Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 12 >> 

Natan mencela Raja Daud

1TUHAN mengutus Natan kepada Daud. Lalu datanglah dia menemui Daud dan berkata kepadanya, “Ada dua orang di dalam sebuah kota, seorang kaya dan seorang lagi miskin.

2Si kaya memiliki banyak sekali kawanan domba dan lembu.

3Tetapi si miskin tidak memiliki apa-apa pun selain seekor anak domba betina kecil, yang dibeli dan dipeliharanya, serta menjadi besar di rumahnya bersama-sama anak-anaknya. Anak domba itu makan makanannya, minum daripada cangkirnya, dan tidur di pangkuannya dan sudah menjadi seperti seorang anak perempuan sahaja baginya.

4Pada suatu waktu, datanglah seorang pengembara mengunjungi orang kaya itu. Si kaya itu enggan mengambil salah seekor kawanan domba dan lembunya untuk disediakan sebagai sajian bagi pengembara yang singgah itu. Sebaliknya dia mengambil anak domba betina milik orang miskin itu dan menyediakannya menjadi sajian bagi orang yang singgah di rumahnya itu.”

5Maka menyala-nyalalah amarah Daud dengan kuatnya terhadap orang kaya itu. Katanya kepada Natan, “Demi TUHAN yang hidup, orang yang melakukan hal itu harus mati!

6Hendaklah dia mengganti anak domba betina itu empat kali ganda, kerana dia telah melakukan hal semacam itu dan kerana nyata dia tiada sifat belas kasihan.”

7Kata Natan kepada Daud, “Engkaulah orang itu! Beginilah firman TUHAN, Allah Israel, ‘Aku telah melantik engkau menjadi raja atas orang Israel, dan Aku telah membebaskan engkau daripada tangan Saul.

8Seisi istana tuanmu telah kuberikan kepadamu, demikian juga isteri-isteri tuanmu ke pangkuanmu. Aku pun mengurniakan kepadamu keturunan kaum Israel dan Yehuda. Jika itu belum cukup, tentu Aku akan menambahkan ini dan itu lagi bagimu.

9Lalu mengapakah engkau meremehkan firman TUHAN dengan melakukan hal yang jahat di sisi-Nya? Engkau membunuh Uria, orang Het itu, dengan pedang. Kauambil isterinya menjadi isterimu, dan dia sendiri kaubunuh dengan pedang bani Amon.

10Maka sekarang, pedang tidak akan dijauhkan daripada keluargamu untuk selama-lamanya, kerana engkau telah meremehkan Aku dan mengambil isteri Uria, orang Het itu, menjadi isterimu.’

11Beginilah firman TUHAN, ‘Sesungguhnya, Aku akan mendatangkan malapetaka bagimu dari dalam keluargamu sendiri. Aku akan mengambil isteri-isterimu di hadapan matamu dan menyerahkan mereka kepada orang lain. Isteri-isterimu akan ditidurinya ketika hari siang lagi.

12Engkau melakukan hal itu secara sembunyi-sembunyi, tetapi Aku akan menghukum kamu di depan semua orang Israel secara terang-terang.”

Raja Daud menyesal

13Jawab Daud kepada Natan, “Aku telah berdosa terhadap TUHAN.” Kata Natan kepada Daud, “TUHAN telah menjauhkan dosamu itu. Engkau tidak akan mati.

14Meskipun begitu, kerana dengan perbuatan ini engkau telah mencemuh TUHAN, maka anak yang dilahirkan bagimu itu pasti akan mati.”

15Setelah itu, pulanglah Natan ke rumahnya. Kemudian TUHAN menulahi anak yang dilahirkan oleh balu Uria bagi Daud sehingga anak itu menjadi sakit.

16Daud pun memanjatkan permohonan kepada Allah demi anak itu sambil berpuasa. Dia masuk ke dalam dan berbaring di lantai semalam-malaman.

17Lalu para tua-tua istananya datang untuk memintanya bangun dari lantai, tetapi dia tidak mahu. Dia juga tidak mahu makan bersama-sama mereka.

18Pada hari ketujuh anak itu meninggal. Para pegawai Daud berasa takut untuk memberitahunya bahawa anak itu sudah meninggal. Kata mereka, “Ketika anak itu masih hidup sahaja kita telah berbicara kepada baginda dan baginda tidak mahu mendengar kata-kata kita. Bagaimanakah pula kita dapat mengatakan kepada baginda bahawa anak itu sudah meninggal? Jangan-jangan baginda akan mencederakan dirinya.”

19Ketika Daud melihat para pegawainya berbisik-bisik antara satu sama lain, tahulah dia bahawa anak itu sudah meninggal. Lalu bertanyalah Daud kepada para pegawainya, “Apakah anak itu sudah meninggal?” Jawab mereka, “Ya, sudah meninggal.”

20Kemudian bangkitlah Daud dari lantai, lalu mandi. Dia memakai wangi-wangian dan menukar pakaiannya. Kemudian dia masuk ke dalam Bait TUHAN dan menyembah-Nya, lalu pergi ke istananya. Atas permintaannya roti dihidangkan untuknya, lalu dia bersantap.

21Maka berkatalah para pegawainya kepadanya, “Apakah maksud perbuatan tuanku ini? Ketika anak itu masih hidup, tuanku berpuasa serta menangis, tetapi sesudah anak itu meninggal, tuanku bangun dan bersantap.”

22Jawabnya, “Ketika anak itu masih hidup aku berpuasa serta menangis, kerana fikirku, ‘Siapa tahu TUHAN akan mengasihani aku, sehingga anak itu tetap hidup.’

23Tetapi sekarang dia sudah meninggal, mengapakah aku harus berpuasa? Dapatkah aku mengembalikannya lagi? Aku yang akan pergi kepadanya, tetapi dia tidak akan kembali kepadaku.”

24Lalu Daud menghiburkan Batsyeba, isterinya. Dia menghampiri perempuan itu dan tidur dengan dia. Kemudian perempuan itu melahirkan seorang anak lelaki, dan Daud menamainya Salomo. TUHAN mengasihi anak ini,

25dan dengan perantaraan nabi Natan anak itu dinamai Yedija selaras dengan pesan TUHAN.

Perang melawan bani Amon berakhir

26Yoab berperang melawan Raba, kota bani Amon, dan dia merebut kota kerajaan itu.

27Kemudian Yoab mengirimkan beberapa orang pesuruh untuk menghadap Daud dengan pesan, “Hamba telah memerangi Raba dan telah merebut perairan kota itu.

28Maka sekarang, kerahkanlah rakyat yang selebihnya, kepunglah kota itu dan rebutlah, supaya jangan hamba yang merebut kota itu dan kota itu dinamai menurut nama hamba.”

29Maka Daud mengerahkan seluruh rakyat lalu pergi ke Raba. Dia memerangi kota itu dan merebutnya.

30Dia mengambil mahkota daripada kepala raja mereka, beratnya satu talenta emas dan bertatahkan batu permata yang indah, lalu mahkota itu dikenakan pada kepala Daud. Dia mengangkut banyak sekali jarahan dari kota itu.

31Dia juga mengangkut rakyat kota itu dan menempatkan mereka untuk bekerja dengan gergaji, penggerek besi, dan kapak besi. Selain itu mereka pun dipaksa bekerja di tempat pembuatan batu bata. Demikianlah yang dilakukannya terhadap semua kota bani Amon. Kemudian kembalilah Daud dan seluruh pasukannya ke Yerusalem.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Samuel 12 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel