Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Samuel 18 >> 

Absalom terbunuh

1Daud mengumpulkan warga yang berada bersama-samanya, lalu melantik pemimpin pasukan seribu dan pemimpin pasukan seratus ke atas mereka.

2Kemudian Daud mengerahkan pasukan itu, sepertiga di bawah perintah Yoab, sepertiga di bawah perintah Abisai anak Zeruya, adik Yoab, dan sepertiga lagi di bawah perintah Itai, orang Gat. Lalu berkatalah raja kepada pasukan itu, “Aku juga akan mara bersama-sama kamu.”

3Tetapi jawab pasukan itu, “Janganlah tuanku mara bersama-sama, kerana jika kami harus melarikan diri, mereka tidak akan menghiraukan kami. Bahkan jika separuh daripada kami gugur sekalipun, mereka tidak akan menghiraukan kami. Akan tetapi, tuanku ini senilai sepuluh ribu orang daripada kami. Maka sekarang, lebih baik tuanku membantu kami dari dalam kota.”

4Kemudian kata raja kepada mereka, “Apa yang kamu pandang baik akan kulakukan.” Lalu berdirilah raja di samping pintu gerbang, sementara seluruh pasukan itu keluar, beratus-ratus dan beribu-ribu orang.

5Raja sempat memberikan amanat kepada Yoab, Abisai, dan Itai demikian, “Perlakukanlah Absalom, anak muda itu, dengan lembut demi aku.” Seluruh pasukan mendengar ketika raja memberikan amanat mengenai Absalom itu kepada semua pemimpin pasukan.

6Lalu pasukan itu mara ke padang untuk menghadapi orang Israel, dan terjadilah peperangan di hutan Efraim.

7Di sana pasukan Israel dikalahkan di hadapan anak buah Daud, dan pada hari itu terjadilah pertumpahan darah besar-besaran dengan tertumpasnya dua puluh ribu orang.

8Peperangan itu pun meluas dari sana ke seluruh daerah itu, dan pada hari itu hutan memakan lebih ramai orang daripada pedang.

9Kemudian bertemulah Absalom dengan anak-anak buah Daud. Pada waktu itu Absalom sedang menunggang seekor baghal. Ketika baghal itu sampai di bawah jalinan dahan sebuah pokok oak yang besar, kepala Absalom tersangkut pada pokok oak itu. Dia tergantung di antara langit dengan bumi, sedangkan baghal yang ditungganginya terus berlari.

10Seseorang melihat hal itu lalu memberitahukannya kepada Yoab, katanya, “Ketahuilah, hamba melihat Absalom tergantung di pokok oak.”

11Kata Yoab kepada orang yang memberitahukan hal itu kepadanya, “Apa? Engkau melihat dia? Mengapakah tidak kaubunuh dia di tempat itu juga? Seharusnya sudah kuberikan kepadamu sepuluh syikal perak dan sebuah ikat pinggang.”

12Tetapi kata orang itu kepada Yoab, “Sekalipun hamba mendapat seribu syikal perak di tangan hamba, hamba tidak mahu mencederakan anak raja, kerana kami sekalian mendengar raja yang memberikan amanat kepada tuan, kepada Abisai, dan kepada Itai demikian, ‘Lindungilah Absalom, anak muda itu, demi aku.’

13Sebaliknya, jika hamba berbuat khianat terhadap nyawanya, sementara tidak ada satu hal pun yang tidak akan diketahui oleh raja, maka tuan sendiri tidak akan mendekati hamba.”

14Kata Yoab, “Aku tidak mahu membuang waktu begini denganmu!” Lalu dibawanya tiga batang lembing di tangannya dan ditikamkannya hingga tembus ke jantung Absalom sewaktu dia masih hidup dan tergantung di pokok oak itu.

15Kemudian sepuluh pelayan pembawa senjata Yoab mengelilingi Absalom, lalu mengajar dan menewaskan dia.

16Setelah itu, Yoab meniup sangkakala. Seluruh pasukan pun berhenti mengejar orang Israel, kerana Yoab menahan mereka.

17Kemudian mereka mengangkut jenazah Absalom dan mencampakkannya ke dalam sebuah lubang besar di hutan itu. Lalu di atasnya didirikan mereka suatu timbunan batu yang amat besar. Sementara itu semua orang Israel melarikan diri, masing-masing ke khemahnya.

