Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Raja-raja 16 >> 

Ahas bertakhta di Yehuda

1Pada tahun ketujuh belas zaman pemerintahan Pekah anak Remalya, Ahas anak Yotam, raja Yehuda, menaiki takhta.

2Ahas berumur dua puluh tahun ketika dia menaiki takhta, dan dia bertakhta di Yerusalem selama enam belas tahun. Dia tidak melakukan apa yang benar di mata TUHAN, Allahnya, seperti yang dilakukan Daud, leluhurnya,

3melainkan hidup mengikuti jejak raja-raja Israel. Bahkan dia juga mempersembahkan anaknya sebagai korban yang dibakar, sama dengan kekejian bangsa-bangsa yang telah dihalau TUHAN dari hadapan orang Israel.

4Dia mempersembahkan korban dan membakar dupa di bukit-bukit pemujaan, di atas tempat-tempat tinggi, dan di bawah setiap pokok yang rimbun.

5Pada waktu itu majulah Rezin, raja Aram, dan Pekah anak Remalya, raja Israel, ke Yerusalem untuk berperang. Mereka mengepung Ahas, tetapi tidak dapat mengalahkannya.

6Pada masa itu Rezin, raja Aram, mengembalikan Elat kepada Edom dan mengusir orang Yehuda dari Elat. Orang Edom datang ke Elat lalu tinggal di sana sampai hari ini.

7Kemudian Ahas mengirim beberapa orang utusan kepada Tiglat-Pileser, raja Asyur, dengan pesan, “Aku ini hamba tuan dan anak tuan. Majulah dan selamatkanlah aku daripada tangan raja Aram dan daripada tangan raja Israel yang bangkit menyerang aku.”

8Ahas mengambil perak dan emas yang terdapat dalam Bait TUHAN dan dalam perbendaharaan istana raja, lalu mengirimkannya sebagai persembahan kepada raja Asyur.

9Raja Asyur pun mendengar permohonannya, lalu maju menyerang Damsyik. Dia merebut kota itu dan membuang penduduknya ke Kir, manakala Rezin dibunuhnya.

10Lalu pergilah pula Raja Ahas ke Damsyik untuk menemui Tiglat-Pileser, raja Asyur. Di situ dilihatnya sebuah mazbah, yang ada di Damsyik. Kemudian Raja Ahas mengirimkan kepada Imam Uria gambar mazbah itu, iaitu contohnya, dan juga cara pembuatan keseluruhannya.

11Maka Imam Uria membina sebuah mazbah menurut semua yang dikirim Raja Ahas dari Damsyik, dan menyelesaikan pembuatannya sebelum Raja Ahas datang dari Damsyik.

12Setibanya dari Damsyik, raja pun meninjau mazbah itu. Kemudian dihampirinya mazbah itu dan dipersembahkannya korban di atasnya.

13Dibakarnya korban bakarannya dan juga persembahan bahan makanannya, dicurahkannya persembahan minumannya, serta dipercikkannya darah korban kedamaiannya pada mazbah itu.

14Mazbah gangsa yang ada di hadapan TUHAN dipindahkannya dari depan Bait itu, iaitu dari antara mazbah buatannya dengan Bait TUHAN, lalu ditaruhnya di sisi utara mazbah buatannya.

15Kemudian Raja Ahas memberikan perintah kepada Imam Uria, “Di atas mazbah yang besar itu bakarlah korban bakaran pagi dan persembahan bahan makanan petang, korban bakaran dan persembahan bahan makanan raja, serta korban bakaran, persembahan bahan makanan, dan persembahan minuman seluruh rakyat negeri. Percikkanlah padanya semua darah korban bakaran dan semua darah korban sembelihan. Mazbah gangsa itu akan kugunakan untuk mencari petunjuk.”

16Imam Uria melakukan semua yang diperintahkan Raja Ahas.

17Selanjutnya Raja Ahas memotong papan penutup wadah-wadah penopang dan menyingkirkan bejana pembasuhan dari atasnya. Dia juga menurunkan kolam dari atas lembu-lembu gangsa yang menopangnya, lalu menaruhnya di atas sebuah alas batu.

18Serambi tertutup untuk hari Sabat yang dibina dalam Bait itu serta pintu masuk untuk raja yang di sebelah luar, disingkirkannya dari Bait TUHAN demi raja Asyur.

19Riwayat Ahas selebihnya, apa yang dilakukannya, bukankah semuanya tertulis dalam kitab hikayat raja-raja Yehuda?

20Lalu Ahas dibaringkan bersama nenek moyangnya dan dimakamkan di sisi nenek moyangnya di Kota Daud. Maka Hizkia, anaknya, menaiki takhta untuk menggantikannya.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Raja-raja 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel