Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Ayub 6 >> 

Ayub kecewa terhadap sahabat-sahabatnya

1Lalu Ayub menjawab,

2“Ah, andainya kepiluanku ditimbang dan kesusahanku diletakkan pula pada neraca,

3pastilah beratnya melebihi pasir di laut. Lantas kata-kataku telah terlanjur.

4Anak-anak panah Yang Maha Kuasa menembusi tubuhku, jiwaku meminum racunnya. Kengerian daripada Allah berbaris melawan aku.

5Adakah keldai liar meringkik apabila berdekatan rumput muda? Adakah lembu melenguh berdekatan makanannya?

6Bolehkah makanan yang hambar dimakan tanpa garam? Atau adakah rasa pada putih telur?

7Aku tidak mahu menjamahnya, bagiku semua itu seperti makanan yang memualkan.

8Kalaulah terkabul permintaanku, dan Allah mengurniakan apa yang kuharapkan!

9Kiranya Allah berkenan menghancurkan aku, kiranya Dia membiarkan tangan-Nya membunuh aku.

10Itulah yang akan menjadi kelegaan bagiku – malah aku akan melompat gembira dalam kesakitan yang tidak kenal belas kasihan – bahawa aku tidak pernah menyangkal firman daripada Yang Maha Suci.

11Apakah dayaku sehingga aku harus berharap? Bagaimana akhir hidupku sehingga aku harus bersabar?

12Adakah kekuatanku seperti kekuatan batu? Adakah tubuhku ini gangsa?

13Bukankah tidak ada pertolongan bagiku, dan pelepasan sudah terhalau daripadaku?

14Orang yang putus asa sepatutnya dikasihani oleh sahabatnya, sekalipun orang itu mengabaikan ketakwaan kepada Yang Maha Kuasa.

15Saudara-saudaraku khianat seperti sungai, seperti alur-alur sungai yang mengalir lalu lenyap,

16yang keruh kerana ais, yang di dalamnya tercair salji.

17Pada musim kemarau mereka lenyap, ketika kena panas mereka hilang dari tempat mereka.

18Kafilah-kafilah yang mengikuti jalannya menyimpang, mereka naik ke tanah tandus lalu binasa.

19Kafilah-kafilah Tema mencari-cari air, rombongan-rombongan Syeba mengharapkannya,

20tetapi mereka kecewa kerana mereka sudah yakin pada mulanya. Sesampainya di sana mereka menjadi keliru.

21Sekarang, kamu ini pun tidak ada gunanya, kamu melihat hal yang mengerikan lalu takut.

22Pernahkah aku berkata, ‘Berilah aku sesuatu,’ atau, ‘Berikan wang sogokan daripada kekayaanmu untukku,’

23atau, ‘Lepaskanlah aku daripada tangan lawan,’ atau, ‘Tebuslah aku daripada tangan orang kejam’?

24Ajarlah aku, maka aku akan berdiam diri, beritahu aku dalam hal apa aku bersalah.

25Betapa menyakitkan kata-kata yang jujur! Tetapi apakah yang ternyata hasil teguranmu itu?

26Adakah kamu bermaksud menegur kata-kata dan menganggap penuturan orang yang putus asa seperti angin?

27Bahkan kamu mencabut undi atas anak yatim dan memperdagangkan sahabatmu.

28Sekarang, sudilah memandang aku, aku tidak akan berdusta di hadapanmu.

29Kumohon berpalinglah, janganlah kezaliman terjadi. Berpalinglah, aku pasti tidak bersalah.

30Apakah ada kezaliman pada lidahku? Takkan langit-langit mulutku tidak dapat mencerap bencana?”


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Ayub 6 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
© 2010-2022
Alkitab.SABDA.org

Android.SABDA.org
SABDA.mobi
Bantuan
Dual Panel

Laporan Masalah/Saran