Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Amsal 11 >> 

Tanpa pimpinan, jatuhlah bangsa

1Neraca yang palsu adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi batu timbangan yang tepat adalah keredaan-Nya.

2Ketika keangkuhan datang, aib pun menyusul, tetapi dengan kerendahan hati datangnya hikmah.

3Orang yang ikhlas akan dipimpin oleh ketulusannya, tetapi orang yang khianat dibinasakan oleh kecurangannya.

4Pada hari kemurkaan, harta tidak berguna, tetapi perbenaran melepaskan orang daripada maut.

5Jalan orang yang tidak bercela diluruskan oleh perbenarannya, tetapi orang yang durjana jatuh oleh kedurjanaannya sendiri.

6Orang yang tulus hati diselamatkan oleh perbenarannya, tetapi orang yang khianat terjebak oleh kerakusannya sendiri.

7Ketika orang durjana mati, harapannya lenyap, dan segala kekayaan yang diharapkan hancur juga.

8Orang benar dilepaskan daripada kesesakan, yang lantas menimpa orang durjana.

9Dengan mulutnya, orang yang munafik membinasakan jirannya, tetapi dengan pengetahuan orang benar terselamat.

10Jika orang benar beruntung, seluruh kota bergembira, dan jika orang durjana binasa, orang bersorak-sorai.

11Kota dimuliakan kerana keberkatan orang yang lurus hati, tetapi diruntuhkan kerana mulut orang durjana.

12Orang yang tidak berakal budi memandang rendah jirannya, tetapi orang yang berpengertian berdiam diri.

13Orang yang membawa mulut ke sana ke mari membuka rahsia, tetapi orang yang amanah menjaga rahsia.

14Jika tidak ada pimpinan, jatuhlah sesuatu bangsa, tetapi jika banyak penasihat keselamatan terjamin.

15Orang yang menjadi penjamin bagi orang lain bakal mendapat susah, tetapi orang yang benci urusan menaja jamin akan aman.

16Perempuan yang bersopan santun memperoleh kehormatan, walhal orang yang kejam hanya memperoleh kekayaan.

17Orang yang baik hati menguntungkan dirinya sendiri, tetapi orang yang kejam memudaratkan diri sendiri.

18Orang durjana mendapat upah yang mungkar, tetapi orang yang menabur perbenaran mendapat pahala yang pasti.

19Orang yang teguh dalam perbenaran akan memperoleh kehidupan, tetapi orang yang mengejar kejahatan meluru menempah kematiannya.

20Orang yang derhaka hatinya adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi orang yang jalannya tidak bercela adalah keredaan-Nya.

21Yakinlah, orang yang jahat tidak akan terlepas daripada hukuman, tetapi keturunan orang benar akan diselamatkan.

22Seperti anting-anting emas di jongor babi, demikianlah perempuan cantik yang mengetepikan budi bicara.

23Keinginan orang benar mendatangkan kebaikan semata-mata, tetapi harapan orang durjana mendatangkan murka.

24Ada orang yang sering bermurah hati namun begitu semakin bertambah kaya, ada orang yang menahan apa yang patut diberikannya namun kian susut juga miliknya.

25Jiwa yang suka beramal jariah akan diberi kelimpahan, orang yang memberikan air kepada orang, dia sendiri akan diberi minum.

26Kutukan umum tertuju kepada sesiapa yang menyorokkan hasil ladang, tetapi keberkatan akan tercurah ke atas orang yang menjualnya.

27Orang yang mencari kebaikan akan mendapat kebajikan, tetapi orang yang mengejar kejahatan akan ditimpa kejahatan.

28Sesiapa yang mengharapkan kekayaannya akan jatuh, tetapi orang benar akan tumbuh subur seperti daun rimbun.

29Sesiapa yang menyusahkan rumah tangganya akan menangkap angin, dan orang bodoh akan menjadi hamba kepada orang yang bijaksana.

30Hasil orang benar ialah pokok hayat, dan orang yang bijaksana, pandai mengambil hati orang.

31Jika orang warak pun menerima balasan di bumi ini, apatah lagi orang yang ingkar dan orang yang berdosa!


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Amsal 11 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel