahabatan denganku.” Maka Daud pun mengirimkan beberapa orang utusan untuk menyampaikan takziah kerana hal ayahnya itu. Para utusan Daud pun sampai di negeri bani Amon lalu menghadap Hanun untuk menyampaikan takziah kepadanya.

3Akan tetapi, para pembesar bani Amon berkata kepada Hanun, “Apakah tuanku sangka Daud hendak memberikan penghormatan kepada ayah tuanku sehingga dia mengutus orang untuk menyampaikan takziah kepada tuanku? Bukankah Daud mengutus para pegawainya kepada tuanku untuk menyiasat negeri ini, untuk mengintip dan menggulingkannya?”

4Oleh sebab itu Hanun menangkap para utusan Daud. Dia mencukur mereka dan memotong pakaian mereka di bahagian tengah sampai ke pangkal paha. Setelah itu, disuruhnya mereka pergi.

5Ketika diberitahu hal tentang para utusan itu, Daud seterusnya mengutus orang menemui mereka, kerana mereka berasa malu sekali. Kata raja, “Tinggallah di Yerikho sampai janggutmu tumbuh lagi. Sesudah itu pulanglah kamu.”

6Ketika bani Amon menyedari bahawa mereka telah membangkitkan kebencian Daud, maka Hanun dan bani Amon mengirimkan seribu talenta perak untuk menyewa rata dan pasukan berkuda dari Aram-Mesopotamia, dari Aram-Maakha, dan dari Zoba.

7Mereka menyewa tiga puluh dua ribu rata, juga raja Maakha dengan pasukannya, yang datang berkhemah di seberang Medeba. Bani Amon pun berkumpul dari kota-kota mereka dan datang untuk berperang.

8Mendengar hal itu, Daud menyuruh Yoab maju dengan seluruh tentera kesateria.

9Kemudian bani Amon maju dan mengatur barisan perang mereka di depan pintu kota. Sementara itu raja-raja yang ikut datang berada terpisah di padang.

10Ketika Yoab melihat bahawa peperangan itu diatur untuk menyerangnya dari depan dan dari belakang, dia memilih beberapa orang Israel daripada kalangan yang terbaik dan mengatur barisan mereka untuk menghadapi orang Aram.

11Pasukan yang selebihnya diserahkannya ke bawah pimpinan Abisai, adiknya, yang mengatur barisan mereka untuk menghadapi bani Amon.

12Kata Yoab, “Jika orang Aram terlalu kuat bagiku, maka engkau harus datang membantu aku. Jika bani Amon terlalu kuat bagimu, maka aku akan membantu engkau.

13Kuatkanlah hatimu dan marilah kita menguatkan hati demi bangsa kita dan demi kota-kota Allah kita. Semoga TUHAN melakukan apa yang baik dalam pandangan-Nya.”

14Kemudian majulah Yoab dan pasukan yang menyertainya untuk berperang melawan orang Aram. Lalu larilah orang Aram dari hadapannya.

15Ketika bani Amon melihat bahawa orang Aram telah melarikan diri, maka mereka pun lari dari hadapan Abisai, adik Yoab, dan masuk ke dalam kota. Sesudah itu kembalilah Yoab ke Yerusalem.

16Orang Aram menyedari bahawa mereka telah dikalahkan di hadapan orang Israel. Oleh sebab itu mereka mengirim beberapa orang utusan dan memanggil keluar orang Aram yang ada di seberang Sungai Efrat. Mereka dipimpin oleh Sofakh, panglima tentera Hadadezer.

17Ketika hal itu dikhabarkan kepada Daud, dikerahkannya semua orang Israel, lalu mereka pun menyeberangi Sungai Yordan. Sesampainya dia berdekatan dengan orang Aram, diaturnya barisan melawan mereka. Setelah Daud mengatur barisan perangnya berhadapan dengan orang Aram, berperanglah tentera musuh itu melawan dia,

18tetapi orang Aram itu lari dari hadapan orang Israel. Daud menumpaskan tujuh ribu orang pengendali rata dan empat puluh ribu orang pasukan berjalan kaki daripada kalangan Aram itu. Dia turut menumpaskan Sofakh, panglima tentera.

19Ketika umat yang takluk kepada Hadadezer melihat bahawa mereka telah dikalahkan di hadapan orang Israel, maka mereka mengadakan perjanjian damai dengan Daud dan tunduk takluk kepadanya. Sesudah itu orang Aram tidak mahu membantu bani Amon lagi.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  1 Tawarikh 19 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel