Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  2 Tawarikh 7 >> 

Api turun dari langit dan nyanyian syukur

1Setelah Salomo selesai berdoa, tiba-tiba turunlah api dari langit melahap korban bakaran dan korban-korban sembelihan itu, lalu kemuliaan TUHAN memenuhi bait itu.

2Para imam tidak dapat memasuki Bait TUHAN kerana kemuliaan TUHAN memenuhi Bait TUHAN itu.

3Ketika seluruh orang Israel melihat api itu turun dan kemuliaan TUHAN meliputi bait itu, berlututlah mereka di atas lantai batu dengan menyembamkan muka ke tanah. Mereka sujud menyembah dan mengucap syukur kepada TUHAN, “Kerana Dia baik, kasih-Nya kekal selama-lamanya!”

Korban perasmian dan perayaan

4Kemudian raja dan seluruh bangsa mempersembahkan korban sembelihan di hadapan TUHAN.

5Raja Salomo mempersembahkan 22,000 ekor lembu serta 120,000 ekor domba sebagai korban sembelihan. Demikianlah raja dan seluruh umat merasmikan Rumah Allah.

6Para imam berdiri menurut tugas masing-masing, begitu juga bani Lewi dengan alat-alat muzik untuk memuliakan TUHAN. Alat-alat itu dibuat oleh Raja Daud untuk mengucap syukur kepada TUHAN ketika dia memuji-muji Allah dengan iringan mereka, “Kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya!” Para imam meniup nafiri di hadapan mereka, manakala semua orang Israel berdiri.

7Selanjutnya Salomo menyucikan bahagian tengah pelataran yang terletak di depan Bait TUHAN. Di situlah dia mempersembahkan korban bakaran dan lemak korban kedamaian, kerana mazbah daripada gangsa yang dibuat oleh Salomo tidak dapat memuat kesemua korban bakaran, persembahan bahan makanan, serta lemak korban itu.

8Pada waktu itu juga Salomo mengadakan perayaan selama tujuh hari bersama-sama semua orang Israel, yang datang dari jalan masuk Hamat sampai ke Wadi Mesir – suatu jemaah yang sangat besar.

9Pada hari kelapan mereka mengadakan perhimpunan raya kerana mereka telah merayakan pentahbisan mazbah selama tujuh hari dan perayaan Pondok Daun selama tujuh hari juga.

10Pada hari kedua puluh tiga pada bulan ketujuh dia melepaskan bangsa itu pulang ke khemah masing-masing dengan gembira dan dengan hati yang riang kerana kebaikan yang telah ditunjukkan TUHAN kepada Daud, kepada Salomo, serta kepada Israel, umat-Nya.

Allah menampakkan diri lagi kepada Raja Salomo

11Demikianlah Salomo menyelesaikan Bait TUHAN serta istana raja. Dia berhasil melaksanakan segala sesuatu yang terlintas dalam hatinya untuk Bait TUHAN serta istananya.

12Kemudian TUHAN menampakkan diri kepada Salomo pada malam hari dan berfirman kepadanya, “Aku telah mendengar doamu dan telah memilih bait ini bagi-Ku untuk kaujadikan tempat mempersembahkan korban.

13Jika Kututup langit sehingga tidak ada hujan, jika Kuperintahkan belalang melahap hasil bumi, dan jika Kulepaskan wabak penyakit di antara umat-Ku,

14lalu umat-Ku, yang dipanggil atas nama-Ku, merendahkan diri, berdoa, mencari wajah-Ku, dan berpaling daripada jalan mereka yang jahat, maka Aku akan mendengar dari syurga, mengampunkan dosa mereka serta memulihkan negeri mereka.

15Sekarang mata-Ku terbuka dan telinga-Ku siap mendengar doa yang dipanjatkan di tempat ini.

16Aku telah memilih dan menyucikan bait ini, supaya nama-Ku tinggal di sana untuk selama-lamanya. Mata-Ku dan hati-Ku akan ada di sana sepanjang masa.

17Mengenai engkau, jika engkau hidup di hadapan-Ku sama seperti Daud, ayahmu, dan bertindak selaras dengan segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu, juga berpegang teguh pada segala ketetapan serta segala peraturan-Ku,

18maka Aku akan meneguhkan takhta kerajaanmu selaras dengan perjanjian yang Kuikat dengan Daud, ayahmu, demikian, ‘Tidak akan terputus keturunanmu yang berkuasa di Israel.’

19Akan tetapi, jika kamu (atau para anakmu) berbalik dan meninggalkan ketetapan-ketetapan serta perintah-perintah yang telah Kuberikan kepadamu, lalu pergi beribadat kepada tuhan-tuhan lain dan sujud menyembahnya,

20maka Aku akan mencabut kamu dari tanah-Ku yang telah Kukurniakan kepadamu, lalu bait yang telah Kusucikan bagi nama-Ku ini akan Kubuang daripada hadirat-Ku dan akan Kujadikan suatu ibarat serta sindiran antara segala bangsa.

21Setiap orang yang lalu di bait yang ditinggikan ini akan tercengang dan berkata, ‘Mengapa TUHAN berbuat demikian terhadap negeri ini serta terhadap bait ini?’

22Lalu orang akan menjawab, ‘Kerana mereka meninggalkan TUHAN, Allah nenek moyang mereka, yang membawa mereka keluar dari Tanah Mesir. Mereka berpaut kepada tuhan-tuhan lain, sujud menyembahnya, dan beribadat kepadanya. Itulah sebabnya Dia mendatangkan segala malapetaka ini kepada mereka.’ ”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  2 Tawarikh 7 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel