Alkitab Mobile SABDA
[VER] : [AVB]     [PL]  [PB] 
 <<  Hakim-hakim 16 >> 

Simson dan Delila

1Pergilah Simson ke Gaza dan dilihatnya seorang perempuan pelacur lalu dia berseketiduran dengan perempuan itu.

2Orang Gaza diberitahukan bahawa, “Simson telah datang ke sini.” Mereka pun berusaha mengepung tempat itu dan bersiap sedia untuk menyerangnya. Menunggulah mereka semalam-malaman di pintu gerbang kota, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa semalam-malaman itu kerana fikir mereka, “Nanti ketika terbit fajar kita akan membunuh dia.”

3Tetapi Simson tidur di situ sampai tengah malam. Ketika tengah malam, bangunlah dia dan dipegangnya daun pintu gerbang kota itu dan kedua-dua tiang pintu. Dia mencabut kesemuanya termasuk palang-palangnya lalu diletakkannya di atas kedua-dua bahunya, dan diangkatnya ke puncak gunung yang bersetentangan dengan Hebron.

4Sesudah itu Simson jatuh cinta dengan seorang perempuan yang bernama Delila dari Lembah Sorek.

5Para ketua warga Filistin pergi menemui perempuan itu lalu berkata, “Cubalah pujuk dia untuk mengetahui punca kekuatannya yang sebegitu hebat, dan bagaimana dia dapat dikalahkan hingga kami dapat mengikat dia dan menundukkannya. Sesudah itu kami akan memberikan seribu seratus keping wang perak kepadamu.”

6Berkatalah Delila kepada Simson, “Tolonglah ceritakan kepadaku punca kekuatanmu yang begitu hebat, dan dengan apa engkau harus diikat dan ditundukkan.”

7Jawab Simson kepadanya, “Jika aku diikat dengan tujuh utas tali busur baru, yang belum kering, aku akan menjadi lemah dan menjadi seperti siapa-siapa sahaja.”

8Lalu para ketua warga Filistin membawa tujuh tali busur yang baru yang belum kering kepada perempuan itu dan dia mengikat Simson dengan tali-tali itu.

9Di bilik perempuan itu ada orang yang siap sedia untuk membunuhnya. Kemudian berserulah perempuan itu kepadanya, “Orang Filistin menyerang kamu, Simson!” Mudah sahaja Simson memutuskan tali-tali busur itu seperti tali rami yang terbakar putus apabila kena api. Maka rahsia kekuatannya tetap tidak diketahui oleh sesiapa.

10Berkatalah Delila kepada Simson, “Sesungguhnya, kamu mempermainkan dan membohongi aku. Sekarang ceritakanlah agar aku tahu dengan apakah kamu dapat diikat.”

11Dia menjawab, “Jika aku diikat kuat-kuat dengan tali baru yang belum digunakan untuk sebarang pekerjaan sekalipun, maka aku akan menjadi lemah dan menjadi seperti siapa-siapa sahaja.”

12Lalu Delila mengambil tali baru dan Simson diikatnya dengan tali-tali itu lalu berseru kepadanya, “Orang Filistin menyerang kamu, Simson!” Mereka bersembunyi di bilik untuk menyerang hendap untuk membunuhnya. Namun demikian, Simson memutuskan tali-tali itu daripada tangannya seperti benang sahaja.

13Berkatalah Delila kepada Simson, “Sampai sekarang kamu mempermainkan dan membohongi aku. Ceritakanlah kepadaku dengan apa kamu dapat diikat.” Jawabnya kepadanya, “Kalau kamu menenun ketujuh-tujuh jambul rambut di kepalaku bersama-sama lungsin dan dikuatkan jalinan itu dengan cucuk sanggul, aku akan menjadi lemah dan menjadi seperti siapa-siapa sahaja.”

14Maka ketika dia tidur, perempuan itu menenun jambulnya lalu dikukuhkan jalinan itu dengan cucuk sanggul dan kemudian berseru kepadanya, “Orang Filistin menyerang kamu, Simson.” Tetapi dia bangun daripada tidurnya lalu menyentak dan melepaskan pasak cucuk sanggul pada lungsin itu.

15Berkatalah perempuan itu kepadanya, “Bagaimana mungkin kamu berkata: Aku cinta kepadamu, walhal hatimu tidak tertuju kepadaku? Sudah tiga kali kamu membohongi aku dan tidak menceritakan kepadaku punca kekuatanmu yang sebegitu hebat.”

16Setelah berhari-hari perempuan itu merengek-rengek kepadanya dan terus mendesaknya, hati Simson tidak tertahan dan dukacita kerana tujahan bertalu-talu pujukan perempuan itu.

17Maka dicurahkannya kepada Delila seluruh isi hatinya. Katanya, “Kepalaku tidak pernah kena pisau cukur, kerana sejak dalam kandungan ibuku, aku seorang penazar Allah. Jika kepalaku dicukur akan lenyaplah kekuatanku dan aku menjadi lemah dan menjadi seperti siapa-siapa sahaja.”

18Setelah jelas kepada Delila bahawa Simson mencurahkan segala isi hatinya, dia menyuruh agar para ketua warga Filistin dipanggil, katanya, “Sekali ini datanglah ke mari kerana Simson telah menceritakan kesemuanya kepadaku.” Lalu datanglah para ketua warga kota Filistin itu kepadanya sambil membawa wang upahan berkenaan.

19Delila memujuk agar Simson tidur di pangkuannya, lalu dipanggilnya seorang dan disuruhnya mencukur ketujuh-tujuh jambul rambutnya, sehingga mulailah Simson ditundukkan oleh perempuan itu sesudah dia tiada lagi kekuatannya itu.

20Lalu berserulah perempuan itu, “Orang Filistin menyerang kamu, Simson!” Maka dia terjaga daripada tidurnya lantas berkata, “Seperti yang sudah-sudah, aku akan bebas dan akan meronta lepas.” Tetapi tanpa diketahuinya TUHAN telah meninggalkannya.

21Maka orang Filistin menangkapnya lalu mencungkil kedua-dua belah matanya dan membawanya ke Gaza. Di situ dia dibelenggu dengan dua utas rantai tembaga dan dia dikerah bekerja sebagai penggiling di penjara.

22Tetapi rambutnya yang dicukur itu mula tumbuh semula.

Kematian Simson

23Berhimpunlah para ketua warga kota Filistin untuk mengadakan korban sembelihan yang besar kepada tuhan mereka, Dagon, dan untuk bersuka ria. Berkatalah mereka, “Tuhan kita telah menyerahkan Simson, musuh kita ke dalam tangan kita.”

24Orang ramai yang melihat Simson memuji-muji tuhan mereka, sambil berseru, “Telah diserahkan oleh tuhan kita ke dalam tangan kita musuh kita, perosak tanah kita, dan yang membunuh ramai teman kita.”

25Ketika hati mereka bersuka ria itu, berkatalah mereka, “Panggillah Simson untuk menghiburkan kita.” Simson dipanggil dari penjara, lalu dia melawak di depan mereka. Kemudian mereka menyuruh dia berdiri di antara tiang bangunan.

26Berkatalah Simson kepada budak yang memimpin dia berjalan, “Lepaskan aku dan biarkanlah aku meraba-raba tiang-tiang penopang rumah ini agar aku dapat bersandar padanya.”

27Bangunan besar itu penuh dengan lelaki dan perempuan; dan kesemua pemimpin kota orang Filistin ada di sana, malah di atas bumbung juga ada kira-kira tiga ribu lelaki dan perempuan yang menonton persembahan Simson itu.

28Berserulah Simson kepada TUHAN, katanya, “Ya Tuhan ALLAH, semoga Engkau ingat kepadaku dan buatlah aku kuat, sekali ini sahaja, ya Allah, supaya dengan satu pembalasan aku dapat menuntut dua belah mataku yang dibutakan oleh orang Filistin.”

29Lalu Simson memeluk dua batang tiang yang paling tengah yang menyokong bangunan itu. Tangan kanannya memaut satu batang tiang dan sebatang lagi tiang dipaut dengan tangan kirinya.

30Berkatalah Simson, “Biarlah aku mati bersama-sama orang Filistin ini.” Lalu dia membongkok dan memaut dengan sekuat-kuat tenaganya lalu robohlah rumah itu menimpa para pemimpin warga kota itu dan seluruh orang ramai yang ada di dalamnya. Maka yang mati dibunuhnya pada waktu kematiannya itu lebih ramai daripada yang dibunuhnya ketika dia masih hidup dahulu.

31Sesudah itu sanak saudaranya dan seisi keluarganya datang membawa mayatnya, dari tempat itu lalu menguburkannya di antara Zora dengan Esytaol di dalam makam Manoah, ayahnya. Jadi Simson memerintah sebagai hakim kepada orang Israel selama dua puluh tahun.


  Share Facebook  |  Share Twitter

 <<  Hakim-hakim 16 >> 


Bahan Renungan: SH - RH - ROC
Download
Alkitab ANDROID
Kamus Alkitab
Kamus Bahasa
Kidung Jemaat
Nyanyikanlah Kidung Baru
Pelengkap Kidung Jemaat
Alkitab.mobi
Copyright
Alkitab.SABDA.org
Android.SABDA.org
SABDA.APP
BaDeNo
Bantuan
Dual Panel Dual Panel