18Ketika masih hidup, Absalom pernah mengangkut dan mendirikan sebuah tugu baginya yang terletak di Lembah Raja, kerana katanya, “Aku tidak mempunyai anak lelaki untuk menegakkan namaku.” Maka dinamainya tugu itu berdasarkan namanya sendiri. Sampai hari ini tugu itu disebut Tugu Peringatan Absalom.

Berita kematian Absalom disampaikan kepada Raja Daud

19Kemudian Ahimaas anak Zadok berkata, “Izinkanlah hamba berlari dan membawa khabar baik ini kepada raja, bahawa TUHAN telah membebaskan baginda daripada musuh-musuhnya.”

20Tetapi kata Yoab kepadanya, “Bukan engkau yang akan membawa khabar pada hari ini. Pada hari lain engkau boleh membawa khabar, tetapi hari ini engkau tidak akan membawa khabar, kerana anak raja telah mati.”

21Lalu Yoab berkata kepada seorang Kush, “Pergilah, beritahulah raja apa yang kaulihat.” Orang Kush itu pun memberi hormat kepada Yoab, lalu berlari.

22Akan tetapi, Ahimaas anak Zadok berkata sekali lagi kepada Yoab, “Apa-apa pun yang terjadi, izinkanlah hamba juga berlari mengikuti orang Kush itu.” Tanya Yoab, “Mengapa engkau ingin berlari juga, anakku, padahal engkau tidak akan mendapat upah dengan membawa khabar itu?”

23Jawabnya, “Apa pun yang terjadi, hamba tetap mahu berlari.” Maka kata Yoab kepadanya, “Larilah!” Kemudian berlarilah Ahimaas melalui jalan di lembah, sehingga dia mendahului orang Kush itu.

24Ketika itu Daud sedang duduk di antara kedua-dua pintu gerbang, sementara penjaga naik ke atap pintu gerbang yang berada dekat dengan tembok. Ketika dia melayangkan pandangan dan mengamat-amati, tampaklah ada orang berlari-lari sendirian.

25Penjaga itu pun berseru dan memberitahu raja. Lalu kata raja, “Jika dia seorang diri, tentu dia menyampaikan khabar baik.” Orang itu semakin lama semakin dekat.

26Kemudian penjaga itu melihat seorang lain lagi yang berlari-lari. Lalu berserulah penjaga itu kepada penunggu pintu, katanya, “Lihat, ada orang lain lagi berlari-lari sendirian!” Kata raja, “Dia juga membawa khabar baik.”

27Kata penjaga itu lagi, “Menurut hamba gaya berlari orang yang pertama itu seperti gaya berlari Ahimaas anak Zadok.” Kata raja, “Dia orang baik, tentu dia membawa khabar baik.”

28Kemudian berserulah Ahimaas kepada raja, katanya, “Selamat!” Lalu dia sujud dan memberi hormat kepada raja. Katanya, “Segala puji bagi TUHAN, Allah tuanku, yang telah menyerahkan orang yang berniat menghancurkan Tuanku Raja.”

29Tanya raja, “Adakah Absalom, anak muda itu, selamat?” Jawab Ahimaas, “Ketika Yoab menyuruh pergi hamba Raja, iaitu hambamu ini, hamba melihat huru-hara yang besar, tetapi hamba tidak tahu apakah yang berlaku itu.”

30Kata raja, “Menyingkirlah, berdiri di sini.” Lalu Ahimaas menyingkir ke samping dan tetap berdiri.

31Kemudian datanglah orang Kush itu. Kata orang Kush itu, “Khabar baik, Tuanku Raja, kerana pada hari ini TUHAN telah membebaskan tuanku daripada semua orang yang bangkit menentang tuanku.”

32Lalu tanya raja kepada orang Kush itu, “Selamatkah Absalom, anak muda itu?” Jawab orang Kush itu, “Biarlah musuh-musuh Tuanku Raja dan semua orang yang bangkit menentang tuanku untuk berbuat jahat menjadi sama seperti anak muda itu.”

33Maka hancurlah hati raja. Dia naik ke ruangan yang terletak di atas pintu gerbang itu lalu meratap. Sambil berjalan dia berkata begini, “Oh, puteraku Absalom! Puteraku, puteraku Absalom! Kalau sahaja aku yang mati menggantikan engkau, Absalom, puteraku, puteraku!”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Samuel 18 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel