Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 1 >> 

Elia memberitahukan kematian Raja Ahazia

1Setelah kematian Ahab, orang Moab memberontak terhadap orang Israel.

2Pada suatu ketika, Ahazia terjatuh menerusi kisi-kisi bilik di tingkat atas istananya di Samaria sehingga dia terluka. Dikirimnya beberapa orang utusan dengan pesanan, “Pergilah, carilah petunjuk daripada Baal-Zebub, tuhan di Ekron, sama ada aku akan sembuh daripada penyakit ini.”

3Tetapi sementara itu malaikat TUHAN bersabda kepada Elia, orang Tisbe itu, “Pergilah segera, temui para utusan raja Samaria dan katakan kepada mereka, ‘Tidak adakah Allah di Israel sehingga kamu pergi mencari petunjuk Baal-Zebub, tuhan Ekron?’

4Oleh sebab itu beginilah firman TUHAN, ‘Engkau tidak akan turun lagi dari ranjang tempat engkau berbaring itu. Engkau pasti mati.’ ” Lalu Elia beredar dari situ.

5Sekembalinya para utusan itu kepada raja, bertanyalah raja kepada mereka, “Mengapakah kamu kembali?”

6Jawab mereka kepadanya, “Seorang datang menemui kami dan berkata kepada kami, ‘Pulanglah kembali kepada raja yang mengutus kamu, dan katakanlah kepadanya: Beginilah firman TUHAN, “Tidak adakah Allah di Israel sehingga engkau menyuruh orang mencari daripada petunjuk Baal-Zebub, tuhan Ekron? Oleh sebab itu engkau tidak akan turun lagi dari ranjang tempat engkau berbaring itu. Engkau pasti mati.” ’ ”

7Tanya raja kepada mereka, “Bagaimanakah rupanya orang yang datang menemui kamu dan yang mengatakan hal-hal itu kepadamu?”

8Jawab mereka kepadanya, “Orang itu mengenakan pakaian bulu dan pada pinggangnya diikatkan sabuk kulit.” Kata raja, “Itu Elia, orang Tisbe.”

9Kemudian raja mengutus pemimpin pasukan lima puluh dengan kesemua lima puluh orang anak buahnya untuk menemui Elia. Ketika pemimpin itu naik menemui Elia, tampak dia sedang duduk di atas puncak gunung. Kata pemimpin itu kepadanya, “Wahai hamba Allah, raja bertitah, ‘Turunlah!’ ”

10Jawab Elia kepada pemimpin pasukan lima puluh itu, “Kalau aku memang hamba Allah, biarlah api turun dari langit melahap engkau dengan kesemua lima puluh orang anak buahmu.” Maka turunlah api dari langit melahap dia dengan kesemua lima puluh orang anak buahnya.

11Sekali lagi raja mengutus kepadanya pemimpin pasukan lima puluh yang lain dengan kesemua lima puluh orang anak buahnya. Pemimpin itu berkata kepadanya, “Wahai hamba Allah, beginilah titah raja, ‘Turunlah segera!’ ”

12Jawab Elia kepada mereka, “Kalau aku memang hamba Allah, biarlah api turun dari langit melahap engkau dengan kesemua lima puluh orang anak buahmu.” Maka turunlah api Allah dari langit melahap dia bersama-sama lima puluh orang anak buahnya.

13Sekali lagi raja mengutus pemimpin pasukan lima puluh yang ketiga dengan kesemua lima puluh orang anak buahnya. Pemimpin pasukan lima puluh yang ketiga itu naik lalu datang bertelut di hadapan Elia dan memohon belas kasihan daripadanya. Katanya kepada Elia, “Ya hamba Allah, biarlah kiranya nyawa hamba dan nyawa kesemua lima puluh orang hambamu ini berharga di mata tuan.

14Memang api telah turun dari langit melahap kedua-dua pemimpin pasukan lima puluh yang terdahulu dengan kesemua lima puluh anak buah mereka. Tetapi sekarang, biarlah nyawa hamba berharga di mata tuan.”

15Bersabdalah malaikat TUHAN kepada Elia, “Turunlah bersama-samanya. Jangan takut kepadanya.” Elia pun segera turun bersama-samanya menghadap raja.

16Kata Elia kepada raja, “Beginilah firman TUHAN, ‘Tidak adakah Allah di Israel yang boleh dicari petunjuk firman-Nya sehingga engkau mengirim beberapa orang utusan untuk mencari petunjuk Baal-Zebub, tuhan Ekron? Oleh sebab hal itu, maka engkau tidak akan turun lagi dari ranjang tempat engkau berbaring itu. Engkau pasti mati.’ ”

17Lalu matilah raja selaras dengan firman TUHAN yang disampaikan Elia. Maka Yoram menaiki takhta menggantikannya pada tahun kedua zaman pemerintahan Yoram anak Yosafat, raja Yehuda, kerana Ahazia tidak mempunyai anak lelaki.

18Riwayat Ahazia yang selebihnya, apa yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Israel?


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Raja-raja 1 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2022
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran